Bab 6: Kes untuk Tuan Mokhtar

443 43 41
                                    

Idea asal: @imtaqym                

Penulis dan diolah oleh: Pelukis Hidup

SEMINGGU selepas kes pembunuhan Cik Tasya di dalam kereta, Almi sudah tidak memunculkan dirinya lagi di IPPD Hulu Langit kerana demam dan selsema yang dihidapinya. Mokhtar dan Arifan pula sudah tidak terbeban seperti dahulu memandangkan kes-kes lama yang mereka perlu tangani sudah diselesaikan dengan baik. Arif menyandar di kerusi dan menguap panjang.

"Mengantuk ke?" celah Mokhtar dengan senyuman nakal.

"Sikit...aaaaa..." Arif menguap sekali lagi. "Anak kau Faris dah okey ke?"

"Dah, dah okey dah sikit."

"Baguslah kalau macam tu. Demam dia tu berjangkit dekat Almi pula agaknya."

"Um...mungkin."

"Kau patut minta maaf dengan dia."

"Aku dah minta maaflah."

"Bila?"

"Lepas kau bawa suspek kita keluar dari bilik ini minggu lepas."

"Ya eh? Ala, aku baru nak tengok respons dia. Dia buat apa lepas kau minta maaf? Adakah dia gelak?"

"Haha, tak. Tapi, ada sesuatu yang amat memelikkan pada dia. Umur dia baru sahaja 13 tahun, tetapi kenapa aku tak pernah rasa dia seorang remaja. Seolah-olah dia seorang lelaki dewasa. Ia suatu perasaan yang memelikkan..."

'Tuan mempunyai sesuatu yang saya tidak ada, KEPERCAYAAN. Saya tidak mendapat kepercayaan sesiapa walaupun sehingga ke hari ini, mereka semua masih meragui saya. Meragui kelebihan yang saya ada. Tuan ingin tahu satu PERKARA? Saya bencikan SIASATAN dan saya bencikan kebolehan saya. Saya sangat bencikannya. Tetapi, saya perlu gunakannya KERANA saya tahu ada hikmah kenapa saya dipilih untuk memilikinya, iaitu menolong mangsa yang tidak mendapat keadilan yang sepatutnya-Almi.'

Kata-kata Almi kepadanya pada minggu lepas telah bermain-main dalam kepalanya seperti kaset lama pula. Mokhtar menghembuskan nafas panjang. Dia mengerutkan dahinya seribu.

"Kau okey ke Mokhtar? Berkerut seribu dahi kau tu."

"Aku okey..."

Bunyi deringan telefon pejabat mereka kedengaran pula. Mokhtar mengangkat gagang telefon dengan malas dan menekupkannya ke telinga. Mokhtar mengangguk banyak kali dan kemudian barulah dia bersetuju. Setelah talian itu tamat, Mokhtar bingkas bangun sambil memegang sebuah fail.

"Kenapa?" duga Arif.

"Kes mati. Polis berdekatan mengklasifikasikannya sebagai bunuh diri. Aku nak ke tempat kejadian kejap. Jaga balai kita." pesan Mokhtar sebelum berlalu pergi.

"Baiklah, Tuan. Hehehehe." Arif tersenyum nakal sebelum meneguk air nescafe latte panas.

...

MOKHTAR menuju ke keretanya bersama-sama Konstabel Leman. Dia selalu membawa Leman atau Luffi untuk menemaninya ke tempat kejadian. Jika Arif mempunyai masa terluang barulah mereka akan menyiasat kes bersama-sama. Namun, peluang itu tidak selalu datang. Jarak dia ke tempat kejadian daripada IPPD mengambil masa selama 20 minit JIKA keadaan jalan raya tidak sesak.

Setelah sampai di situ, Mokhtar memasuki sebuah bangunan DUA tingkat dan menuju ke tingkat KEDUA di mana mayat itu ditemui dengan kesan torehan di lengannya.

Sosok tubuh kaku mangsa sedang elok duduk di atas kerusi pejabatnya sendiri. Mangsa merupakan naib CEO di dalam Syarikat Perniagaan Kosmetik GrinBea. Kepala mangsa terlentok ke atas meja. Manakala, lengannya terjuntai di tepi meja tersebut dengan TIGA kesan kelaran. Darah itu telah kering dan sudah tidak menitik lagi. Keadaan di bawah lantai dipenuhi dengan darah merah yang hampir pekat. Mokhtar memerhatikan tempat itu dengan tajam.

Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)Where stories live. Discover now