SETELAH Rayyan memperkenalkan diri, sesi pembelajaran bermula seperti biasa. Cikgu Malik mula mengajar subjek Matematik. Subjek yang paling ditakuti dan digeruni semua pelajar kerana soalannya yang terlalu susah.
Namun, itu tidak ada masalah bagi pelajar yang pintar dan bijak seperti Fasha. Semua soalan berjaya diselesaikan dengan mudah. Bukan setakat subjek Matematik sahaja, malah Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan subjek-subjek susah yang lain.
Semua itu dikuasainya dengan mudah. Kepintarannya itu membuatkan semua pelajar di sekolah itu berasa cemburu termasuk Sarah, musuh ketat Fasha. Gadis itu bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah dia juga bergiat aktif dalam kokurikulum. Dia mewakili banyak pertandingan dan memenangi pelbagai anugerah.
Selain itu, dia juga berbakat dalam bidang muzik. Jarinya yang lincah itu handal bermain piano dan violin. Setiap hujung minggu, dia pasti akan ke kelas muzik untuk bermain kedua-dua alatan muzik yang berasal dari Itali itu. Sedikitpun tidak mengganggu fokus dan personalitinya sebagai seorang pelajar. Sikap Fasha yang sangat berdisiplin dan pandai mengurus masa itu menjadi sebab mengapa dia dipilih menjadi penolong ketua pengawas.
Bukan disebabkan kedudukan ayahnya sebagai ketua PIBG sekolah dan sering memberi banyak sumbangan untuk setiap aktiviti sekolah, dia dipilih untuk memegang jawatan yang besar itu. Tetapi disebabkan sikapnya itu membuatkan semua guru sangat senang dan percaya terhadap Fasha walaupun gadis itu sangat gedik dan mengada-ngada.
Setelah tamat kelas Matematik dan Cikgu Malik juga sudah keluar, Fasha bangun lalu bergerak ke tempat Rayyan. Fazrina, Dayang dan Ivy segera mengikut. Fasha kawan mereka. Jadi, setiap masa mereka akan bersama.
Semua mata di dalam kelas itu terus menumpukan perhatian terhadap Fasha. Mereka tidak mahu terlepas walau sesaatpun. Gosip kali ini pasti meletup dan panas. Kisah percintaan antara Fasha dan pelajar baru yang kacak dari luar negara.
Tap!
Meja Rayyan ditepuk kuat. Mata jejaka itu direnung tajam menandakan dia tidak gentar dan takut untuk berhadapan dengan pelbagai jenis orang termasuk Sarah.
"Rayyan! Kenapa kau cakap aku milik kau pula? Aku tak kata pun aku suka kau." Fasha berterus terang tanpa berdalih lagi. Dia berpeluk tubuh. Matanya tajam memandang Rayyan yang hanya tersenyum.
"Sebab saya rasa saya dah jatuh cinta dengan awaklah saya nak jadikan awak milik saya secepat yang mungkin. Takut orang kebas pula." Rayyan ketawa kecil.
Fasha pula masih mengekalkan reaksinya walaupun hatinya sedikit terusik. Fazrina, Dayang dan Ivy saling berpandangan. Mungkin agak terkejut dengan aksi berani mati Rayyan itu.
"Tapi, aku tak cintakan kau. Maaf, kita tidak saling mencintai, Rayyan. Lagipun, cepat betul kau jatuh cinta terhadap aku. Hanya sehari. Tidak sampai 5 jam. Adakah itu boleh diterima logik akal?" jawab Fasha.
"Ya, semestinya itu logik. Fasha, saya tahu awak tak sukakan saya tapi, kita boleh bercinta dulu. Sebab saya pasti awak akan cintakan saya juga," kata Rayyan. Senyumannya masih dikekalkan.
"Bukti?"
"Bukti itu ada pada diri awak sendiri. Awak boleh tipu semua orang dengan mulut, tetapi awak tak boleh menipu hati awak sendiri, Fasha."
Kata-kata Rayyan membuatkan Fasha terkedu. Pandangan jejaka itu ditatap lama, mencari keikhlasan di sebalik wajah itu. Tidak semena-mena, dia tergelak kecil. Agak sinis. Senyuman Rayyan terus memudar.
"Kalau kau nak aku layan kau sebagai seorang perempuan, aku tak kisah. Tetapi, kalau bercinta... Sorry. Nonsense!" Setelah itu, Fasha terus berlalu pergi.
•¤•
MATAHARI semakin meninjak naik. Jam juga sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Waktu begini, sudah semestinya waktu bekerja bagi golongan yang bekerjaya. Para pelajar juga sudah pasti memulakan sesi pembelajaran di sekolah.
