Apa Pertimbangan Saya Dalam Menetapkan Keharusan Persetubuhan Pada Patung Seks?
Dalam menetapkan keharusan menyetubuhi patung seks, ada tiga perkara saya yang perlu pertimbangkan. Pertama, hukum melancap sama ada ia adalah haram atau sebaliknya. Kedua, hukum melihat aurat yang diserupakan; sama ada wujud perbezaan antara aurat yang ada pada anggota tubuh dengan yang bukan hakiki yang diserupakan dengan yang sebenar yang menatijahkan perbezaan hukum. Ketiga, status dosa syahwat; sama ada syahwat itu sendiri berdosa atau tidak.
Justeru itu, saya perlu melalui langkah yang panjang sebelum saya berpendapat tentang keharusannya. Dalam isu melancap, berlakunya perselisihan fuqaha ini diakui sendiri oleh Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam «Iẖtilāf al-Fuqohā^» dan Abū Bakr Muḥammad bin Ibrōhīm bin al-Munḏir an-Naysābūriyy dalam «al-Išrōf *Alā Maḏāhib al-*Ulamā^».
Sebahagian ahli ilmu menyatakan keharusannya seperti al-Ḥasan al-Baṣriyy dalam satu riwayat, al-*Alā^ bin Ziyād, aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekumpulan yang bersama dengannya. Saya mentarjihkan pendapat ini dalam penulisan saya yang berjudul «Hukum Melancap».
Manakala, dalam hukum melihat aurat yang diserupakan, pendapat muktamad mazhab šāfiᶜian dan ḥanafian jelas membezakan hukum antara aurat yang sebenar pada anggota jasad dan yang diserupakan seperti aurat.
Saya telah mengupas hal ini dalam penulisan saya yang berjudul «Hukum Melihat Aurat Yang Bukan Hakiki» dan saya telah banyak kali menegaskan betapa benarnya pendapat ini berulangkali dalam beberapa siri wacana.
Untuk isu syahwat pula, ia perlu dipertimbangkan tahap pusaran jiwa seperti ₍al-Hājis₎, ₍al-H̱ōṭir₎, ₍al-Hamm₎ dan ₍al-*Azm₎. As-Subkiyy al-Kabīr sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dalam «Fatḥ al-Bārī» menyatakan bahawa perlu melihat empat tahap ini dalam menentukan tahap kemahuan seseorang dalam melakukan dosa. Saya telah memperincikan hal ini dalam penulisan saya yang berjudul «Adakah Syahwat Itu Sendiri Berdosa».
Setelah saya lalui ketiga-tiga saringan dan tahap ini, barulah saya tegas untuk berpendapat sedemikian. Mana-mana yang tidak setuju, perlulah objektif melihat tiga-tiga tersebut. Sama ada ingin membantah kesemuanya atau salah satu daripadanya atau dua daripadanya, saya telah bentangkan jalannya di mana perlu seseorang telusuri.
Saya bersikap telus di sini. Tidak ada apa yang saya sembunyikan di sini. Tinggal lagi untuk merujuk dan fokus bagi yang menginginkan jawapan dan bersikap adil.
Apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar inisiatif saya sendiri atau ia terbit daripada idea saya secara bersendirian. Saya hanya menganalisis pendapat dan analisis yang dikeluarkan oleh ahli ilmu, kemudian saya bentangkan dapatan saya melalui penulisan yang telah dinyatakan. Saya hanya mengembangkan dan mempertahankan apa yang dinyatakan oleh mereka yang terdahulu melalui hujah.
Inilah yang kadangkala orang sama ada benar-benar tidak nampak atau buat-buat tidak nampak. Seolah-olah saya memandai-mandai mengeluarkan pendapat sendiri yang semacam menyalahi kesepakatan ulama dan mengeluarkan pendapat yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana ahli ilmu, walhal telah jelas bahawa itu adalah tuduhan yang salah.
Malangnya, para pencela dengan mudah melontarkan kata-kata keji, lalu mendakwa mereka itu mengikut atas dasar ilmu. Kemudian, mereka berharap orang lain mengikutinya dengan berpandukan kata-kata keji yang mereka lemparkan.
Agama apa yang anuti dan agama apa yang mereka cuba serukan? Agama atas dasar ilmu atau sekadar menyerang orang tidak sehaluan tanpa membawakan ilmu yang kukuh? Walau macam mana benci pun terhadap persetubuhan patung seks, bawalah hujah, bukan cakap kosong semata-mata.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/686779999293980672/bicara-ringkas-seksual-16-apa-pertimbangan-saya
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Seksual
Não FicçãoPenulisan dari pecahan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan hal ehwal seksual secara ringkas yang menyentuh pelbagai aspek sama ada agama, falsafah, isu-isu semasa, idea dan lain-lain menurut pandangan saya. Cuma, penulisan di sini tid...