Apabila saya membaca artikel yang berjudul «What's So Wrong About Sexbots?» yang diterbitkan di portal Freethink, saya merasa terpesona kerana perbahasannya dan kupasannya tentang etika yang berkaitan dengan robot seks tidak hanya pada aspek sentimental sosial semata-mata dan pengaruh minda bagi setiap individu semata-mata, tetapi lebih luas daripada itu dan lebih banyak sudut yang disentuh yang tidak terfikir di benak minda saya untuk menjangkakannya.
Penulis artikel ini; Alex Pearlman mengupas bagaimana ia memberi kesan kepada industri pelacuran, pelaburan untuknya, persaingan para pekerja seks manusia dan lain-lain. Dia juga mengupas isu keselamatan siber pada bagaimana ia selamat dari godaman dan kebocoran maklumat serta terlindung dari berlakunya pencerobohan privasi daripada syarikat teknologi gergasi.
Dia juga membincangkan adakah penghasilan robot seks ini hanya untuk seks semata-mata serta bolehkah ia dijadikan lebih daripada itu sebagai teman berbicara, sahabat yang menemani kesepian seseorang dan perhubungan sosial sepertimana kehidupan harian biasa.
Dia juga membentangkan masalah yang dihadapi oleh para pengkaji bagaimana untuk meluaskan kajiannya tanpa adanya intervensi kepada privasi dan mewujudkan kerjasama antara pengguna dengan para pengkaji.
Dia juga menghuraikan mengapa robot seks ini adalah sesuatu yang dicari dan diimpikan kepemilikannya oleh sebahagian orang. Banyak lagi aspek yang disentuh yang mungkin kita sebagai para pembaca biasa tidak terfikir untuk masuk ke sudut tersebut. Walaupun ringkas, tetapi padat dengan cetusan idea dan melangkaui konvensional.
Cuma, apabila saya menjengah semula ke wacana keilmuan dari kalangan muslim, saya seringkali merasa hampa dan merasakan kita ditinggalkan jauh dalam isu etika yang sedang berlaku pada realiti. Kita melihat bagaimana nonmuslim boleh mengupas sebegini terperinci dan terkehadapan dengan perspektif yang menyerikan, tetapi kita hanya mampu membincangkan soal hukum halal dan haram sahaja atau sekadar bermain retorik dan mengulang propaganda: "Robot seks merosakkan generasi kita pada keperibadiannya, pemikirannya, institusi kekeluargaannya dan interaksi seosial".
Kita begitu kering dengan falsafah dan kurang deria kecelikan untuk mencerap realiti. Kita lemah untuk berfikir dengan lebih ligat dan begitu tumpul minda kita dalam menjelaskan fenomena yang sedang terjadi pada sesuatu kelompok masyarakat secara tuntas.
Saya melihat umat Islam di kedudukan yang hina dalam isu seksual. Hampir semua dapatan kajian tentang seks hanya sekadar bertaklid dengannya dan mengharapkan gerak kerja yang aktif daripada golongan bukan muslim. Di mana maruah kita sebagai orang yang mendabik dada berbangga bahawa kita terkehadapan dalam bidang ilmu, proaktif dalam mendepani isu-isu kemasyarakatan di lapangan realiti dan berwibawa dalam kajian apabila semua ini dibolot oleh golongan bukan muslim yang adakalanya sebahagian umat Islam memandang lekeh terhadap mereka?
Seolah-olah seks bukan bahagian daripada agama ini atau ia perkara yang sangat kecil dalam bahagian agama ini sehingga ia tidak perlu diambil berat dan pelaburan untuknya adalah suatu kejijikan yang patut dijauhi, lalu kita merasa puas dengan apa yang diperoleh golongan nonmuslim.