Namun, Fasha masih belum bangun. Dia terlalu letih dan mengantuk disebabkan pengaruh alkohol dan dia bernasib baik kerana masih belum mabuk sepenuhnya. Dia menari sepanjang masa di kelab malam tadi. Entah dengan lelaki mana dia berpasangan pun tidak tahulah. Dia malas mahu mengambil peduli. Dia penat menghadap semua masalahnya.
Tok! Tok!
Puan Sri Elivia mengetuk pintu bilik anaknya itu. Dia perlu memastikan sekiranya Fasha sudah bersiap atau belum. Tengah hari ini, mereka ada temu janji sekaligus makan tengah hari. Hanya dia dan Fasha kerana Tan Sri Hairul mempunyai tugas penting di luar negara. Jadi, mereka sekeluarga tidak dapat keluar bersama.
"Fasha! Kamu dah siap atau belum?"
Sekali lagi Puan Sri Elivia mengetuk pintu apabila dia langsung tidak mendengar sebarang sahutan daripada Fasha. Bagaimanapun, Fasha masih lagi tidak menyahut. Pintu bilik segera dipulas. Anak gadisnya yang sedang tidur nyenyak itu dipandang. Puan Sri Elivia mengeluh.
'Patutlah, tidur mati rupanya.'
Lengan Fasha ditepuk berkali-kali. Usahanya berjaya apabila Fasha mencelikkan mata walaupun masih mamai. Gadis itu menguap kerana terlalu mengantuk. Lagipun malam tadi, dia pulang ke rumah agak lewat.
"Kamu pulang ke rumah pukul berapa semalam?" tanya Puan Sri Elivia. Risau pula dia dengan anaknya itu.
"Hmm... Pukul 4," jawab Fasha dalam keadaan matanya yang masih tertutup.
Puan Sri Elivia terus menampar paha gadis itu. Geram! Fasha terus bangun dari pembaringan seperti baru terkena renjatan elektrik. Mamainya terus hilang. Mamanya dipandang tidak puas hati.
"Aduh! Sakitlah mama!"
"Tahu pun. Yang kamu pun satu. Bukan nak pulang awal. Kamu pun tahukan tengah hari ni kita ada janji temu?" Fasha terkejut. Dia memandang mamanya dengan dahi yang berkerut.
"Kenapa kamu pandang mama macam tu?" tanya Puan Sri Elivia. Pelik dengan perangai anaknya.
"Janji temu? Janji temu dengan siapa?"
"Laa... Dengan Rayyanlah. Tak kan kamu dah lupa?" Mata Fasha terus terbeliak. Terkejut yang teramat.
"Apa! Kenapa tak beritahu dan tanya Fasha dulu!" ujar Fasha tercengang mendengar kata-kata mamanya itu.
"Salah kamulah. Bukan nak angkat telefon dan balas mesej mama. Kamu tak jawab, jadi mama ingat kamu setuju lah," kata Puan Sri Elivia lagi.
"Takkan! Fasha tak nak!" Fasha menyilangkan tangan ke dada. Dia berkeras tidak mahu pergi. Sekiranya mereka semeja, pasti keadaan menjadi sangat janggal. Lagipun, mereka berdua sudah tidak semesra dahulu. Tambahan lagi apabila melihat muka Rayyan. Rasa mahu ditampar-tampar sahaja muka jejaka itu.
"Ish! Mana boleh batalkan. Mereka mesti marah."
"Biarlah! Biar mereka marah! Fasha marah ni mama tak kisah pula!" kata Fasha lagi. Puan Sri Elivia mengeluh.
"Please, sayang. Kali ini sahaja. Jangan risau, mama pun ada sekali. Fasha pergi ya?" pujuk Puan Sri Elivia dengan lembut.
Sekiranya api berlawan dengan api, keadaan akan semakin marak. Maka, dengan air, api boleh dipadamkan. Begitu jugalah seperti hati Fasha.
"Okay. Baiklah." Fasha mengalah. Puan Sri Elivia terus tersenyum gembira. Pipi anaknya itu dicium.
"Macam tulah anak mama. Kamu pergi mandi dan bersiap cepat tau. Mama tunggu di bawah ye," kata Puan Sri Elivia. Dia terus berlalu keluar lalu pintu bilik ditutup.
Fasha mengeluh. Muka disembamkan ke bantal. Dia menjerit sekuat hati. Melepaskan rasa sakit yang sudah lama menjalar ke seluruh urat saraf.
VOMMENT!❤✨
YOU ARE READING
BUKAN KERANA DIA [COMPLETED]
Romance𝐅𝐈𝐑𝐒𝐓 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐅𝐚𝐬𝐡𝐚𝐫𝐢𝐧𝐚 𝐇𝐚𝐮𝐫𝐚'𝐬 𝐬𝐭𝐨𝐫𝐲 FASHARINA HAURA - Dia bukanlah seperti Saidatina Khadijah yang kuat imannya. Bukan juga seperti Saidatina Aisyah yang tinggi ilmu agamanya dan Saidatina Fatimah yang hebat keperib...