.
.
.
ARIFAN sedang duduk di bawah pondok kecil yang terdapat di tengah-tengah bendang padi yang masih menghijau. Dia sedang merenung suasana petang yang hampir dijengah oleh waktu senja itu. Kemudian, dia memandang ke arah Almi.
"Kau sukakannya?" soal Arifan dengan senyuman bangga.
"Sukakan apa?" soal Almi tanpa ekspresi.
"Berada di sini. Kampung halaman aku. Aman, kan? Aku suka datang sini setiap kali aku sedih atau kecewa. Banyak sangat kenangan aku di tempat ini. Baik dan buruk, walau pun tidak seburuk kenangan aku di Asam Gelugor............Terima kasih."
"Berapa bany..."
"Tak, kali ini aku betul-betul maksudkannya, Almi. Aku pernah berdoa agar aku berjaya menemukan adik aku dahulu sebelum aku meninggal-dunia, walau pun aku terpaksa hadap kematian dia. Itulah yang aku selalu doakan dahulu. Jadi aku bersyukur...." kata Arifan sambil melihat ke arah sawah padi dan bukannya ke arah Almi yang berada di sebelahnya itu.
"Aku bersyukur kepada Allah dan juga kepada kau. Banyak yang aku belajar dari kau. Sejujurnya, aku tidak pernah kenal seseorang seperti kau. Kau sangat berbeza. Tetapi, perbezaan itulah yang menjadikan kau istimewa. Kau istimewa dengan cara kau sendiri, Almi..."
"...Suatu hari nanti, akan ada hari yang sukar untuk kau hadapi. Jika saat itu tiba, kau ingatlah Allah. Pada saat ia telah selesai pun, kau perlu ingat Allah. Apabila kau mengingati Allah pada saat susah dan senang kau, Allah juga akan ingat pada kau, Almi. Insya-Allah...."
"....Allah pernah berfirman di dalam Al-Quran bahawa pada hari kiamat nanti, Dia akan melupakan dan membiarkan orang yang telah melupakan-Nya ketika mereka masih di dunia ini. Jadi, kau janganlah jadi macam itu..."
"...Manusia selalu mewasiatkan harta benda dan pusaka mereka kepada anak-anak. Ia perkara yang bagus dan suatu kewajipan bagi kita. Tetapi, mereka telah melupakan sesuatu yang lebih penting daripada semua itu iaitu Islam dan Al-Quran. Di dalam Al-Quran, Allah telah memberitahu kita bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub telah mewasiatkan kepada anak-anak mereka tentang Islam, dan supaya mereka tidak mati melainkan dalam Islam."
"...Kau pun janganlah mati melainkan dalam Islam. Untuk mati dalam Islam, kau perlu menjauhkan diri kau daripada larangan Allah dan melaksanakanlah semua perintah-Nya dengan HAK. Dengan itu, kau akan berjaya, Almi...."
"...Aku tidak tahu berapa lama aku akan hidup Almi, tapi aku nak kau tahu, salah satu cara untuk berjaya juga ialah dengan menggembirakan hati orang muslim, membebaskan mereka dari masalah yang membelenggu mereka dan memudahkan kerja mereka. Kau mungkin rasa ia perkara yang kecil, tetapi di sisi Allah ia sesuatu yang besar. Itulah sesuatu yang manusia selalu lupakan, Almi..."
"...Dunia ini pula seperti fatamorgana. Ia kelihatan nyata, tetapi ia hanyalah bayangan yang sementara. Bayangan yang akan hilang. Apa yang kau ada sekarang belum tentu milik kau sepenuhnya kerana kau tetap akan mati suatu hari nanti. Tapi, jika kau berjaya masuk ke dalam Syurga, sesuatu yang menjadi milik kau itu akan KEKAL menjadi milik kau termasuklah nyawa kau sendiri..."
"....Itulah kata-kata mak aku pada 22 tahun yang lepas, Almi. Pada saat adik aku hilang, mak aku tidak pernah goyah. Keyakinan dan semangat dia untuk hidup tidak pernah goyah. Sedangkan aku, hari-hari menangis sebab adik aku itu. Jadi, dia datang kepada aku dan menerangkannya dengan penuh kesabaran sehinggalah aku memahaminya. Aku sangatlah mengagumi dia...."
"....Dia pernah cakap dekat aku yang dia redha jika adik sudah tidak ada pada masa itu kerana dia tahu anak-anak dia hanyalah pinjaman dari Allah SWT. Dia bersyukur Tuhan meminjamkan adik aku kepadanya walau pun hanya untuk sementara di dunia ini. Selama ini aku.....bercita-cita untuk jadi seperti dia. Menjadi kuat dalam menghadapi hidup ini......"
