...
MOKHTAR menaip semula laporan mengenai kes arwah Ahmad Safwan ke dalam sebuah aplikasi dokumen pada komputer di pejabatnya itu. Setelah kes ini selesai, dia akan mencetaknya semula dan kemudian mengepilkannya ke dalam fail dokumen yang lain.
Dia mempunyai tiga lagi kes untuk disiasat dan dikendalikan. Segala dokumen yang ditaipnya itu merupakan siasatan awalnya semasa melawat tempat kejadian. Jika berkesempatan pada hari ini, dia akan ke sana kembali untuk siasatan lanjut. Itu pun sekiranya terdapat sesuatu yang berbangkit daripada siasatan awalnya itu.
"Macamana dengan kes itu?" duga Arif memecahkan kesunyian.
"Kejap lagi aku ingin ke sana semula untuk siasatan lanjut."
"La, kenapa balik ke sini semula kalau nak ke sana balik? Kenapa menyusahkan diri kau sendiri pula?"
"Aku kena buat laporan akhir kes aku semalam. Aku juga kena baca fail di atas meja mangsa aku tadi itu."
"Bukankah ia kes bunuh diri?"
"Haih, entahlah aku tidak berpuas-hati dengan suatu perkara. Jadi, aku masih lagi belum boleh beri kata putus. Ia sememangnya seperti suatu kes bunuh diri, tetapi pada aku ia bukan. Salah satu barang bukti tidak berada di tempat yang sepatutnya. Malahan, kenapa mangsa membuat keputusan yang tiba-tiba seperti ini? Mesti ada sesuatu yang membuatkan dia bertindak sebegini, kan?"
"Namun, semasa aku tanya pekerja-pekerja dia, tak ada pula mangsa berkelakuan aneh belakangan ini. Aku berhajat untuk soal-siasat ahli keluarga dia juga. Jika, mangsa memang mempunyai masalah, jadi aku boleh tutup kes ini. Dan, kalau kau nak tahu, FAIL mangsa itu merupakan bukti-bukti yang dia telah menyeleweng duit syarikat dan ia merupakan jenayah korporat. Aku kena pastikan hal ini sebelum serahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK). Nanti mereka kata aku tak buat kerja pula."
Arifan mengangguk-angguk sambil bermain-main dengan bulu kumis di dagunya itu.
"Oh, patutlah kau begitu ambil serius dengan kes ini. Mungkin itulah sebab dia membunuh diri, kan? Kalau ikut daripada segi logiknya. Ke aku silap?"
"Itulah yang membingungkan aku dan membuatkan aku masih lagi tidak berpuas-hati. Heh!" Mokhtar tergelak kecil pada akhir ayatnya.
"Awat hang gelak pulak?"
"Entah kenapa aku pula yang mengambil-alih tugas si Almi itu."
"Jarang sekali..."
"......"
"Jarang sekali untuk mendengar seseorang yang jarang menggunakan otaknya memberitahu saya hal seperti ini. Terima kasih Tuan Mokhtar... Hahahahaha! Kau ingat tak kata-kata Almi kepada kau beberapa bulan yang lepas? Lawak gila ayat dia!"
"Kau rasa aku ada masa untuk main-main?"
"Hahahaha! Okey, okey! Bila kau nak ke sana? Aku nak ikut, ini sangat menarik untuk ditonton!"
"Um, tengoklah dulu. Kalau aku nak ke sana aku beritahu kau."
"Ingat tau, beritahu aku. Hahaha!"
Mokhtar menggelengkan kepalanya. Dia merenung fail yang ditemui di atas meja mangsa pada pagi ini. Terdapat sesuatu yang tidak enak di dalam hatinya. Dia menilik jam di dinding. Tepat pukul 5.25 petang. Masa tidak mengizinkan dia untuk menyiasat kes itu dengan lebih lanjut. Esok berkemungkinan dia harus menemui keluarga mangsa untuk mengambil keterangan.
...
MOKHTAR duduk di atas kerusi sofa sambil merenung anak sulongnya, Faris yang baru berusia 5 tahun. Faris sedang menconteng sesuatu pada sehelai kertas bersaiz A4. Mokhtar tersenyum simpul melihat gelagat anaknya yang cuba belajar memegang pensel.
"Faris buat apa tu?" celah Mokhtar sambil membelai kepala anak lelakinya itu.
"Warna! Faris belajar mewarna dengan Mak tadi. Tengok ni! Hihi! Ni ayah, ni Faris, ni...ni Mak!"
