Setelah itu, beberapa orang pegawai polis termasuklah Mokhtar memasuki bilik pejabat tersebut. Arifan terus memandang ke arah muka pintu pejabat terbabit dan mengukirkan senyuman nipis.
"Kau ke yang ambil kes ni?"
"Um, kejar KPI. Biasalah." Jawab Mokhtar ringkas.
"Bagus kau ni, berdedikasi."
"Kau pula buat apa dekat sini? Bukan kau cuti ke?"
"Aku yang telefon bahagian kecemasan tau. Aku memang sedang cuti pun tapi, benda dah nak jadi."
"Jangan cakap kau berada di sini sewaktu kejadian itu berlaku?"
"Aku berada di sinilah, dengan Almi. Aku nak beli barang untuk masak tengah hari. Tapi, masa tengah beli barang aku dengar orang menjerit, aku pun menuju ke arah dialah, seperti pak polis yang bertanggungjawab. Dia kata ada mayat dalam pejabat dia. Mayat pengurus dia. Aku dan Almi pergi siasatlah di dalam ni. Baru lagilah kami masuk ke sini, dalam 15 minit sebelum kau datang."
"Um, mana Almi?'
"Ada dekat dalam, tengah tengok CCTV. Macam biasalah, dalam dunia dia sendiri."
"Kau ada siasatan awal?"
"Um! Nama mangsa Vijay Vagan a/l Devgan. Pengurus di cawangan ni. Sudah lima tahun jadi pengurus. Ada seorang isteri, tapi masih belum dikurniakan anak. Mak Mertua dia duduk dengan dia dan menghidap penyakit darah tinggi. Dia ditemui dalam pukul 8.45 tadi oleh pekerja perempuan yang bernama Sherryl. Aku dan Almi tengok mangsa dalam 8.49..." jelas Arifan. Dia mengetahui nama-nama pekerja itu kerana melihat tag nama yang dipakai oleh mereka.
"....Pada waktu itu, mangsa sudah terbaring dengan mulutnya berbuih. Aku tengok mayat mangsa menunjukkan kesan pallor mortis, jadi maknanya ia baru sahaja berlaku. Sendi-sendi mangsa pun masih belum mengeras sepenuhnya (rigor mortis) lagi. Di atas lantai kejadian tu, ada beberapa pil darah tinggi bertaburan dan ada sebotol minuman tenaga yang sudah kosong berhampiran tangan kanannya. Aku syak dia diracun dan air di dalam minuman tenaga itulah yang meracunnya."
"...Aku tidak benarkan pekerja-pekerja pejabat ni keluar tanpa kebenaran polis kerana buat masa ni, mereka akan menjadi suspek memandangkan ia berlaku di dalam pejabat ini."
"Kerja yang bagus Arif."
"Aku tak tahu berapa umur mangsa sebab aku tak boleh pegang dompet mahu pun IC dia. Aku tak pakai sarung tangan dan pakai tisu sangat menyusahkan. Takut cemarkan barang bukti."
"Almi? Dia selalu bawa peralatan dia walau ke mana sahaja dia pergi, kan?"
"Ala, dia tu pantang jumpa mayat, terus berada dalam dunia dia sendiri. Aku malas nak kacau dia."
Mokhtar tergelak kecil. "Jadi, kau nak uruskan kes ni bersama-sama aku tak? Kalau kau tak nak kau boleh balik dan teruskan cuti kau. Tugas kau dah selesai."
Arifan sedang berfikir dan berkira-kira. "Aku bantu kaulah."
"Masuk bekerja?"
"Um."
"Kasihan kau."
"Dah biasa."
Mokhtar menuju ke arah bilik pengurus itu dan dapat melihat Almi sedang fokus melihat CCTV. Mokhtar menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia terus menghampiri mayat mangsa dan memeriksa bahagian tangan, lengan, leher dan kepala mangsa. Tidak ada kesan luka yang mencurigakannya.
Kemudian, dia beralih ke arah badan mangsa pula. Masih lagi tidak ada apa-apa perkara yang mencurigakan. Namun, pada bahagian poket belakang mangsa terdapat dompet milik mangsa. Mokhtar membukanya dan mengeluarkan kad IC. Dia ingin mengetahui umur mangsa.
"Mangsa berumur 40 tahun." Kata Mokhtar. Arifan hanya mengangguk.
Setelah itu, dia memasukkannya ke dalam plastik berzip kerana ia akan dibawa oleh pihak polis nanti untuk siasatan lanjut. Mokhtar mengambil botol minuman tenaga itu dan memasukkannya ke dalam plastik setelah mengamatinya. Dia berarah ke botol ubat darah tinggi yang jatuh di atas lantai dan pil yang bertaburan di atas lantai itu.
"Ada kesan kena pijak. Kau pijak ke?"
"Tak, salah seorang pekerja. Dia masuk sebab nak periksa nadi mangsa, tapi telah terpijaknya." Balas Arifan. Nasib baik dia sudah bertanyakan soalan itu kepada mereka daripada awal tadi. Fikirnya.
