Beza Umat Islam Dan Bukan Islam Dalam Kajian Seksologi Pada Hari Ini
Saya membaca artikel yang bertajuk «Space Sex : The Trouble With Joining The 62-Mile-High Club» yang diterbitkan di portal Big Think. Artikel pendek ini sekadar untuk membayangkan penerokaan manusia kepada angkasa dan berspekulasi sebahagian apa yang bakal terjadi serta menggesa pihak National Aeronautics and Space Administration (NASA) agar mengambil peduli tentang isu seksual di angkasa dan tidak boleh bersikap berdiam diri dan berpaling muka daripadanya.
Cuma, yang menarik pada artikel ini adalah penyebutannya: "Sebagai pemula, mengionkan radiasi mampu mengganggu reproduksi seksual dengan mengubah DNA sel sperma, sel telur, bahkan embrio manusia (walaupun satu kajian menyatakan bahawa embrio mamalia boleh berkembang secara normal di angkasa). Tambahan pula, mikrograviti mampu menyebabkan seks menjadi sukar dan tidak teratur. Ia adalah masalah besar dalam membina ketetapan di mana kebersihan adalah yang paling utama. Habitat angkasa juga akan menyempit, terasing dan tidak selalunya tertutup. Ini menyebabkan keperluan seksual sukar untuk dilempiaskan. Memikirkan lebih jauh kepada masa hadapan, penempatan kecil dengan teman intim yang terhad tanpa diragukan lagi akan membenihkan stres, konflik dan gangguan atau serangan seksual. Semakin jauh manusia daripada bumi dan semakin lama mereka berada di angkasa, semakin mudah terjadinya masalah seksual dan yang berkaitan dengan perhubungan".
Ia juga menyebutkan: "Mereka menjadikan kes ini untuk kajian solusi terhadap risiko ini segera. Memandangkan tekonologi menyebabkan kehidupan luar angksa dan pengembaraan lebih mudah diakses kepada orang ramai, orang ramai yang pergi ke angkasa pada masa akan datang dari saintis sehingga pelancong mungkin tidak akan berhadapan dengan latihan ketat dan proses pemilian yang sama jenis sepertimana astronaut yang sedia ada. Menghasilkan sains berkualiti dan mengimplemntasikan perubahan bersistem mengambil masa. Lalu, mengapa tidak memulakan dengan segera, berbanding menunggu masalah itu timbul?".
Pada saya, inilah poin besar dan fokus utama dalam penerbitan artikel ini. Ia mengajak untuk membincangkan isu-isu yang bakal berbangkit yang berkaitan dengan seksual apabila akses orang ramai kepada angksa lebih mudah dan lebih ramai orang ke angkasa untuk perlancongan, bahkan sehingga kepada penempatan. Ia tidak hanya melibatkan perhubungan sosial, tetapi untuk menangani masalah sosial yang dispekulasikan akan terjadi apabila benar-benar terjadinya kemudahan ulang-alik atau penempatan di angkasa.
Daripada persoalan ini, ia benar-benar membezakan umat Islam dengan yang bukan muslim pada hari ini dalam perhatian kepada kajian seksologi. Yang bukan muslim bersikap proaktif dan membuat andaian awal bagi permasalahan yang terjadi supaya dapat dibincangkan dan dibentangkan penyelesaian secara praktikal dan sistematik. Akan tetapi, umat Islam lebih bersikap reaktif, iaitu hanya merespons isu apabila ia telah berbangkit dan hanya bertindak apabila ia terjadi.
Yang bukan muslim telah mengandaikan masalah yang timbul dan mula menyuarakan kebimbangan serta menggesa untuk melakukan perbincangan dan penyelidikan bagi menanganinya sebelum terjadi. Apabila perjalanan dan penginapan di angkasa adalah mudah dan ia menjadi tempat tinggal dalam beberapa tempoh yang lama, mereka mengakui bahawa manusia masih tetap membawa keinginan seksualnya bersama ke angkasa.
Apabila isu seksual diabaikan dan tidak dipedulikan, ia masih tetap tidak menafikan realiti bahawa syahwat yang ada pada astronaut atau mereka yang berada di dalamnya masih tidak terpadam.
Yang menjadi masalah adalah bagaimana untuk menyelesaikan pelunasan syahwat dengan cara yang betul dan selamat? Inilah yang dibangkitkan dalam artikel ini dan dinyatakan kekesalannya kerana NASA tidak mahu cakna dan peka dalam isu ini.
