Penulisan dari pecahan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan hal ehwal seksual secara ringkas yang menyentuh pelbagai aspek sama ada agama, falsafah, isu-isu semasa, idea dan lain-lain menurut pandangan saya. Cuma, penulisan di sini tid...
Apabila saya mempertahankan pendapat beberapa isu fiqh yang berkaitan dengan seksual yang seakan-akan memberikan jalan yang luas untuknya yang mungkin sahaja tidak diberikan keluasan oleh mana-mana orang selain saya, saya dianggap sebagai membeber agama demi kepentingan hawa nafsu saya. Contohnya adalah apabila saya mempertahankan keharusan melancap, mereka berkata dengan penuh sindiran: "Kamu mempertahankan keharusannya kerana kamu suka melancap!".
Saya tidak tahu bagaimana orang sebegini yang selalu melaung-laungkan hormat kepada ulama sanggup memperlekehkan pandangan daripada aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekelompok dengannya sepertimana yang dinukilkan Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam «Iẖtilāf al-Fuqohā^».
Apa yang saya buat adalah membuktikan bahawa pandangan ilmuwan ini benar dengan membentangkan dalil dan perbahasannya. Akan tetapi, saya pula yang menjadi sasaran cemuhan dan seakan-akan menjadi buta nama ilmuwan yang saya kutip. Itu belum lagi pandangan lain yang ada sandaran daripada ulama yang lain.
Orang sebegini tidak berbaloi untuk bertelagah dengannya kerana mereka ini akhirnya akan sanggup bersikap biadap terhadap ulama jika ia pandangan yang menyalahinya, membuangnya sejauh-jauhnya dan mengingkari sekeras-kerasnya.
Kalau pandangan ulama itu yang menyalahi pandangan mereka cukup lekeh bagi mereka, apatah lagi jika kita mengutarakan pandangan dari kita sendiri sekalipun hujah ilmiah ditegakkan untuk mengukuhkannya. Mereka yang tidak menghormati tradisi keilmuan tidak selayaknya masuk campur, apatah lagi menjadi penghasut dan tukang pencela.
Dalam hal ini, ia mengingatkan saya tentang isu nabiz. Peminuman nabiz ini sangat sensitif seakan-akan peminumnya sama seperti orang yang didapati menonton pornografi pada hari ini dan mempertahankan keharusan peminuman nabiz sememangnya sama seperti mempertahankan keharusan menonton pornografi.
Atas sebab itulah, ia dicela keras oleh ahli hadis. Ya*qūb bin Sufyān al-Fasawiyy berkata :
Aḥmad bin Ḥanbal pernah ditanya tentang apabila Wakī* dan *Abdul Roḥmān bin Mahdiyy berselisih dengan pertanyaan: "Siapa yang engkau ambil?". Dia berkata: "*Abdul Roḥmān berselari paling, khususnya Sufyān. Dahulu dia disibukkan dengan hadis Sufyān. *Abdul Roḥmān adalah yang salaf menerimanya dan menjauhi peminuman yang memabukkan". [Al-Ma*rifah Wa at-Tārīẖ, jilid 1, m/s 278, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Akrom Ḍiyā^ al-*Umariyy].
Peminuman arak di sini bermaksud peminuman nabiz. Betapa teruknya tanggapan pada peminuman nabiz ini di sisi ahli hadis sehingga ia dianggap seakan-akan sama seperti meminum arak sekalipun peminuman itu tidak pernah bertujuan untuk memabukkannya. Tokoh hadis besar seperti Wakī* bin al-Jarrōḥ tidak terlepas daripada sindiran Aḥmad bin Ḥanbal memandangkan buruknya peminuman nabiz.
Pun begitu, perselisihan tentangnya adalah maklum antara yang mengharuskannya adalah beberapa orang dari tabiin seperti Ibrōhīm an-Naẖo*iyy, Ibn Abū Laylā dan Ibn Šubrumah. Sebegitu juga dengan Abū Ḥanīfah, sekalian penduduk Kufah dan dan yang terbanyak dari penduduk Iraq sepertimana yang disebutkan Ibn Rušd dalam Bidāyah al-Mujtahid Wa Nihāyah al-Muqtaṣid.