Faris menayangkan lukisannya kepada Mokhtar. Mokhtar mengambilnya dan beriak teruja.
"Anak ayah buat ke ni? Bagusnya anak ayah. Kenapa perut ayah buncit?"
"Sebab ayah dah gemuk."
Mokhtar terdiam. Dia tersentap dengan jawapan jujur anaknya itu. Ingin dimarahi, namun anaknya masih lagi kecil dan tidak faham apa-apa lagi. Mokhtar menarik nafas panjang.
"Hahaha!" Farisha iaitu isterinya ketawa nakal sambil menatang dulang bersama-sama tiga buah gelas berisi air Mylo panas.
"Kenapa Far gelak?"
"Betullah apa yang anak kita cakapkan tu, abang dah makin gemuk."
"Sebab sayang suka masak sedap-sedap."
"Aih, lain maciam pujian tu."
"Tak pandai ucapkan terima kasih ke?"
"Okeylah, terima kasih Abang. Abang, boleh tak tengokkan siling dapur kita? Saya ada dengar bunyi pelik tadi. Takut tikus aje. Tikus okey lagi, kalau yang panjang menjalar tu, gerunlah saya. Bukan apa, sebelum ni sudah kecoh dengan penemuan binatang panjang menjalar tu di atas siling."
"Binatang panjang menjalar? Snake ke? Kenapa tak panggil snake aje."
"Shhhh! Mak cakap tak boleh seru nama binatang tu, nanti dia betul-betul datang."
"Panggil ajelah snake, bukannya dia tahu nama Inggeris dia, kan. Diakan baka Melayu."
"Orang cakap serius ni, dia main-main pulak."
"Yalah, yalah. Nanti abang tengokkan. Tapi, kalau betul ia binatang panjang menjalar, maknanya abang dalam bahayalah kalau tengok keadaan di atas, kan?"
"Ala, abang bawalah batang besi, apa-apa ke. Jenguk aje, bukannya naik di atas terus."
"Pandai pula awak ya. Mana saya nak cari batang besi tu?"
"Ni ha, saya pinjam dekat Mak Som petang tadi."
Farisha memberikan batang besi kepada Mokhtar. Mokhtar memandang wajah isterinya dengan pandangan tidak percaya.
"Awak memang dah rancangkannya daripada awal ya."
Farisha mengangguk laju. Mokhtar tergelak kecil lalu menggelengkan kepalanya. Dia bingkas bangun dan menuju ke arah dapur. Farisha menuruti setiap langkahnya. Kini, dia berdiri tepat di bawah siling berbentuk segi empat tepat dan akan terbuka jika ditolak daripada bawah.
"Abang nak tangga tak?"
"Tak apa, abang guna kerusi aje."
Mokhtar menarik kerusi makan dan diletakkan tepat-tepat di bawah siling yang boleh dibuka tersebut.
Mokhtar memijak kerusi tersebut dan kemudian menolak siling segi empat tepat itu dan meletakkannya ke tepi siling sebelah. Dia menjengukkan kepalanya pada lubang siling terbabit sambil menyuluh kawasan siling itu menggunakan aplikasi lampu pada telefon pintarnya. Dia dapat melihat kawasan siling itu sudah dipenuhi oleh habuk dan sarang labah-labah.
Mata Mokhtar meliar melihat ke arah semua penjuru siling rumahnya itu. Kemudian, dia perasan sesuatu sedang melintas di depan matanya. Mata Mokhtar turut mengikuti pergerakkan itu. Bola matanya dikecilkan sebagai tanda untuk fokus. Mokhtar memerhatikan setiap gerakkan itu dengan tajam sehinggalah dia pasti tentang apa yang dilihatnya itu. Mokhtar menggelengkan kepalanya dan menutup kembali ruangan siling terbabit. Dia melompat turun dari atas kerusi.
"Ada apa Bang?"
"Tikus. Esok saya panggil Pegawai Kawalan Binatang Liar. Awak tak perlu risau."
"Terima kasih abang."
Mokhtar dan menuju ke arah ruang tamu kembali di mana anaknya, Faris masih ralit mewarna kertas lukisannya itu. Farisha menghembuskan nafas lega. Dia risau akan kewujudan haiwan memerbahaya seperti ular di dalam rumah yang dia dan keluarganya diami. Farisha menuju ke arah kabinet dapur dan mengambil satu tin biskut jagung dan dibawanya ke ruang tamu. Dia ingin mengunyah makanan sambil menonton drama pukul 7 kegemarannya.
...
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Misterio / Suspenso[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...