7: Flight Guardian

391 27 2
                                    

Sudah tiga minggu aku melayari bahtera perkahwinan yang bersauh di tebing. Aku dengan duniaku, Dihar dengan dunianya. Apabila pagi menyingsing, kami dengan haluan dan kesibukan masing- masing. Meskipun kami berkongsi satu bilik tetapi sejak dari malam pertama lagi kami tidur berasingan. Badanku semakin rasa lenguh dek kerana tidur beralaskan permaidani dan tilam nipis sahaja. Aku juga sering mengelak dari bertembung dengannya. Biasanya aku akan masuk bilik untuk tidur terlebih dahulu sebelum Dihar masuk.

Aku mengerling jam di tangan. Lagi satu jam setengah, penerbangan ke UK akan berlepas. Keluargaku dan Dihar menghantar pemergian kami berdua dengan kesedihan dan tidak kurang juga air mata.

"Hana, sampai sana nanti, mesej mama ye, sayang?" Mama mengesat air mata yang dari tadi tidak berhenti mengalir.

"Ye, mama. Mama jangan risau. Setahun je tu, ma. Pejam celik pejam celik, dah balik kat sini," pujukku sambil tubuh mama aku peluk. Sempat kuseka air mataku di kala tiada siapapun yang memandang.

"Dihar, jaga elok- elok anak aku ni," tegas papa setelah mereka berganti salaman.

Aku kemudian mengucapkan selamat tinggal kepada ibu dan ayah Dihar. Rambutku dibelai lembut oleh ibu. Terasa keikhlasan belaian seorang ibu.

Setelah memasuki perut kapal terbang, kami mengambil tempat duduk seperti yang tertera di tiket. Mataku melilau mencari barisan nombor empat belas. Aku diberi tempat duduk berdekatan dengan jendela manakala Dihar duduk alat satu kerusi dari aku. Nasib baik kami tidak duduk bersebelahan, senang sikit aku bernafas.

Aku memandang ke luar jendela. Meskipun ini bukan kali pertama menaiki kapal terbang namun aku sering merasa gementar. Penerbangan yang memakan masa yang lama membuatkan fikiranku mulai meragui tentang keselamatan di sepanjang penerbangan ini nanti. Lalu aku mulai berdoa di dalam hati memohon agar dipermudahkan perjalanan ini.

"Ingatkan berani," sindir Dihar tanpa memandangku.

"Tak payah sibuk hal aku," balasku tanpa memandangnya juga.

"Ingatkan perempuan keras kepala macam kau ni tak reti takut. Lembik!" Sahutnya lagi.

"Kau pun apa kurangnya. Takut dengan girlfriend. Lagilah lembik," gelakku di hujung ayat.

"Nasib baik kita sekarang dekat tempat awam. Kalau tak, tahulah kau nasib kau," bisik Dihar dalam nada geram. Aku hanya menjelingnya tajam kerana tidak sempat membalasnya. Seorang pramugari sedang melayan penumpang di hadapan kami.

Aku kembali bermain dengan telefon bimbit. Mesej dari mama kubaca dengan sebak. Air mata yang hampir gugur dari empangan kuseka laju- laju.

"Excuse me. Sorry." Satu suara asing yang agak garau begitu dekat menyapa telingaku.

Aku mendongak sedikit memandang tuan empunya suara. Seorang lelaki yang bersut kelabu mengambil tempat duduk di sebelahku. Pandangan kami bertembung sebelum sebuah senyuman hinggap di wajahnya menyapa aku. Aku membalas senyumannya tanpa memandang wajahnya lalu kembali menatap telefon bimbitku.

Not bad, pujiku dalam hati. Tampan, segak bergaya dan ada stail tersendiri meskipun dia nampak sedikit matang dari aku. Tiba- tiba rasa teruja hadir dengan penerbangan yang jauh ini.

Kapal terbang mulai berjalan dan mulutku terkumat- kamit mengucapkan doa yang sama dari tadi. Apabila kapal terbang mulai berlepas, aku memegang tempat rehat lengan dengan kuat dengan mata terpejam.

"Cik okei?" Tegur lelaki di sebelahku. Aku mencelikkan mata memandangnya dan mengangguk perlahan.

"Pertama kali fly, ye?" Soalnya tersenyum.

"Pertama kali fly jauh," aku membetulkan sangkaannya.

"I see... nak pergi mana?" Soalnya dengan ramah.

I Hate That I Love YouWhere stories live. Discover now