Idea asal: norfaqim
Olahan & penulis: pelukishidup
HUJAN lebat membasahi bumi Hulu Langit. Deraian hujan yang jatuh ke setiap atap rumah kedengaran kuat. Seorang lelaki keluar dari keretanya dan berlari menuju ke pintu pagar sebuah rumah sambil membimbit suatu beg bimbit. Dia membunyikan loceng rumah.
Dia tidak mempunyai payung dan hanya memakai baju hujan untuk melindungi dirinya daripada terkena air hujan. Satu minit selepas itu, seorang lelaki yang sedang memegang payung keluar dari rumah dan membuka pagar kecil bersebelahan pagar utama.
Lelaki berbaju hujan tersebut memasuki kawasan rumah dan mengikuti lelaki berpayung itu memasuki rumah. Setelah memasuki rumah, lelaki berbaju hujan menyangkut baju hujannya di luar supaya air hujan itu tidak membasahi rumah terbabit.
"Terima kasih Liam." balas lelaki itu.
Lelaki berpayung itu atau Liam mengangguk. "Sama-sama Tuan Arifan. Tuan Arifan boleh duduk dahulu, saya akan membuat air."
"Aku nak air milo panas, kalau adalah. Terima kasih."
"Baik Tuan."
Arifan melabuhkan punggungnya di kerusi sofa bujang dan menunggu Liam membawa air milo yang dia pesan tadi. Dia meletakkan beg bimbit di sebelahnya. Setelah lima minit berlalu, Liam keluar dari dapur sambil menatang dulang berisi jug air, dua gelas dan sepiring kuih cek mek. Liam meletakkannya di atas meja ruang tamu dan Arifan pula sudah tidak sabar untuk menerkamnya.
"Terima kasih Liam." Arif meminum air itu dengan penuh nikmat.
"Apa yang membuatkan Tuan ke mari?"
"Ah, Almi ada?"
"Tuan Almi sedang berehat di dalam biliknya."
"Dia demam lagi ke?"
"Batuk dan selsema sahaja. Demamnya sudah kebah sebelum ini."
"Oh." Arif melepaskan keluhan ringan.
"Kenapa?"
"Huh, aku sebenarnya perlukan dia untuk membantu aku menyiasat suatu kes. Tapi, memandangkan..."
"Kes apa?" soal Almi yang sedang menuruni tangga.
Almi memakai baju sejuk dan topeng muka sebagai langkah penjagaan. Rambutnya agak kusut kerana baru sahaja bangun daripada tidur selepas menelan ubat batuk dan selsema yang mengandungi sedatif.
"Kes yang pernah Mokhtar tangani. Namun, suspek utama kes dia sebelum ini telah meninggal dunia dan dia dituduh sebagai pembunuh atau lebih tepat lagi suspek utama."
"Menarik."
Arifan tersentap.
"Apa yang menariknya!? Mokhtar sedang meringkuk di dalam penjara kerana sesuatu yang dia tidak lakukan. Kasihan dekat anak bini dia, Almi. Mereka berdua masih bergantung dengan Mokhtar. Kamu kena faham itu."
Almi hanya mendiamkan dirinya. Dia tidak berminat untuk mendengar luahan Arifan. Dia menunjukkan wajah tidak berekspresi seperti selalu dan duduk di kerusi sofa ruang tamu berhadapan dengan Arifan. Kemudian, dia menyilangkan kakinya.
"Tunjukkan saya perincian kedua-dua kes. Tuan ada membawanya bukan?" Almi menduga sambil melirik ke arah beg bimbit yang berada di sebelah Arifan.
Arif mengangguk dan membuka beg bimbit itu lalu meletakkan dua jenis fail di atas meja kaca. Almi mengambil sebuah fail yang dilabelkan sebagai kes satu. Dia membuka fail itu dan meneliti setiap laporan yang dibuat oleh Mokhtar berserta gambar-gambar kejadian. Di dalam laporan Mokhtar tidak ditaip keseluruhan kes. Mokhtar hanya menaip tentang pandang pertama dia semasa ke tempat kejadian.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Mystery / Thriller[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...