...
KEESOKKANNYA, Almi dan Liam bergegas untuk ke IPPD Hulu Langit. Rayyan turut mengikut. Semalam dia telah mengikuti Inspektor Khairi untuk siasatan tentang suatu pembunuhan. Hari ini, dia ingin mengikuti Inspektor Khairi lagi untuk siasatan lanjut. Oleh sebab itu, dia menumpang kereta Liam.
Setelah sampai, Almi menuju ke arah pejabat Pegawai Penyiasat. Mokhtar meraup wajahnya sendiri apabila melihat wajah Almi pada pagi itu.
"Apa maksud kamu dengan memanggil Cik Rina ke sini untuk keterangan lanjut?" soal Mokhtar tentang mesej yang dia dapat daripada Almi semalam.
Almi sekadar memberi reaksi biasa. "Tuan Mokhtar ada menyiasat kandungan di dalam telefon mangsa kan? Boleh saya tahu kandungan mesej antara Rina dan mangsa?"
"Untuk apa? Ibu bapa mangsa akan mengambil semua barang-barang mangsa nanti. Tidak perlulah kamu menyibuk tentang kes yang terang-terang disebabkan oleh kemalangan."
"Saya mahukan kandungan mesej antara mangsa dan Rina."
"Kamu ini pekak ke apa?"
"Mungkin Tuan Mokhtar boleh mengizinkan dia untuk melihatnya walaupun untuk sementara." celah Rayyan cuba memujuk Mokhtar kerana dia tahu Almi tidak pandai memujuk dan berkomunikasi.
Mokhtar melihat ke arah Rayyan tajam. "Saya ingatkan kamu ingin mengikuti Tuan Khairi lagi. Tuan Khairi nampaknya sangat sukakan kamu. Tak macam seseorang itu, hari pertama bekerja dengan Tuan Khairi pun sudah timbulkan masalah." sindir Mokhtar kepada Almi.
Pada sebelum ini, Tuan Khairi pernah memarahi Almi kerana hanya mengikut kepalanya sendiri dan tidak mengikut arahan.
"Janganlah macam tu Tuan Mokhtar." Rayyan membuat wajah serba-salah.
"Saya hanya mahu melihatnya untuk sementara." balas Almi dengan wajah tidak berpuas-hati.
"Kamu harus beritahu saya dahulu kenapa saya perlu panggil Cik Rina ke sini?" tegas Mokhtar.
Arifan yang berada di meja sebelah Mokhtar menelan air liurnya sendiri. Sejak semalam lagi angin Mokhtar tidak begitu baik. Oleh sebab itulah, dia tidak mengikuti siasatan dengan Mokhtar semalam. Ia mungkin disebabkan oleh anak sulungnya, Faris yang masuk ke dalam wad kerana demam panas. Dia mesti risaukan keadaan Faris itu. Mokhtar cuba mengambil cuti. Namun, kerja yang berlambak dan tidak pernah habis telah membantutkan niatnya.
"Sebab dia ialah pembunuhnya."
"Kamu nikan!" Mokhtar berdiri dengan rakus dan menghentakkan tangannya ke atas meja.
Arifan terperanjat dengan perbuatan itu dan terus menepuk bahu Mokhtar.
"Mokhtar, pergi sejukkan diri kau sekejap. Kau pergi masuk pantri buat air dan minum di situ. Lepas kau lega, kau masuk balik." arah Arifan lembut.
Selama ini Mokhtar seorang yang tenang walaupun agak tegas. Pada sebelum ini, dia yang asyik ditenangkan oleh Mokhtar. Namun, hari ini dia pula perlu tenangkan lelaki separuh umur tersebut. Mokhtar mengangguk ringan dan mengikuti cadangan Arifan. Mokhtar keluar dari bilik itu sambil memberi jelingan tajam kepada Almi. Namun, riak muka Almi masih belum berubah dan seperti selalu. Tidak berekspresi. Rayyan pula sudah pucat lesu dengan amarah Tuan Mokhtar tadi.
"Haih, Almi. Awak janganlah paksa dia macam tu kalau awak tahu angin dia tidak berapa baik. Jangan main-main dengan angin seseorang, kena awak nanti. Maaflah pasal Mokhtar tu." kata Arifan dengan bersahaja.
"Sejak bila Tuan Arif dan Tuan Mokhtar bertukar personaliti?" Almi mengerutkan dahinya.
"Hah!? Hahaha! Kau memang nak kena dengan aku juga agaknya. Hahaha! Tiga belas tahun! Hahaha!" Arifan ketawa besar. Dia tidak tahu kenapa soalan Almi tadi telah menggeleteknya.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Misterio / Suspenso[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...