Embun pagi sudah hampir menitis kesemuanya. Burung-burung kecil berkicauan membuatkan suasana yang sudah indah menjadi lebih jelita. Sofya merenung burung-burung kecil yang sedang bermain kejar-kejaran dengan pasangan masing-masing. Dia tersenyum sendiri.Hari ini adalah antara hari yang paling indah buatnya. Untuk pertama kalinya dia berdandan dengan begitu tebal. Pakaian pengantin yang sudah siap dipakainya kelihatan sangat anggun. Reka bentuk fesyen kain tersebut begitu cantik dan unik ditambahkan lagi dengan sinaran yang terpantul dari sulaman-sulaman indah di busananya. Padanan baju pengantin juga sangat sesuai dengan tubuh Sofya. Ia dipilih khas oleh mak Sofya, Hajah Noor. Sofya sangat menyukainya. Perhiasan-perhiasan yang dipakai juga telah menyerlahkan lagi kejelitaan Sofya.
Solekan pula dilakukan sendiri oleh sepupu Sofya iaitu Alya yang merupakan jurusolek profesional. Malah, Alya juga sponsor solekan ini sebagai hadiah pernikahan sepupu kesayangannya, Sofya.
Akad nikah yang sepatutnya dibuat pada tengah hari telah ditukar kepada awal pagi. Hal ini adalah permintaan si pengantin lelaki sendiri dan ia baru sahaja diberitahu subuh tadi. Sebab? Tidak diberitahu pula. Kalut seluruh keluarga dibuatnya. Nasib baik hampir kesemuanya telah selesai semalam.
Sofya melihat jam di dinding. Sepatutnya keluarga belah lelaki akan sampai kurang dari 30 minit lagi. Debaran yang sedang berombak tidak dapat Sofya nafikan. Dia sebenarnya gugup dan takut. Takut...Arif tidak munculkan diri dalam majlis pernikahan. Lari pada saat-saat akhir. Laju Sofya menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu berfikir perkara yang bukan-bukan.
Tuk! Tuk! Tuk!
Pintu bilik diketuk.
"Sofya, kamu dah siap ke? Mak masuk ya." Perlahan-lahan pintu dibuka.
"Wahh! Cantiknya anak mak seorang ni. Bagaikan puteri. Lepas ni jadi pemaisuri hati suami pula..." Puji Hajah Noor tersenyum lebar. Hampir saja Sofya tersengih hingga ke telinga apabila mendengar pujian emaknya. Namun, rasa malu juga menerpa apabila Hajah Noor menyebut perkataan suami. Mukanya yang memakai blusher mula menahan malu menambahkan lagi kemerahan yang sedia ada.
"Ish! Mak ni, apalah...malu Sofya tahu?" Balas Sofya sambil memuncungkan bibirnya buat-buat merajuk. Padahal dalam hati, suka. Hajah Noor yang memerhatikan saja gelagat anaknya tersenyum sendiri. Beliau menutup semula pintu bilik tadi dan duduk di katil menghadap ke Sofya.
"Sofya, kamu dah nak jadi isteri orang. Jadi, ingat pesan mak ni, tolong jaga maruah diri dan suami Sofya. Taatlah kepada suami selagi dia tidak menentang syariat, jaga pakai minum suami dan..." Hajah Noor berhenti seketika dan memandang ke arah lain sebelum menghabiskan ayat pesanannya. Beliau kelihatan termenung sekejap. Sofya yang dari tadi memasang telinga hanya melihat maknya dengan rasa serba salah. Hal ini kerana dia dapat mengagak apa yang maknya sedang fikirkan.
"Dan Sofya, tolong jaga diri baik-baik ya? Tolong jaga Arif baik-baik. Mak yakin kamu boleh jaga Arif sebaik yang mungkin..." Sambung Hajah Noor memaparkan muka kerisauan. Beliau tahu ada tugasan yang berat menanti Sofya tidak lama lagi. Justeru itu, sebagai seorang ibu, Hajah Noor berasa bimbang dan serba salah untuk melepaskan anak perempuannya. Sofya hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Dia juga turut kelihatan serba salah. Namun, ini adalah demi kebaikan semua orang termasuklah dirinya sendiri.
"Mak jangan risau, Sofya akan ikut pesanan mak tu. Tahulah apa yang nak dibuatnya nanti. Mak tu tolong jaga diri sendiri dan juga ayah. Lepas ni, susahlah sikit Sofya nak jumpa mak ayah..." kata Sofya sambil memegang tangan maknya dengan penuh kasih sayang. Sekali-sekala dia mengusap lembut tangan tua maknya. Bilalah pula dia dapat merasai sentuhan hangat tangan maknya selepas ini.
Hajah Noor tersenyum kelat lalu secara spontannya beliau menarik Sofya ke dalam pelukan terakhirnya sebelum anaknya bertukar status. Sofya membalas pelukan maknya dengan rasa sebak. Mahu sahaja dia menitiskan air mata tetapi habis semua solekannya nanti. Takut tidak semena-mena dia bertukar menjadi hantu raya pula.
YOU ARE READING
Adakah Ini Takdir?
Random[IMBAS KEMBALI] *************** Tengku Arif Fairuz atau nama panggilannya Arif ialah anak tunggal dan selalu berasa kesunyian meskipun semua permintaannya ditunaikan oleh ibu bapanya. Perkara yang menimpanya sentiasa memberi tekanan kepadanya. S...