Mokhtar mengangguk faham. Staf Jabatan Forensik sedang membuat kerja berhampiran tempat itu. Dua orang polis berpangkat Konstabel pula sedang memasang garisan polis pada tempat berhampiran tempat kejadian. Mereka melakukan kerja seperti yang diarahkan oleh Inspektor Mokhtar.
Almi sedang melihat rakaman CCTV sejak daripada awal pagi tadi lagi. Rakaman CCTV pada pukul 8.05 pagi menunjukkan mangsa dan Mark memasuki pejabat itu bersama-sama. Setelah itu mangsa menuju ke arah biliknya. Kemudian, dalam pukul 8.25 mangsa seperti sedang bercakap kepada pekerja bawahannya. Mungkin untuk mengingatkan mereka semua tentang mesyuarat pada pagi itu. Mangsa memasuki biliknya kembali pada pukul 8.27.
Semua pekerja telah naik ke atas kecuali Mark. Mark mungkin sedang menunggu mangsa mengambil barang-barangnya. Tepat pukul 8.29 pagi, mangsa keluar semula dari bilik tersebut dan mendapatkan Mark yang berada di anak tangga ketiga dan bercakap untuk seketika. Namun, mangsa kembali semula ke biliknya pada pukul 8.30 pagi. Mark pula sudah meneruskan perjalanan ke bilik mesyuarat seperti yang lain.
Mangsa tidak keluar dari bilik itu lagi. Ia menunjukkan mangsa telah meminum air itu dan meninggal di tempat kejadian tanpa diketahui oleh sesiapa. Pada pukul 8.43 pagi, kelihatan dua orang pekerja sedang menuruni tangga. Seorang lelaki dan perempuan. Lelaki itu ialah Daus dan perempuan itu ialah Sherryl.
Mereka berdua memasuki bilik itu dan pada pukul 8.45 Sherryl berlari keluar sambil memekik dan menuju ke arah Zulin yang sedang menyusun barang di rak makanan. Sherryl berlari sambil memasukkan tangan kirinya ke dalam poketnya. Sewaktu sampai kepada Zulin dan memeluknya, barulah tangan di dalam poketnya dikeluarkan.
Almi mula mengesyaki sesuatu. Dia menekan rakaman CCTV yang merakam keadaan Zulin pula. Dia memutarkan balik masa pada rakaman itu dan berhenti pada pukul 8.35 pagi. Zulin sedang menyusun barang-barang ke rak. Namun, di dalam rakaman itu, Zulin kelihatan sangat peka dengan bilik pejabat kerana setiap satu minit atau kurang dia akan memandang ke arah pejabat tersebut. Pada pukul 8.43 pagi perbuatan itu makin kerap.
Almi meraba poket bajunya kerana mencari kiub rubik mininya dan ingin bermain dengannya seperti biasa. Namun, kiub rubiknya tidak berada di situ. Almi meraba-raba seluruh badannya dan akhirnya mengeluh panjang.
"Tak guna! Tak guna! Tak guna!" katanya banyak kali sebelum menyembahkan mukanya ke atas meja tersebut.
Arifan dan Mokhtar berpaling ke arah Almi serentak. "Kamu ni dah kenapa Almi?" duga Mokhtar.
Almi mengangkat mukanya dan melihat wajah Mokhtar. "Sejak bila Tuan Mokhtar berada di sini?"
"Sejak dari tadi, kau aje yang tak perasan. Kau tengok komputer tu macam nak masuk dalam aje." Bidas Arifan.
"Ini semua salah Tuan Arifan."
"Kenapa aku pula? Kau dari semalam lagi cari pasal dengan aku ni."
"Sebab Tuan Arifanlah saya tertinggal mainan saya."
"Kiub rubik kau ke? Ah, padan muka kau."
"Huh. Boleh kita mulakan siasatannya sekarang?" duga Almi dengan wajah monyok.
"Kami dah mulakannyalah Almi."
"Saya maksudkan soal-siasat. Memandangkan Tuan Mokhtar telah sampai, kita boleh mulakannya sekarang, kan?"
"Um, jom." Ajak Mokhtar dan terus keluar dari bilik tersebut.
Dia sudah pun menyiasat keadaan mangsa dan tempat kejadian, jadi memang sudah sampai masa untuk dia menyoal-siasat pekerja-pekerja itu pula. Mayat mangsa telah pun dihantar ke Jabatan Forensik setelah dibawa oleh polis dan staf forensik ke sana. Mungkin dalam tengahari nanti, keputusan darah mangsa dan jenis racun akan dapat dikenalpasti. Cap jari pada botol minuman tenaga itu juga mungkin akan dapat dikesan. Isteri dan keluarga mangsa akan dimaklumkan kemudian.
YOU ARE READING
Kes untuk A13-R10 (Complete, currently unpublished)
Mystery / Thriller[EXTENDED VERSION] [currently unpublished] (sudah tamat, cuma yang selebihnya saya unpublished due to some reasons) [Skuad Penyiasatan Manusia Genius (SPMG) merupakan organisasi rahsia yang telah diasaskan oleh Menteri Pertahanan Awam sebagai inisia...