...
JOSHUA (11) menarik tangan adiknya, Alfi. Mereka baru sahaja selesai mandi di dalam kolam kembung (inflatable pool) di laman tepi rumah. Setelah itu, dia mengambil tuala kerana mahu mengelap badan adiknya terlebih dahulu. Dia memulakannya di bahagian kepala, badan dan akhirnya di bahagian bawah badan.
"Seronok mandi?" soalnya dan tersenyum lebar.
Alfi mengangguk. "Um, seronok. Esok kita boleh mandi lagi?"
"Boleh, selepas abang balik dari sekolah."
"Ala, kenapa abang perlu sekolah? Temanlah adik. Adik tak ada kawanlah bang di rumah."
"Bibik kan ada."
"Bibik dah besar."
"Um, sabarlah. Lepas balik, kita mandi terus. Afi kenalah bersabar. Allah suka orang yang sabar."
"Allah sukakan adik?"
"Sudah tentulah."
"Kenapa adik tak boleh sekolah, bang?"
"Adik belum cukup umur lagi."
"Bila adik cukup umur? Adik nak sekolah dengan abang."
"Adik akan bersekolah masa umur adik 6 atau 7 tahun. Sekarang adik baru 4 tahun, jadi berapa tahun lagi adik akan sekolah?" duga Joshua kepada adiknya itu.
Dia melihat adiknya memuncungkan mulut dan mengangkat tangan kanannya dan cuba mengira berapa tahun lagi dia akan dapat bersekolah. Dia dapat melihat lesung pipit di bahagian kiri pipi adiknya. Jadi, dia menarik pipi itu.
"Abang janganlah kacau adik. 7 tolak 4, jadi 3. 6 tolak 4 jadi 2. Adik akan dapat sekolah 2 atau 3 tahun lagi!" jeritnya gembira.
"Ha, pandai. Lagi dua tahun aje pun. Sabar, okey."
"Um..."
Alfi mengangguk laju. Kemudian, dia terperanjat besar apabila seseorang memanggil namanya dengan lantang dan kuat. Alfi berpaling ke belakang. Dia dapat melihat kelibat ibunya yang garang sedang memegang pembaris besi.
Suasana yang kebiruan dan menghijau itu bertukar menjadi gelap. Ibunya menerpa ke arahnya dan terus menarik rambutnya sehinggalah ke luar rumah. Selepas itu, ibu melemparkan sebuah beg galas yang kecil ke mukanya.
"Kau keluar dari sini! Keluar dari sini! Pergi!" jerit ibunya lantang. Pada waktu itu, ayah dan Joshua tidak berada di rumah.
"Bu, jangan begitu, Bu. Dia masih anak kecil, Bu. Kasihani dia, Bu." Pujuk bibik seperti merayu. Air matanya hampir mengalir.
"Kau diam! Kau sedar diri kau sikit yang kau tu hanya pembantu rumah ni. Kau ke tepi!"
Ibu memarahi bibik dengan garang dan menyinga kemudian, dia melihat ke arah Alfi yang masih tercegat di hadapan pintu rumah yang sedang menangis.
"Eh, kau jangan balik ke sini lagi, kau faham tu. Dalam beg tu, aku sudah letak duit dan surat beranak kau! Lantak kaulah kau nak hidup macam mana pun dekat luar. Kalau kau berani datang ke sini lagi, aku akan pukul kau lebih teruk daripada apa yang aku buat. Kau faham!"
"Ibu...ibu...ibu...Maafkanlah Afi. Afi tak sengaja pecahkan pasu Ibu..."
Alfi merayu sambil melutut dan membuat gaya meminta ampun. Dia sudah tersedu-sedan kerana menangis.
"KELUAR! KELUAR!"
Ibunya mengangkat pembaris besi itu dan cuba mengejar Alfi. Saat itu juga, Alfi berlari keluar dari pintu pagar kerana ketakutan. Dia berlari sekuat hati sehinggalah dia melintasi jalan raya tanpa disedarinya. Pada saat itulah, sebuah kereta menghampirinya.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Mystery / Thriller[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...