Bicara Ringkas 12 : Berjaga-jaga Dalam Menuduh Seseorang Itu Berzina

258 1 0
                                    

Kadangkala, sebahagian masyarakat kita sangat mudah mengeluarkan tuduhan bahawa seseorang itu berzina sama ada secara terus terang atau berlapik. Kita menuduhnya sebelum mendatangkan empat orang saksi atau mengambil pengakuan daripadanya atau sebelum dibawakan kes tersebut ke mahkamah. Kita perlu ingat apa yang disebut pada hadis ini :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : حَدَّثَنِي سُلَيْمَانُ بْنُ بِلَالٍ ، عَنْ ثَوْرِ بْنِ زَيْدٍ الْمَدَنِيِّ ، عَنْ أَبِي الْغَيْثِ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُنَّ ، قَالَ : الشِّرْكُ بِاللَّهِ ، وَالسِّحْرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ "

*Abdul *Azīz bin *Abdullah telah merawi hadis kepada kami, dia berkata፥➤ Sulaymān bin Bilāl telah merawi hadis kepadaku➤ Daripada Ṯawr bin Zayd al-Madiniyy➤ Daripada Abū al-Ġoyṯ➤ Daripada Abū Huroyroh -roḍiyallahu *anh-➤ Daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, baginda berkata: "Jauhilah tujuh yang memusnahkan". Mereka berkata: "Wahai Rasulullah, apakah ia?". Baginda berkata: "Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah melainkan secara benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri pada hari pertempuran dan menuduh wanita suci yang beriman yang tidak tahu apa-apa". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, no. 2573].

Perhatikan bahawa dosa zina tidak dikategorikan dalam tujuh tersebut, tetapi tuduhan zina dimasukkan di dalamnya! Betapa seriusnya tuduhan ini jikalau kita mengambil sambil lewa dan memandang ringan terhadapnya.

Antara contohnya adalah apabila kita melihat pasangan yang kita fikir yang mereka berdua bukan suami isteri masuk ke bilik hotel, kita ingin berkata bahawa mereka ingin berzina. Walaupun sangkaan kita kuat, tetapi tanpa empat orang saksi, kita layak untuk disebat 80 kali.

Tidak ada masalah jika kita mengingatkannya tentang dosa zina sebelum mereka memasukinya. Namun, kita tidak berhak menyelongkar sesuatu di luar penglihatan zahir kita. Walaupun kita desak untuk mengambil pengakuannya dan mereka menjawab mereka tidak melakukan zina, maka cukup sekadar ambil daripada zahirnya. Sama ada mereka berbohong atau tidak, itu terserah kepada Yang Maha Mengetahui.

Kadangkala, seseorang itu berambisi terlalu tinggi untuk mewujudkan dunia utopia yang mana masyarakat tidak melakukan maksiat. Untuk merealisasikannya, mereka ingin lakukan kawalan penuh terhadap gerak-geri masyarakat sehingga mahu untuk menceroboh privasi orang lain.

Apa yang orang ingin buat di tandas pun mahu untuk dia ambil tahu dan memerhati supaya dapat dipastikan mereka tidak melakukan maksiat. Ingatlah peringatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ ، وَلَمْ يُفْضِ الْإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ ، وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ ، فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ " ،

"Wahai sekalian yang telah menerima Islam pada lisannya, tetapi tidak sebati imannya pada jantungnya! Jangan kalian menyakiti muslimin, jangan kalian mengejek mereka dan jangan mencari-cari aib mereka. Sesiapa yang mencari-cari aib saudara muslimnya, maka Allah mencari-cari aibnya. Barangsiapa yang Allah mencari-cari aibnya, maka Dia membongkarkannya walaupun di celah rumahnya". [Sunan at-Tirmiḏiyy, kitāb al-Birr wa aṣ-Ṣillah, no. 1951].

Setiap manusia akan ada aibnya. Namun, untuk mencegah kepada kemungkaran, bukan dengan cara yang ekstrim. Itu tidak lebih daripada menghasilkan kemungkaran yang baru.

Menyelongkar peribadi orang lain lebih daripada diperlukan adalah perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat. Ia merosakkan kepercayaan sesama manusia yang mana masing-masing saling mengesyaki yang seseorang itu ada melakukan maksiat.

Kalau begini, setiap orang pada setiap hari boleh diheret ke mahkamah dan dibicarakan tuduhannya. Itu pun jika berjaya membawa keraguan yang munasabah. Jika tidak, berterusannya amalan sebegini boleh merobek rasa percaya kepada sesama manusia. Inilah sebab baginda melarang sikap suka menyelongkar. Ia membawa padah kepada masyarakat.

Malah, ini juga sikap tidak ada tawakkal terhadap Yang Maha Mengurus segala sesuatu. Tidak ada keyakinan penuh bahawa Dialah yang akan mencatat perbuatan hamba-Nya dan akan menghisab segala amalan mereka di akhirat kelak. Cukup kita cegah apa yang zahir dan jelas. Tidak perlu sibuk dengan yang sebaliknya. Allah Maha Mengawasi bagi setiap tindakan hamba-Nya.

Antara contoh yang lain adalah apabila kita lihat dua pasangan yang ada dalam melakukan aktiviti pornografi, terus kita menuduh bahawa pasangan itu berzina. Ini adalah kecuaian yang selalu sahaja orang lakukan.

Saya menulis panjang tentang «Perincian Kaedah Redha Terhadap Maksiat Adalah Maksiat Pada Tontonan Pornografi» bukan semata-mata untuk menjustifikasikan bolehnya menonton pornografi, tetapi lebih kepada perincian dalam membuat tuduhan sama ada seseorang itu berzina ataupun tidak. Bukan semudah yang disangka kerana banyak aspek perlu diperhatikan.

Bukannya semudah nampak seseorang itu menyetubuhi wanita yang bertudung terus dianggap mereka berzina. Selagimana tiada empat orang saksi atau pengakuan daripada pelaku tersebut, tuduhan kita boleh diheret untuk hukuman had. Sekuat mana pun sangkaan kita, itu tetap tidak boleh diambil kira.

Sebab itu, jangan bermain-main dalam tuduhan ini. Walaupun ia mungkin lubuk tempat perzinaan, belum tentu semua yang ada di dalamnya pelaku zina. Kita mengambil ringan terhadap isu ini, walhal ia sesuatu yang berbahaya yang ramai boleh kecundang di dalamnya.

Saya bukanlah ingin menyatakan bahawa dosa zina boleh dipandang ringan, dibiarkan berleluasa dan tidak dicegah daripada awal. Saya juga tidak membela mereka. Ia adalah dosa besar.

Cuma fokus di sini adalah janganlah kita memandang enteng untuk melemparkan tuduhan. Saya faham kita bencikan zina. Akan tetapi, tindakan kita dalam pencegahan dan kebencian perlu dikawal dan rasional supaya kita sendiri pun tidak terjebak dalam kemungkaran yang lain. Mungkar tidak dihapuskan dengan mungkar walaupun berlainan bentuknya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/621271857340071936/bicara-ringkas-seksual-12-berjaga-jaga-dalam

com/post/621271857340071936/bicara-ringkas-seksual-12-berjaga-jaga-dalam

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu SeksualWhere stories live. Discover now