...sambungan Kes 4 (Bhg akhir)

458 49 15
                                    

...

Keesokkanya, di dalam bilik soal-siasat, pukul 8.00 pagi.

INSPEKTOR Khairi menghempaskan sebuah dokumen di hadapan pembunuh DOMINO tersebut. Suspek hanya tersenyum ringan ke arah Inspektor Khairi. Inspektor Khairi menjelingnya tajam dan memulakan perbualan.

"Aku nak kau beritahu aku satu persatu tentang pembunuhan yang kau lakukan kepada mangsa pertama dan kedua kau, Salleh!?" gesa Khairi.

Salleh atau suspek yang juga merupakan abang sulong mangsa pembunuhan di Domino Arked pada 20 tahun yang lalu hanya mendiamkan dirinya.

"Kau tak nak jawab, tak apa. Motif pembunuhan kau apa?"

"......" Salleh masih lagi mendiamkan dirinya.

"Kenapa kau membunuh orang yang tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan adik kau Salleh? Mangsa pertama dan kedua kau langsung tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan adik kau. Kenapa mesti mereka!?"

"......" Salleh memandang ke arah Khairi dan menjelingnya.

"Heh! Kalau kau tak jawab soalan aku lagi, aku akan patahkan tulang hidung kau! Kalau kau ke mahkamah sekalipun, kau tidak akan menang sebab kau sendiri sudah mengaku pembunuhan yang kau lakukan semalam!" jerkah Khairi lantang.

"Aku hanya akan jawab soalan daripada SESEORANG yang telah membongkarkan maksud di sebalik perkataan yang aku berikan untuk setiap pembunuhan yang aku lakukan." bisik Salleh dengan senyuman sinis. Khairi terus merentap baju Salleh dengan kuat.

"Kau panggil dia dan aku akan ceritakan semuanya dengan terperinci. Aku sukakan perbincangan dan aku ingin berbincang sesuatu dengan dia." sambung Salleh dengan senyuman lebar.

Khairi duduk di atas kerusi dan merenung Salleh tajam. Dia mengetap bibirnya dan menghentakkan tapak tangan di atas meja. Khairi berlalu keluar dari bilik soal-siasat dan menuju ke bilik pemerhati yang berada bersebelahan bilik soal-siasat. Dia dapat melihat Salleh dari cermin dua muka terbabit.

"Panggil Rayyan masuk ke dalam bilik itu!" arah Khairi kepada polis bawahannya.

"Baik Tuan!" sahut anggota polis itu dan terus memanggil Rayyan yang terpaksa memakai anduh pada lengannya.

Luka di bahu Rayyan akibat ditembak semalam hanya memerlukan beberapa jahitan memandangkan peluru hanya melukai bahagian tepi lengannya sahaja. Setelah lima minit berlalu, Rayyan memasuki bilik soal-siasat selepas dibenarkan oleh Inspektor Khairi. Rayyan menarik kerusi dan duduk di hadapan Salleh yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Kamu orang pertama yang membongkarkan klu itu?"

"Domino itu? Ya, saya. Inspektor Khairi cakap yang kamu akan memberitahu saya segala-galanya jika..."

Salleh menggelengkan kepalanya dengan perlahan-lahan.

"Kamu bukan orangnya. Saya maksudkan seseorang yang telah berjaya menyelamatkan Jamaluddin dan telah membongkarkan maksud disebalik pasu bunga itu. Dia tahu sesuatu yang saya tidak tahu dan saya yakin dia juga akan beritahu kamu semua segala perbuatan saya kepada kedua-dua mangsa BERTUAH saya itu." jelas Salleh dengan nada suara berbisik.

"Kamu seorang pembunuh yang tidak berhati perut. Mangsa yang kamu bunuh itu mempunyai ahli keluarga yang akan berduka dengan kematian mereka, seperti kamu yang kehilangan adik kamu."

"Ya, dan seperti mereka yang telah melanggar mati pejalan kaki dan tidak bertanggungjawab! Dan mereka terlepas dari hukuman yang sepatutnya. Hahahaha! Bercakap dengan kau amat membosankan kerana kau tidak tahu apa-apa."

Rayyan meramas tangannya kerana geram. "Orang yang kamu maksudkan itu lebih pandai berfikir berbanding dengan kamu walaupun dengan usianya yang begitu muda. Kamu sudah berumur. Namun, pemikiran kamu sangat cetek."

Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)Where stories live. Discover now