Bab 10

510 21 0
                                    

AIZU menarik nafas berulang kali selepas terjaga daripada mimpi. Kali ini, dia bermimpi tentang seorang gadis berkerudung merah melemparkan pandangan sayu apabila mata mereka bertaut. Mata itu seperti mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun, dia tidak tahu apa yang gadis itu minta daripadanya.

"Siapa kau sebenarnya, gadis berkerudung merah? Kenapa aku nampak kau seperti bayangan dia?" tanya Aizu sebelum menguak rambut ke belakang. Dia menyelak selimut sebelum menyarung hoodie biru laut tanpa lengan. Balkoni dituju selepas sebuah buku lukisan dan telefon diambil.

"Eh, tak sangka kau sertai kelab." Aizu melemparkan pandangan ke balkoni sebelah. Tahulah dia kenapa Hakim berkata sedemikian. Dia juga berpakaian seperti Hakim dan Irfan. Bezanya, Hakim memegang gitar manakala Irfan membawa secawan air. Telefon juga tidak lupa dibawa bersama.

"Diminta ahli baru menyampaikan sebuah lagu," arah Irfan sebelum menghabiskan air dan dia berlalu pergi, menghilangkan diri ke dapur.

"Aku tak tahu kenapa Irfan berkelakuan pelik malam ni," luah Aizu sebelum memandang langit.

"Tak tahu apa agenda dia, tapi aku harap dia tak terlalu banyak berfikir. Aku takut dia pengsan macam dulu," balas Hakim sebelum memandang gitar di atas paha. Gitar milik seseorang yang telah mengajarnya menghargai sesuatu yang berharga.

"Aku dah sampai. Hei jiran sebelah, kau datang sini," arah Irfan. Aizu hanya mengikut sahaja kehendak sahabatnya itu. Irfan tidak boleh dijangka arahan dan tindakannya.

"Lagu apa yang kau nak aku nyanyi?" tanya Aizu sebelum mencapai gitar yang dihulurkan oleh Hakim.

"Terpulanglah kau nak nyanyi lagu apa," balas Irfan sebelum menelefon seseorang dan membiarkan panggilan itu tanpa membalas pertanyaan yang diajukan.

Ketika Aizu memetik gitar dan menyanyikan lagu itu, Hakim dan Irfan sudah tersedu-sedan. Hakim tahu lagu itu, sangat tahu dan sesuai untuk mereka bertiga.

Selepas Aizu selesai membuat persembahan, dia meletakkan gitar di atas katil sebelum mengesat air mata. Dia sudah berjanji dia tidak akan menangis tetapi dia tidak tahu kenapa dia rasa sedih. Antara mereka bertiga, dia dikenali sebagai jejaka beku. Dialah yang paling susah mengukir senyuman selepas kejadian itu.

"Aku... tak tahu. Aku rasa sedih bila dengar lagu ni, tapi aku dapat lihat bayangan dia senyum dekat aku tadi. Seolah-olah dia mahu katakan sesuatu," ujar Hakim teresak-esak. Gitar dipeluk erat seperti mana dia memeluk baju sejuk arwah malam itu.

Kenangan demi kenangan terlayar di hadapan mereka. Pertemuan pertama sehingga pertemuan terakhir. Terlalu banyak kenangan sehingga susah untuk dilupakan. Arwah suka mengacau seperti tiada hari esok. Arwah juga suka menangkap gambar seperti mereka tidak akan berjumpa lagi.

"Wani... Aku rindu kau." Aizu menekup wajah dengan tangan kanan manakala tangan kiri mencapai sekeping gambar. Ada banyak gambar arwah tetapi ini gambar kegemaran dia. Gambar semasa di hospital.

"Kau agak, kalau mereka ada lagi mesti kita gembira, kan?" luah Irfan sebelum menarik nafas beberapa kali. Dia melihat orang yang ditelefonnya sudah menekup mulut agar esakan tidak didengari. Scarlet membuat isyarat agar kamera dihalakan ke arah Aizu.

"Aku rindu senyuman kau. Rindu sangat." Scarlet mengusap skrin seperti mengesat air mata jejaka itu. Irfan menelefon Scarlet ketika gadis itu sedang sibuk mengemas.

"Aku rindu senyuman kau juga, Wani." Aizu membalas tanpa sedar. Dia seperti terdengar suara Wani mengungkapkan perkataan itu. Irfan membuat isyarat mata bahawa dia akan menamatkan panggilan selepas menanyakan sesuatu seperti yang dipinta.

"Aiz. Kalau satu hari nanti Wani kembali, kau akan senyum semula? Kau akan marah dia dan cari orang lain ke? Kau akan biarkan dendam menguasai diri kau kalau dia tidak mendedahkan identitinya nanti?" tanya Irfan bertubi-tubi apabila membaca sehelai kertas di hadapan skrin.

[BOOK 3]Private Victory High SchoolWhere stories live. Discover now