Penilaian Semula Penyabitan Hukuman Terhadap Beberapa Perlakuan Seksual
Hukuman yang sabit untuk salah laku seks adalah zina, rogol dan gangguan seksual. Selebihnya adalah terserah pada hakim dalam menentukan kemaslahatannya. Apapun, bukan semua cadangan penghukuman yang ditetapkan ulama diamalkan dan diaplikasikan.
Contohnya adalah hukuman terhadap orang yang melakukan lancap. Ibn Taymiyyah berkata :
أَمَّا الِاسْتِمْنَاء فَالْأَصْلُ فِيهِ التَّحْرِيمُ عِنْدَ جُمْهُورِ الْعُلَمَاءِ وَعَلَى فَاعِلِهِ التَّعْزِيرُ؛ وَلَيْسَ مِثْلَ الزِّنَا.
"Adapun lancap, maka asalnya adalah haram padanya di sisi jumhur ulama. Pelakunya pula ditakzir, tetapi tidak semisal zina". [Majmū* al-Fatāwā, jilid 34, m/s 229, keluaran Majma* al-Malik Fahd Li aṭ-Ṭobā*ah Wa an-Našr Wa at-Tawzī* aš-Šarīf, al-Madīnah al-Munawwaroh, tahqiq *Abdul Roḥmān bin Muḥammad bin Qōsim].
Sedangkan aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekelompok dengannya mengharuskan lancap sepertimana yang dinyatakan oleh Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam « Iẖtilāf al-Fuqohā^». Adakah sewajarnya kita akan menghukum takzir terhadap mereka ini yang berijtihad dan berpegang pada keharusan ini?
Sebab itulah bukan semua hukuman yang disarankan oleh ahli ilmu yang berasaskan ijtihad tidak semestinya diaplikasikan sedemikian. Selagimana dalam ruang lingkup ijtihad, boleh jadi benar atau salah dan boleh jadi ia adalah adil dan tidak dan boleh jadi ia boleh diamalkan dan boleh jadi ia tidak diamalkan. Jika hal ini, maka jelas sekali bahawa ia akan berlaku tidak adil terhadap orang yang berpandangan sebaliknya daripada ketetapan pemerintah.
Misal yang lain adalah hukuman terhadap pelaku liwat. Al-Qurṭubiyy dalam «al-Jāmi* Li Aḥkām al-Qur^ān» menyatakan bahawa Mālik bin Anas berpendapat bahawa direjam sama ada yang sudah berkahwin atau belum. *Aṭō^, an-Naẖo*iyy dan Ibn al-Musayyib berpendapat bahawa direjam bagi yang sudah berkahwin, manakala yang belum berkahwin dipenjara dan didisiplinkan. Aš-Šāfi*iyy berkata bahawa dia dihukum sama seperti penzina. Abū Ḥanīfah berpendapat bahawa dia ditakzir sama ada yang sudah berkahwin atau selainnya. Pandangan al-Ḥakam bin *Utaybah sepertimana yang diriwayatkan Ibn Abū Šaybah dalam «al-Muṣonnaf» adalah disebat, tetapi tidak dihukum had.
Aḥmad bin Abū Nu*aym melantunkan syair dalam menyindir Yaḥyā bin Akṯam :
قاض يري الحد في الزناء # ولا يرى على من يلوط من باس
"Hakim berpandangan hukuman had pada zina # Tetapi tidak menganggap pelaku liwat sebahagian kesalahan". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy, jilid 16, m/s 282, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Baššār *Awwād Ma*rūf].
Kita perlu ketahui bahawa Yaḥyā bin Akṯam adalah tokoh fuqaha yang diperakui kedudukannya. Ini diperakui oleh an-Nasā^iyy yang dinukilkan oleh al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam «Tārīẖ Baġdād». Abū *Abdullah al-Ḥākim an-Naysābūriyy dalam nukilan yang sama menyatakan bahawa dia adalah salah seorang imam ahli ilmu dan sesiapa yang melihat kitab «at-Tanbīh», pasti dia mengenali keunggulannya dalam segenap ilmu. At-Tanūẖiyy dalam nukilan yang sama menyatakan bahawa dia salah seorang ilmuwan dunia, luas ilmunya dalam fiqh dan pelbagai lagi pujian. Tambahan pula, al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy menyatakan bahawa dia seorang yang berilmu dalam fiqh dan celik dalam ilmu hukum-hakam. Aḏ-Ḏahabiyy dalam «Siyar A*lām an-Nubalā^» menyifatkannya sebagai yang sangat berpengetahuan. Ibn Kaṯīr dalam «al-Bidāyah Wa an-Nihāyah» menyatakan bahawa dia termasuk salah seorang tokoh besar dalam fiqh dan hadis serta pengikut atsar.
Sangat tidak mungkin bagi seorang Yaḥyā bin Akṯam sebagai ketua hakim di Baghdad yang memimpin semua hakim di bawahnya di sana dan sebagai tokoh yang mahir dalam pelbagai ilmu tidak tahu dan tidak cakna tentang penghukuman ini.
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Seksual
Non-FictionPenulisan dari pecahan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan hal ehwal seksual secara ringkas yang menyentuh pelbagai aspek sama ada agama, falsafah, isu-isu semasa, idea dan lain-lain menurut pandangan saya. Cuma, penulisan di sini tid...