Cuma, yang menariknya adalah mereka yang membantah pandangan keharusannya tidak pernah pula menyindir kepada orang yang mempertahankan keharusannya dengan berkata: "Kamu mempertahankan keharusan meminum nabiz kerana kamu suka minum nabiz dan ingin meneguknya pada malam ini lagi!".
Sebegitu juga dengan pandangan keharusan muzik. Tidak pernah pula orang yang mengharamkannya mengherdik orang yang mengharuskannya dengan berkata: "Kamu mempertahankan keharusan muzik kerana kamu adalah penyanyi dan pemain gitar atau kamu ini suka mendengar muzik dan mahu berkaraoke pada minggu hadapan!".
Sejujurnya, falasi ₍Bulverism₎ ini sangat menjijikkan. Ia dijadikan kad untuk menyahkreditkan pendapat orang lain. Formula mudah untuk memahami ₍Bulverism₎ ini adalah kata-kata mereka seperti "Kamu berkata seperti itu kerana kamu itu ini" atau seumpamanya.
Contohnya, apabila ada orang berkata bukan semua orang muslim adalah pengganas. Mereka yang tidak ingin mendengar pendapat itu akan berkata: "Kamu berkata sebegitu kerana kamu adalah muslim!". Sama juga apabila kita menegur pihak masjid yang memasang alunan al-Quran dengan pembesar suara sehingga mengganggu persekitaran, mereka akan berkata: "Kamu sebenarnya benci ayat-ayat Allah didengarkan kepada masyarakat!". Dan seumpamanya.
Sedemikianlah apabila seseorang membentangkan hujahnya untuk mempertahankan pandangan keharusan muzik dan peminuman nabiz. Respons dengan falasi ini adalah cara mudah untuk menutup perbincangan bersama memburukkan orang lain agar penghujahannya kelihatan tidak ada kredit langsung. Ia jalan pintas untuk kemenangan dan meraih pengaruh audiens sekeliling dengan cara sangat menjelekkan lagi kotor.
Apa yang kedua-dua golongan yang mengharamkan ini adalah mereka fokus kepada perbahasan ilmiah dan dalil-dalilnya. Mereka tidak menyinggung tentang apa yang menjadi hobi, kegemaran, minat, rutin, karier atau kehidupan peribadi pada orang yang mengharuskannya. Mereka ini lebih layak dihormati berbanding penyindir yang tidak bertamadun ini.
Walaupun keharusan ini biasanya dipertahankan kerana berlatarbelakangkan atau bertunjangkan atau terdorong daripada minat, hobi, rutin, karier atau kehidupan peribadi pada seseorang itu, yang penting adalah fokus pada hujah yang mendirikannya. Ini kerana suatu perbuatan yang disukai atau yang menjadi rutin, malah menjadi identiti bagi seseorang itu bukan bermakna ia adalah salah jika ditimbang pada dalilnya.
Malah, golongan yang mengharuskan pun tidak pernah berkata kepada yang mengharamkannya: "Kamu adalah kolot, sempit, acah-acah mahu menjadi rahib dan tidak bersikap terbuka dalam fiqh. Pandangan kami ada ulamanya dan bersama dengan dalil. Mengapa kamu tidak mahu hormat? Kamu menuduh kami mengikuti hawa nafsu, sedangkan kamu juga mengikuti hawa nafsu untuk memilih sesuatu yang membebankan diri dan orang lain secara sengaja yang ingin memihak kepada kehidupan para rahib".
Orang yang suka menyindir ini yang selalu ditemukan adalah orang yang rendah kualiti intelektualnya dan gemar merusuh ke sana sini sambil melagak satria di hadapan kawannya dan orang sekelilignya. Mereka ini bukan objektif kepada kebenaran dan mahukan kebenaran serta menjunjung budaya keilmuan. Mereka ini adalah penyangak yang beragama dengan sentimental dan bertindak sebagai penguatkuasa yang jadong.