Bicara Ringkas 9

219 1 0
                                    

Sebab Saya Menghasilkan Penulisan Yang Berjudul «Adakah Syahwat Itu Sendiri Berdosa?»

Ada tiga sebab mengapa saya menghasilkan penulisan yang berjudul «Adakah Syahwat Itu Sendiri Berdosa?»

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Ada tiga sebab mengapa saya menghasilkan penulisan yang berjudul «Adakah Syahwat Itu Sendiri Berdosa?». Pertama, saya ingin membela pendapat al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy yang berpendapat bahawa tidak haram melihat tubuh badan pada bayangan air dan imej cermin walaupun dalam keadaan bersyahwat. Tambahan "walaupun dalam keadaan bersyahwat" inilah yang saya ingin pertahankan. Saya ingin menepis tuduhan bahawa kedua-dua mereka mengeluarkan pendapat yang syaz dan batil.

Akan tetapi, sebagai mengelakkan salah faham, meskipun saya gemar memetik kata-kata mereka berdua dalam isu tersebut, bukan bermakna dalam isu syahwat itu sendiri, mereka berpendirian sama dengan saya. Pada asasnya, mereka tidak sama, iaitu mereka menganggap hadirnya syahwat itu sebagai bentuk penegahan terhadap sesuatu perbuatan secara mutlak, sedangkan saya mengambil kira beberapa perkara.

Cuma, saya sendiri pun tidak tahu mengapa mereka berdua menuju ke arah yang berbeza daripada yang kebiasaannya untuk isu ini. Saya tidak rasa mereka bersikap lengah, alpa atau kurang memberikan tumpuan ketika mengeluarkan pendapat sebegini.

Apapun, mungkin dapat dikatakan bahawa saya hanya pertahankan kenyataan pada isu itu sahaja pada penulisan saya ini, bukan mempertahankan pendirian mereka berdua dalam isu syahwat kerana hanya isu ini sahaja yang mana kenyataan itu selari dengan pegangan saya melalui penilaian ilmu.

Kedua, sebagai respons yang selalu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan yang asalnya harus, namun diiringi rasa syahwat, maka ia ditegah atau diharamkan. Entah daripada mana asas kenyataan ini yang cukup berleluasa dan disebut-sebutkan tanpa mempertimbangkan sebaik-baiknya. Apabila kita lihat definisinya, iaitu menyukai sesuatu dan menginginkannya, jelas bahawa ia melontarkan persoalan bagaimana keinginan itu terus dianggap berdosa secara mutlak?

Cara seseorang menunaikan keinginan itu yang berbeza-beza. Jika sesorang mempunyai syahwat terhadap makanan, maka ia mahu memakannya. Jika seseorang mempunyai syahwat terhadap pohon rendang, maka ia mahu berteduh di bawahnya. Jika seseorang mempunyai syahwat terhadap wanita, maka ia mahu menyetubuhinya.

Begitulah juga yang lain. Lantas, mengapa tiba-tiba dalam hal ehwal wanita atau seksual terus dikhususkan pengharamannya? Ini jelas perbuatan sembarangan yang berasaskan sentimen. Apakah sebab ia dirasakan atau kelihatan jijik atau nista, lalu terus diperburukkan lagi seolah-olah ia adalah haram? Pengharaman atau menetapkan dosa perlu didasari dalil. Menuduh dosa tanpa bukti juga adalah dosa!

Saya faham jika ia memaksudkan yang seseorang itu tidak mampu mengawal diri. Namun, pentaqyidan syahwat ini sentiasa sahaja memberi gambaran yang umum untuk menegah atau mengharamkan atau menganggap dosa untuk semua perkara.

Mereka tidak mengerti bahawa hakikat kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎; penghadang haluan kerosakan bukan untuk tujuan mengharamkan. Jika ia haram, tidak perlu lagi kaedah ini. Malah, pengamalan kaedah ini perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti peratus kemungkinan dan kajian secara induktif atau deduktif, bukan berasaskan pendapat peribadi, yang subjektif, kemungkinan yang kecil dan apatah lagi jika ia adalah daripada kalam yang semberono.

