...
KERETA yang dipandu oleh Mokhtar berhenti di hadapan sebuah rumah teres sederhana. Rumah itu hanyalah satu tingkat dan agak kecil. Plastik garisan polis sudah menutupi pagar pintu masuk rumah tersebut. Jiran-jiran mangsa memerhati dari luar rumah mereka sendiri dengan wajah berkerut seribu dan dengan perasaan ingin tahu.
Mokhtar dan Arifan sudah keluar dari kereta. Namun, Almi masih di dalamnya. Kelakuan Almi itu memelikkan Arifan dan Mokhtar.
"Kenapa dengan Almi tu? Dia nak kita bukakan pintu untuk dia ke Mokhtar? Buka pintu pun susah ke?" Arifan menggaru kepala yang tidak gatal.
"Kau tengokkan dia kejap, aku nak masuk ke dalam dahulu."
Arifan hanya mengangguk apabila Mokhtar telah melepasi garisan polis tersebut. Dia mendekati tempat duduk penumpang di belakang dan membuka pintu.
"Kau dah kenapa, Mi?" soalnya aneh. Almi sedang mengurut temporal kepalanya pada ketika itu.
"Tak ada apa."
"Eh, kau ni. Cepatlah." Gesa Arifan.
Almi menurut sahaja dan mula keluar dari perut kereta dengan wajah berkerut seribu. Kepalanya berdenyut semacam pada hari ini. Mungkin disebabkan oleh tidurnya yang sentiasa diganggu oleh mimpi ngeri.
Mereka berdua memasuki rumah itu dan dapat melihat beberapa orang petugas forensik serta pihak polis sedang menginpeksi rumah tersebut. Kelihatan Mokhtar sedang berdiri di depan pintu sambil membaca laporan awal yang dibuat oleh pihak polis yang telah sampai di sini dahulu.
Apabila melihat Almi dan Arifan sedang menghampiri, Mokhtar terus membaca laporan tersebut.
"Mangsa ialah seorang wanita berbangsa Cina, bernama Wai Mai Hui. Berumur 45 tahun, seorang ibu tunggal, bekerja sebagai kerani di sebuah kilang berdekatan. Siasatan awal menunjukkan mangsa mungkin meninggal-dunia kerana kehilangan banyak darah akibat ditikam pada bahagian abdomen. Ditemui meninggal-dunia pada pukul 7.30 pagi apabila jirannya mahu melawat keadaannya..."
"Kenapa dia perlu membuat lawatan? Bukankan mangsa sepatutnya bersiap untuk pergi kerja?" soal Almi ingin tahu.
"Jirannya kata sebab dia masih lagi bersedih-hati atas kematian anak tunggalnya pada sebelum ini. Dia mengambil cuti selama dua minggu."
"Bila anaknya meninggal-dunia?"
"Sebulan yang lepas. Katanya sebab bunuh diri. Mangsa mengesyaki bahawa anaknya mungkin dirogol."
"Dirogol?" ulang Almi. Arifan sudah menggelengkan kepalanya. Dia memang pantang dengan kes rogol.
"Um, tapi itu saja yang berada dalam laporan awal. Tidak ada perincian tentang kejadian itu. Jom kita masuk dan mulakan siasatan lanjut." ajak Mokhtar dan mendahului mereka semua.
Arifan hanya mengikut. Almi masih berada di muka pintu hadapan. Dia memerhatikan keadaan rumah itu terlebih dahulu. Setelah itu barulah dia mengikuti langkah Mokhtar.
Jasad mangsa yang tidak bernyawa masih lagi terbaring kaku di atas lantai. Pisau 20 cm masih lagi melekat di bahagian abdomen tubuhnya. Darah merah yang pekat dan hampir kering mengotori lantai mozek tersebut. Almi mengalihkan pandangannya ke arah meja makan berdekatan mangsa.
Kelihatan, beberapa biji buah epal merah di atasnya. Di atas meja itu juga terdapat dua cawan yang sudah berisi air teh jasmin dan empat biji karipap yang diletakkan di atas satu piring. Dia berlalu ke dapur pula dan memeriksa setiap kabinet yang tertutup dan memerhatikan lantai di bawah. Dia ingin memastikan dia tidak terlepas pandang walau pun satu bahan bukti.
Mokhtar dan Arifan sedang memerhatikan keadaan mangsa dan membiarkan Almi menyiasat dengan caranya sendiri. Mereka tahu Almi tidak suka diganggu oleh sesiapa saat dia sedang menyiasat.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Misterio / Suspenso[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...