AKU tahu tak ada siapa nak ambil peduli pun. Tapi tak kira! Aku tetap nak bagitahu jugak kenapa aku yang tadi tu kemain berdegil, berkeras tak nak datang ke sini tanpa mama tapi akhirnya sekarang dah berada di sini tanpa mama.
Kalau ada yang syak hati kelikir aku boleh jadi lembut hanya disebabkan dengan aku terkesima dengan senyuman dia di rumah tadi, sila hentikan syak wasangka anda sekarang!
Tak sempat pun aku nak tunjuk skill buat teh tarik kaw viral tadi tu sebenarnya. Aku dah nak masuk dapur tiba-tiba mamat kerek dapat panggilan telefon dari ibunya. Panggilan yang meminta dia supaya balik segera ke rumah diorang. Ada kerja yang nak diminta tolong oleh Aunty Murni kepada anak lelaki tunggalnya itu.
Masa dia minta diri nak balik dulu, boleh pulak mama tolak aku sekali untuk ikut dia. Takkanlah aku nak tunjuk keras kepala depan orang, ye dak? Jadi iklas atau tak, terpaksalah aku mengalah. Akur cakap mama dan sekarang aku dah berada di sini, di rumah jiran sebelah.
Dengan alasan dia bawa bekas kari dan aku bawa bekas yang berisi kek hasil air tangan mama. Dan bila aku pertikaikan kenapa mama tak ikut sekali, mama jawab nak mandi dulu sebab badan dah berlengas. Mama hantar aku dulu sebagai wakil untuk menolong.
Sudah semestinyalah aku membantah idea mama itu. Tapi tu la... bila dah namanya Ku Jasmin Binti Ku Maliki memang jaranglah mama tak menang bilamasa aku dan mama berdebat akan apa-apa hal pun. Jangan kata aku, abah pun sama. Awal mama buka mulut je pun abah dah mengundur. Mengalah sebelum berlawan.
Selalu je aku ejek abah sebab suka sangat mengalah dengan mama. Tapi abah dengan muka cool and steady menjawab,
'Bukan mengalah, tapi beralah. Dan beralah tu tak bermaksud kalah.'
Aku tak puas hati dengan jawapan abah sebenarnya tapi bila aku sambung pertikaian aku lagi, jawapan kedua abah berjaya mematikan rasa tak puas hati dan buat aku terdiam terus.
'Sajalah abah nak cakap, dalam rumah ni bukan dengan mama sorang je yang abah beralah. Dengan anak sulung abah pun sama. Sebab anak sulung abah tu punya perangai copy and paste perangai mama dia.'
Mananya tak diam terus kalau dah anak sulung abah tu, aku. Sudahnya aku telan balik ayat-ayat yang aku dah atur untuk dilontarkan buat abah. Nak berdebat lagi, rasa macam tak wajar pulak.
Tak wajar sebab aku tak jumpa ada benda yang salah dalam kata-kata abah itu. Bukan je abah tau, Anis dengan Pawa pun cakap benda yang sama. Adik-adik aku cakap, walaupun aku dengan mama selalu tak sama pendapat tapi perangai kami sama. Dan ya, aku akui pasal itu.
Okey, tolak tepi kes perangai aku dan mama kontra tapi sama... Jom kita cari jawapan apa yang perlu aku buat sekarang? Mama suruh datang sini untuk tolong apa yang patut. Tapi tadi bila aku tanya aunty Murni jika dia perlukan bantuan aku tentang apa-apa, disuruhnya aku duduk diam-diam dekat sofa ruang tamu. Katanya semua benda dah siap, tak ada apa nak dibuat lagi. Tunggu untuk majlis bermula aje iaitu pukul 12.30 tengah hari.
Takkanlah aku nak buat macam disaran pulak kan? Nak balik rumah dulu macam tak wajar pulak. Tak elok sangat anak dara bawak perangai malas sampai ke rumah jiran. Aku perlu buat sesuatu! Lagi-lagi bila makcik-makcik dan pakcik-pakcik jiran berkumpul di dalam dan luar rumah, lagilah buat aku rasa macam nak aje halimunankan diri. Lari dari semua orang.
Aku sebenarnya kan... tak berapa berminat untuk menyertai diorang walaupun kebanyakan yang ada tu aku kenal. Kenal sangat. Kenal rapat. Mestilah rapat...aku kenal diorang sejak dari aku dalam perut mama lagi. Dah nama pun jiran tetangga kan...
Cukuplah kot dengan teguran ringkas yang aku buat masa bertembung pandang tadi. Lepastu aku terus masuk dapur cari apa-apa kerja yang boleh dibuat. Bukan apa... bukan aku sombong atau anti sosial tapi tu la... aku malas nak hadap soalan-soalan keramat dari diorang. Tak lain tak bukan soalan berkaitan dengan jodoh. Memanglah tak semua kaki kepoh, tapi separuh dari diorang pun dah buat aku pening nak menjawab.
YOU ARE READING
Mr. Dimple Yang Manis
Historia Corta"Aunty masuk dapur kejap ya, Umar. Duduklah dulu. Nanti Ifti bawakan air. Nak minum air sejuk ke panas?" Mendengarkan itu, mata aku terbuntang luas. Laju muka mama yang tersenyum manis ke arah anak jiran rumah sebelah, aku cari. Ewah, Puan Jasmin...