Jika kita membiarkannya, maka kita tidak ada prosedur atau tatacara bagi melunaskan syahwat dengan cara yang paling efisyen dan selamat. Ia akan menyebabkan pelbagai masalah yang timbul seperti stres dan konflik. Bahkan, sehingga pencabulan dan serangan seksual kerana sama ada tidak ada pasangan untuk dia melunaskannya atau ada bersama di angkasa, tetapi berhadapan dengan masalah akibat kekangan dan kekeliruan dalam isu perlunasan nafsu seksual.
Apakah jika itu terjadi baru kita ingin memikirkannya, mengkaji, bertindak dan meyusun prosedur? Inilah yang ingin digesa dan didesak.
Kita sebagai umat Islam patut berfikir di mana perhatian kita dalam isu ini? Kita masih berbincang cara untuk membebaskan stigma masyarakat serta memperjuangkan untuk penghapusannya agar masyarakat tidak perlu malu dalam wacana seksual dan memberikan hak selayaknya untuk para pengkaji seksologi dalam merancakkan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing dan berkualiti. Paling maju pun mungkin perbincangan fiqh. Padahal, yang bukan muslim sudah ada cabang bidang tekonologi seks, erobotik dan sedang memberikan perhatian serius kepada seksologi angkasa lepas.
Tidak rasa malukah kita dalam keadaan yang jauh ketinggalan? Kita sedang bertarung dalam tempurung, tetapi mereka sudah jauh terbang ke angkasa. Inikah yang dibanggakan dalam umat Islam sebagai umat yang superior yang telah menghasilkan tamadun yang hebat yang penghuninya adalah saintis berwibawa lagi berkepakaran serta menghasilkan dapatan sains dan ilmu yang berguna yang merevolusikan pembangunan masyarakat dari segi intelek? Inikah yang kita ingin sebut di dunia global dalam bidang seksologi?
Saya seringkali melihat bahawa sebahagian umat Islam lebih rela kalah dalam perlumbaan kajian ini dan menanggung malu untuk ketinggalan jauh dalam penyelidikan ini dan tidak ada rasa terhina untuk bertaklid dan menagih dapatan kajian daripada yang bukan muslim walaupun untuk selama-lamanya!
Seolah-olah seks ini bukan suatu isu yang besar dalam agama atau masyarakat muslim. Seolah-olah umat Islam rela dengan kajian yang entah bagaimana kualiti penyelidikannya atau khabar angin atau amalan turun-temurun yang untuk mengajarkan masyarakat tentang isu seksual yang dirasakan betul.
Seolah-olah umat ini sangat alergik untuk kajian saintifik secara bermetodologi, berdisiplin, teratur, terurus, sistematik dan objektif untuk kualiti ilmu dan bidang seksologi, apatah lagi jika ingin melahirkan seksologiwan dari kalangan Muslim adalah yang terunggul dan terbilang di mata dunia.
Sampai bila kita ingin terkulai baring dalam kehinaan sambil menantikan saintis bukan muslim menyajikan dapatan terbaru mereka yang semakin hari semakin meninggalkan kita yang malas dan ignoran, manakala mereka pula semakin menikmati kemuncak intelektual dalam penyelidikan seksual?
Yang bukan muslim ada kebanggaan besar dalam tokoh seksologi mereka dan kemajuan mereka dalam penyelidikan ilmu seks untuk membina cabang ilmu baharu seperti erobotik dan seksologi angkasa lepas. Bagaimana pula dengan kita? Kita menjadi sang bodoh yang malas dan hanya mengharapkan sesuap perolehan data yang baharu dari sang rajin lagi entusias terhadap kajian ini.
Kalau ini masih tidak menyedarkan betapa hinanya kedudukan umat Islam di mata dunia dalam seksologi, tetapi berbangga dengan delusi bahawa umat Islam adalah umat terbaik dalam kewibawaan ilmu dan keunggulan intelektual, jelaslah bahawa kita ini sebenarnya ditimpa malapetaka yang umat ini terhijab akannya.
Kalau sampai sekarang masih belum ada usaha untuk melahirkan seksologiwan nuslim yang berwibawa sehingga kita tidak perlu bergantung sepenuhnya dengan kajian dan usaha keras penyelidikan bukan muslim dan memperkasakan ilmu ini sehingga ia mendapat pelaburan yang seberhaknya dan perhatian yang serius yang seadilnya, maka kita ini tidak ubah seperti katak di bawah tempurung yang jahil terhadap kepentingannya.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/671150167549968384/bicara-ringkas-seksual-47-beza-umat-islam-dan
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Seksual
Non-FictionPenulisan dari pecahan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan hal ehwal seksual secara ringkas yang menyentuh pelbagai aspek sama ada agama, falsafah, isu-isu semasa, idea dan lain-lain menurut pandangan saya. Cuma, penulisan di sini tid...