Punca utama kemunduran, bahkan kebekuan kita dari awal lagi untuk menyerlah dalam bidang seksologi adalah kerana stigma buruk yang menebal terhadap seksual. Wacana seksual kita terhad pada perbincangan tentang hubungan kelamin, pelampiasan syahwat dan tarikan penampilan di majlis tertutup dan itu pun bersalutkan dengan perspektif kenistaan, bukan suatu kesenian yang dihargai.
Jika ia dibicarakan secara terbuka walaupun di majlis khusus, masih lagi ada suara sumbang yang menghodohkan suasana pewacaan ilmiah. Walaupun ini merupakan aspek yang penting, khususnya untuk keintiman perhubungan suami isteri, seterusnya keharmonian rumah tangga itu sendiri dan kestabilan institusi perkahwinan itu sendiri, tetapi kalau ini pun masih berhadapan dengan stigma jijik seperti ini, kita sendiri tidak dapat melangkah lebih ke hadapan.
Malah, bidang seksologi kita pula dicampak di kasta yang rendah lagi dihinakan kerana sudut pandang alam seksual sangat sempit lagi jumud. Hanya fokus pada berbincang untuk kepuasan berahi semata-mata.
Atas sebab itulah, kita hampir sahaja sukar untuk melihat ilmuwan yang berkepakaran dalam bahagian ini untuk berdiri di hadapan secara megah sebaris dengan astronomi, sejarawan dan lain-lain bidang ilmu kerana golongan ini tidak diberikan hak yang saksama dari segi persepsi pada masyarakat, apatah lagi untuk menemukan pelaburan bagi merancakkan kegiatan kajian untuk isu seksual yang jauh lebih kompleks dan penuh dengan ketidakpastian.
Sampai bila kita ingin terbelenggu dalam situasi yang menyedihkan ini? Bacalah artikel ini. Tidak merasa kerdilkah kita betapa kita ini sebenarnya telah kalah dalam perlumbaan kegiatan pengkajian seksologi? Umat Islam seolah-olah lebih rela menanggung malu kerana mengambil sambil lewa dalam penyelidikan ini dan merasa puas dengan kebodohan terhadap kepentingannya dalam individu, masyarakat dan segenap kehidupan manusia.
Kita sampai sekarang terlalu bergantung kepada penemuan yang bukan muslim yang sebahagian umat Islam selalu memandang hina terhadap mereka. Kalaupun mereka ini menganut agama Islam, mereka ini pula tidak diberikan layanan yang sewajarnya sepertimana para ilmuwan yang lain.
Kalau mereka tidak ada, maka sama ada kita hanya selesa dengan ketidakpedulian untuk melaksanakan penyelidikan atau merasa lega dengan mengambil apa sahaja idea atau pendapat seseorang atau sesuatu kelompok tanpa mendasari metodologi yang sistematik atau usaha kajian ini adalah di bahagian yang paling terpencil sekali untuk orang yang sanggup memikul kenistaan daripada masyarakat yang jumud.
Inilah malapetaka umat ini yang tidak disedari. Namun, stigma celaka ini telah menghijab seseorang, bahkan sehingga masyarakat secara umumnya daripada melihat realitinya. Masyarakat yang bodoh ini dipertanggungjawabkan atas dosanya kerana menghalangi gerak kerja ilmuwan dari kalangan muslim dalam bidang ini untuk mengembangkan kajian yang memberikan impak yang bermanfaat kepada umat ini serta memperkasakannya agar ia menjadi relevan yang manusia sangat terdesak memerlukan hasil usaha mereka yang murni ini.
Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/670694563658203136/bicara-ringkas-seksual-46-kita-ketinggalan-jauh
YOU ARE READING
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu Seksual
Non-FictionPenulisan dari pecahan "Al-H̱iṭōb Al-Wajīz" yang khas untuk membincangkan hal ehwal seksual secara ringkas yang menyentuh pelbagai aspek sama ada agama, falsafah, isu-isu semasa, idea dan lain-lain menurut pandangan saya. Cuma, penulisan di sini tid...