"....Almi, aku nak kau ingat pesanan aku ini. Jangan biarkan kemarahan dan kebencian kau menguasai diri. Orang yang mampu mengatasi semua itulah orang yang paling kuat. Jangan lupa tu............"
Arifan mengakhirinya dengan senyuman yang semakin luntur. Semakin lama ia semakin pudar. Pandangan mata Almi pula tiba-tiba menjadi kabur. Ia kabur apabila air matanya mula menitik.
"...Kami minta maaf."
Seorang Doktor Pakar Bedah meminta maaf kepada Mokhtar. Kata-kata itulah yang telah menyebabkan mata Almi mula menjadi kabur. Mokhtar terus meraup wajahnya dan mengucapkan lafaz istirja.
Segala memori dia bersama-sama Arifan selama lebih 10 tahun berterbangan di dalam mindanya. Bayangan saat pertama kali Arifan melaporkan diri di balai polis itu dan memperkenalkan nama kepadanya, semakin membuatkan dia berasa hiba.
Air mata Almi mengalir dengan laju. Dia bingkas bangun dan terus mendapatkan Liam lalu memeluknya. Dia menangis sehingga tersedu-sedan di dalam pelukkan Liam. Dia merasainya sekali lagi. Perasaan kehilangan seseorang yang telah berjaya menghuni hatinya sedangkan hatinya itu sangat susah untuk dihuni oleh seseorang.
Sudah lama dia menutup pintu hatinya setelah apa yang berlaku kepadanya pada lima tahun yang lepas iaitu sewaktu dia dikhianati oleh pensyarahnya sendiri. Tika itu, dia mengunci hatinya dengan rapat. Oleh sebab itulah dia tidak pernah rapat dengan sesiapa lagi selain Pak Cik Muslim dan Liam. Namun, Arifan berjaya menghiasinya.
Menghiasi hatinya dengan kata-kata, bebelan, gurauan, tazkirah serta nasihat yang ringkas itu. Di mana lagi dia akan menemui seseorang yang suka menasihati dan menegurnya itu? Dia tidak ada galang gantinya. Muhamad Arifan bin Ammar, tidak akan ada penggantinya.
Kerongkongnya terasa pedih kerana cuba menahan tangisan yang dirasainya itu. Jika ini ialah rumahnya, sudah lama dia menangis dengan kuat. Liam membalas pelukkan itu dengan mengusap kepala Almi dengan perlahan-lahan dan menepuk-nepuk belakang badannya.
Remaja lelaki inilah yang pernah muat dalam dukungannya pada sebelum ini. Ini bukan kali pertama dia melalui suasana ini. Sudah dua kali. Kali pertama, ketika kematian Tuan Muslimnya pada dua tahun yang lalu.
Arifan bukan sahaja kawan yang penting bagi Almi dan Mokhtar, tetapi sahabat sejati mereka. Dia juga sudah menganggap Arifan sebagai kawan dan teman untuk dia berbual-bual. Tuan Arifan seorang yang ramah. Sifat ramah itulah yang membuatkan dia disenangi oleh orang lain.
Setiap kali Arifan menumpang rumah mereka, dia dan Arifan akan khusyuk berbual-bual mengenai kehidupan. Bermula dari situ, Arifan telah menjadi teman berbualnya. Kehadiran Arifan juga telah mengisi kekosongan di dalam hidupnya.
Kosong kerana Almi seorang yang jarang bercakap atau bertutur-kata. Jadi, rumah itu sangat sunyi pada sebelum ini. Tetapi, ia telah dihiasi oleh suara dan gelak-tawa Arifan selama dua tahun.
Kasihan dengan Tuan Almi. Sudah macam-macam ujian yang dilaluinya dan dia telah menyaksikan semua perkara itu. Setelah perkara ini berlaku, adakah dia masih lagi dapat melihat gelak-tawa Tuan Mudanya?
Kali terakhir dia mendengarnya ialah ketika Tuan Mudanya berumur 9 tahun. Selepas itu, Tuan Mudanya telah berubah. Liam menarik nafas yang panjang dan kemudian mengucup kepala Almi.
Rayyan melihat Almi dan Mokhtar dengan pandangan sayu. Dia tidak terkejut dengan reaksi Mokhtar, tetapi agak terkejut dengan reaksi Almi. Selama ini, Almi jarang menunjukkan emosinya. Wajah yang ditunjukkan oleh Almi selalunya tidak berekspresi. Dia mengenali Almi dengan ekspresi itu.
Namun, melihat Almi menangis hiba sampai teresak-esak dalam pelukkan Liam menunjukkan sisi baharu Almi. Menunjukkan bahawa Almi juga manusia yang mempunyai emosi. Dan emosi manusia itu sangatlah rapuh.
~ ~ ~
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Mystery / Thriller[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...