Bicara Ringkas 6

426 3 0
                                    

Mengapa Orang Tidak Tahu Bahawa Adanya Fatwa Tentang Perbezaan Hukum Antara Aurat Yang Hakiki Dengan Yang Bukan?

Saya agak kehairanan walaupun saya punyai rakan yang suka menonton paparan lucah yang mana apabila saya bentangkan pendapat ahli ilmu yang menyatakan tidak haram melihat gambar bogel kerana ia bukan aurat yang sebenar seperti Abū al-*Abbās Šihābuddīn Aḥmad bin Salamah al-Qolyūbiyy :

وَخَرَجَ بِهِ رُؤْيَةُ الصُّورَةِ فِي الْمَاءِ أَوْ فِي الْمِرْآةِ فَلَا يَحْرُمُ وَلَوْ مَعَ شَهْوَةٍ

"Terkecuali daripadanya (pengharaman lihatan badan) ialah lihatan bayangan pada air atau pada cermin. Tidaklah ia haram walaupun bersyahwat". [Ḥāšiyatā Qolyūbiy wa *Umayrah *Alā Šarḥ al-Muḥallā *Alā Minḥāj at-Ṭōlibīn, jilid 3, m/s 209, keluaran Dār al-Fikr].

Atau Šihābuddīn ar-Romliyy :

خَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ لِأَنَّهُ لَمْ يَرَهَا

"Terkecuali pada yang diserupakannya (aurat), maka tidaklah haram lihatannya pada bahagian cermin sepertimana yang para jemaah memfatwakannya kerana dia tidaklah melihatnya (secara hakiki)". [Nihāyah al-Muḥtaj Ilā Šarḥ al-Muḥtāj, jilid 6, m/s 187, keluaran Dār al-Fikr, Beirut].

Atau daripada Muḥammad bin Farōmarzi bin *Aliyy :

(مِنْ مِرْآةٍ أَوْ مَاءٍ بِالِانْعِكَاسِ) يَعْنِي إذَا نَظَرَ إلَى فَرْجِهَا الدَّاخِلِ مِنْ زُجَاجٍ أَوْ مَاءٍ هِيَ فِيهِ تَحْرُمُ هِيَ لَهُ، وَأَمَّا إذَا نَظَرَ إلَى مِرْآةٍ أَوْ مَاءٍ فَرَأَى فَرْجَهَا الدَّاخِلَ بِالِانْعِكَاسِ لَا تَحْرُمُ لَهُ، كَذَا فِي فَتَاوَى قَاضِي خَانْ وَالْخُلَاصَةِ

"<Daripada cermin atau air secara pantulan>, iaitu, jika seseorang melihat farajnya yang berada dalam kaca atau air, maka padanya keharaman terhadapnya. Adapun jika dia melihat pada bayangan cermin atau air, lalu dia melihat farajnya yang berada di dalam secara pantulan, maka tidak haram padanya. Demikian pendapat dalam «Fatāwā Qōḍī H̱ōn» dan «al-H̱ulāsoh»". [Duror al-Ḥukkām Šarḥ Ġoror al-Aḥkām, jilid 1, m/s 33-34, keluaran Dār Ihyā^ al-Kutub al-*Arobiyyah].

Yang ketiga-tiganya membezakan hukum lihatan aurat yang hakiki yang wujud pada anggota jasad dengan aurat yang bukan hakiki yang diserupakan seperti anggota jasad, namun mereka tidak dapat menerimanya. Walaupun itulah yang selalu mereka buat, tetapi mereka tetap mahu berkata bahawa tidak ada beza paparan aurat di skrin digital dengan yang sebenar. Seolah-olah mereka tetap berkeras untuk berkata bahawa apa yang mereka lakukan adalah berdosa dan mereka tetap ingin percaya bahawa perbuatan mereka akan dihukum. Malah, yang menentang saya pun ada.

Saya akhirnya terpaksa mengalah dan dalam masa yang sama, saya terkelu melihat keanehan seperti ini. Saya sampai berkata kepada mereka: "Terpulanglah jika engkau mahu berpendapat ia adalah berdosa dan engkau pula berseronok melakukannya. Kalau engkau rela untuk dihukum oleh Allah kerana berpegang dengannya, dipersilakan. Ingat! Hukuman yang langsung daripada Allah bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main. Namun, apa yang aku buat adalah tidak berdosa untuk aku dan aku mempunyai hujah yang kukuh untuk hal ini. Jangan mengelompokkan aku sama dengan engkau".

Saya memahami mengapa terjadinya sebegini. Sebab utamanya adalah mereka tidak pernah mendengar pendapat seperti ini sebelum ini, malah pendapat ini agak dipinggirkan meskipun ia adalah pendapat muktamad dalam mazhab šāfiᶜian dan ḥanafian. Malah, jika para asatizah kita ditanya tentang hukum ini, kebanyakan mereka akan menjawab yang selain daripada ini walaupun mereka mendakwa bahawa mereka pengikut mazhab šāfiᶜian. Disebabkan ia tidak begitu diketengahkan, maka orang ramai tidak mengetahui hal ini dan akhirnya mereka menentang kerana merasa aneh daripada apa yang mereka faham selama ini dan rasa tidak selamat dengan sesuatu yang asing.

Saya sangat faham jika kalangan mereka yang bukan terikat dengan mazhab akan berpendapat sebaliknya. Yang mengecewakan adalah mereka yang arif dan menjunjung tinggi serta sangat fanatik dengan šāfiᶜian, tetapi mereka memberi fatwa yang sebaliknya. Yang lebih mengecewakan lagi adalah mereka yang begitu mengerti kebenarannya, tetapi menyembunyikan fakta yang sebenarnya. Akhirnya, pendapat muktamad ini terbenam daripada pengetahuan masyarakat sehingga akhirnya masyarakat sendiri, malah ilmuan dari kalangannya menentang pendapat ini.

Antara alasannya adalah tidak mahu orang ramai terkeliru, terjebak dalam kancah fitnah dan sebagainya. Adakah dengan itu mereka sanggup khianat ilmu yang mereka pelajari? Hanya kerana khuatir sedemikian, maka merasa tidak bersalah memberi keterangan yang sebaliknya, malah menyajikan yang batil dan salah di sisi agama. Jijik sungguh jika agama ini berorientasikan sentimen dan citarasa peribadi. Sepahit mana pun kebenaran, tiada hak bagi seseorang untuk menyembunyikannya.

Mereka tidak ingin masyarakat keliru, tetapi akhirnya masyarakat keliru untuk membezakan aurat yang hakiki dan yang diserupakan. Mereka tidak ingin masyarakat terjebak dengan kancah fitnah, tetapi akhirnya masyarakat sendiri terheret dalam kebodohan yang diajarkan oleh agamawan yang menyorokkan faktanya. Mereka sesungguhnya telah melakukan jenayah terhadap ilmu, mencemarkan agama dengan pendapat yang batil dan kerosakan terhadap masyarakat.

Saya tidak hairan selepas ini jikalau ada orang berpendapat bahawa persetubuhan dengan robot seks sama dengan penzinaan. Ini adalah angkara durjana ahli ilmu yang kenal dengan hakikat ini, tetapi sengaja menyembunyikannya demi memenuhi bias keinginan sosial atau mengikut rentak masyarakat. Akibatnya, masyarakat sebati dengan kebatilan dan ignoran terhadap kebenaran, malah menjadi penentang terhadapnya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/621269830571540480/bicara-ringkas-seksual-6-mengapa-orang-tidak

com/post/621269830571540480/bicara-ringkas-seksual-6-mengapa-orang-tidak

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu SeksualWhere stories live. Discover now