Sememangnya syahwat boleh membaca kepada kancah penzinaan atau pencabulan, tetapi ia perlu diteliti bagaimana yang dikira jalan menuju kepadanya. Ia juga ditimbang dari aspek tahap pusaran jiwa sama ada ia adalah ₍al-Hājis₎, ₍al-H̱ōṭir₎, ₍al-Hamm₎ dan ₍al-*Azm₎.

Jika seseorang berjalan di hadapan rumah wanita yang bukan mahramnya sekadar tujuan melewatinya kerana ia adalah jalan yang perlu dilewati untuk sampai destinasi, maka ini tidak dikira sebagai langkah menuju kepada zina kerana tidak ada sabit dalam jiwa terhadap hal itu. Jika ia sememangnya bermaksudkan untuk berzina dengannya secara pasti walaupun tidak berjaya merealisasikannya, maka ini termasuk dalam hal tersebut. Jika sekadar ada keinginan untuk menyetubuhinya, maka ini juga tidak termasuk kerana ia adalah ₍al-Hamm₎ yang dimaafkan oleh Yang Maha Pengampun.

Lantas, bagaimana mungkin taqyid syahwat boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk mengharamkannya? Inilah perhatian yang besar yang saya berikan dalam penulisan tersebut. Saya tidak mahu lagi perkataan ini dieksploitasi, disalahgunakan dan diambil mudah.

Ketiga, saya ingin membantah pendapat bahawa seseorang itu berdosa jika berkhayal menyetubuhi seseorang. Sedangkan kita perlu perhati tahap pusaran jiwa sepertimana yang disebutkan tadi. Bukan semudah mengisbatkan dosa terhadapnya. Imaginasi atau khayalan termasuk dalam ₍al-H̱ōṭir₎ yang as-Subkiyy al-Kubrō menyatakan bahawa ia adalah penceritaan jiwa.

Malah, rasa teruja dan seronok dengan rasa seksual itu termasuk dalam kategori ini. Ini disepakati tidak termasuk dalam hal yang berdosa. Yang nyata bahawa orang yang memberi pendapat tersebut tidak tahu menahu tentang hal ini. Semoga Allah memaafkannya.

Saya faham mengapa orang tidak mengetahui tentang hal ini. Mungkin kerana ia tidak begitu diketengahkan dan diberi perhatian. Walaupun ia dalam kitab yang besar seperti syarah «Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy» karya Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy, tetapi ia kadangkala boleh ditepis dan dibenam.

Sebabnya ramai telah didoktrin dan diperbesar-besarkan bahawa syahwat itu sendiri adalah berdosa secara mutlak. Hukum asalnya adalah berdosa sepertimana yang ditekan-tekankan. Sebab itu jika dibahaskan pun tentang tahap pusaran jiwa, mereka sangka ia cumalah sekitar bab niat untuk membunuh atau melakukan dosa yang lain selain daripada hal ehwal seksual. Seolah-olah hal ehwal seksual terpisah daripada rangkuman kupasan ini.

Mungkin ada suara sumbang yang menyatakan bahawa penulisan ini ingin membela perasaan hawa nafsu saya. Sesungguhnya ini adalah orang yang langsung tidak cermat dalam membaca penulisan saya.

Bukankah saya membentangkan dalil-dalilnya dan berbahas secara ilmiah? Di situ saya tunjukkan capaian ilmu saya, bukan hanya bercakap kosong. Maksudnya, penulisan saya lebih memfokuskan untuk membetulkan kesilapan ilmiah yang wujud dengan mengupaskannya secara terperinci, bukan sekadar untuk memenuhi hasrat syahwat saya semata-mata.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/621270930682003457/bicara-ringkas-seksual-9-sebab-saya-menghasilkan

Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu SeksualWhere stories live. Discover now