...
DAVID memasuki bilik Inspektor Syahir selepas dibenarkan. Dahi David berkerut seribu. Sebentar tadi, Rayyan menghantarkan mesej kepadanya untuk mendapatkan kebenaran Inspektor Syahir supaya Farsyad dibawa ke Bilik Soal-Siasat sekali lagi.
"Tuan, er. Um..." David serba-salah untuk menyatakan hajatnya.
"Ya, David. Kenapa?" soal Syahir juga berkerut.
"Sebenarnya Ray mesej saya. Dia suruh saya dapatkan kebenaran Tuan untuk bawa Farsyad ke Bilik Soal-Siasat sekali lagi. Dia kata, Farsyad mungkin ada kaitan dengan kes pembunuhan lima beranak yang terjadi di Hutan Hang Lipur pada 20 tahun yang lepas."
"Kes yang SPMG mahu kamu siasat itu?"
"Ya, Tuan."
"Farsyad pun terlibat? Macam mana?"
"Saya pun tak tahu Tuan. Oleh sebab itulah Rayyan ingin bawa Farsyad ke Bilik Soal-Siasat semula. Dia masih ditahan reman, bukan?"
"Ya. Okey, nanti saya beritahu yang lain."
"Terima kasih, Tuan." Balas David dan terus keluar dari bilik itu.
Syahir menelefon pihak sel untuk memaklumkan perkara itu. Setelah itu, dia merenung jam tangannya. Tepat pukul 6.00 petang. Waktu kerjanya sudah tamat pada hari tersebut. Sebelum dia balik, dia mahu menyaksikan sesi soal-siasat itu sekali lagi. Dia juga ingin mengetahui kaitan di antara Farsyad dengan kes tersebut.
Setelah selesai mengemas biliknya dan bersedia untuk balik, Syahir menuju ke arah Bilik Soal-Siasat bersama-sama Zakiran dahulu. Di luar Bilik Soal-Siasat itu, mereka berdua dapat melihat David, Lina dan Arifan sudah pun berada di situ.
"Kamu buat apa di sini Arifan? Bagaimana urusan pengebumian adik kamu?" soal Syahir kepada Arifan setelah menghampiri tempat tersebut.
"Assalamualaikum Tuan." Balas Arifan sambil mendabik dada.
"Waalaikumussalam."
"Sudah selesai. Mak saya pun sudah balik ke Kedah dengan kawan dia tadi. Dia tidak mahu berlama-lama di sini sebab ia akan menggamit kenangan lalunya dengan arwah."
"Yalah. Kamu tak ikut? Tak akanlah balai polis kamu tidak benarkan kamu cuti untuk beberapa hari bagi menemani ibu kamu tu?"
"Saya sudah minta cuti pada bulan depan untuk balik ke kampung. Jadi, saya tidak mahu bazirkannya."
Syahir sekadar mengangguk. "Jangan ikutkan emosi kamu sangat. Dekat dalam tu, pembunuh adik kamu. Jangan buat apa-apa yang bodoh. Saya mahu masuk ke bilik Soal-Siasat."
"Baik Tuan." Balas Arifan dan mengangguk ringan tanda memahami pesanan Syahir.
Kemudian dia, David, Lina dan Zakiran memasuki bilik pemerhati yang berada di sebelah pula. Syahir memasuki bilik Soal-Siasat itu dan dapat melihat Farsyad sedang menundukkan kepalanya.
Wajah Farsyad seperti orang tidak bersalah dan seorang manusia yang baik, tetapi rupanya dia pernah membunuh dengan sangat licik pada zaman mudanya. Syahir menarik kerusi dan duduk di situ.
"Kenapa saya dipanggil sekali lagi? Saya sudah beritahu Tuan segala-galanya tadi." Soal Farsyad.
"Kamu akan tahu." Balas Syahir acuh tak acuh dan hanya mendiamkan dirinya selepas itu. Keadaan bilik itu menjadi jeda untuk seketika.
Tidak lama selepas iti, bunyi pintu bilik Soal-Siasat dibuka. Kelibat Rayyan dan Almi sedang memasuki bilik itu dan terus mendekati Inspektor Syahir. Syahir melihat ke arah Rayyan dan kemudian beralih ke arah Almi yang masih tidak menunjukkan apa-apa ekspresi.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Misteri / Thriller[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...