Budi mengintai di tepi tingkap. Eh, bukan kereta Hazryq...Proton Saga? Itu kan kereta pinjam si Adil?
Kenapa Adil pula yang hantarkan Rian? Mana Hazryq?
"Kak Rian...kenapa pulak Adil yang hantar kak Rian balik? Hazryq mana?" tanya Budi, hairan, sebaik kaki Rian melangkah masuk ke ruang tamu mereka. Keluar dengan orang lain, balik dengan orang lain.
"Hazryq kena pergi office." Beritahu Rian menuju ke sofa. Lalu tubuhnya dihenyakkan di situ. Matanya terpejam rapat. Lengannya diletak di atas dahi. Letih.
Rupa-rupanya, Adil membiarkan dia tidur hampir dua jam! Tiada apa yang lelaki itu lakukan selain membelek telefonnya. Entah apa yang dibacanya. Ralit sungguh semasa Rian terjaga sendiri. Dan melihat ada tiga lagi cawan dengan sisa kopi.
Jaket Adil yang entah bila diselimutkan ke tubuhnya dibuka lalu diserahkan kembali kepada Adil.
Apabila ditanya kenapa tidak digerakkan selepas 15 minit, Adil hanya tersenyum lalu bangun menuju ke kaunter membayar harga makanan mereka sebelum kembali kepada Rian dan mencapai jaketnya, lalu disarung kembali ke tubuhnya.
"Jom saya hantar awak balik." Ujar Adil selamba. Dia sudah memegang belakang kerusi Rian mengisyaratkan supaya Rian bangun.
Rian mencapai begnya lalu mereka keluar dari Great Pan's. Kepalanya masih terasa pening-pening lalat kerana mengantuk. Dia tidak dapat berfikir dengan baik.
"Apa pulak si Adil buat kat sana? Akak terserempak dengan dia ke?" tanya Budi bertubi-tubi.
"Ha'ah, dia yang tumpangkan akak." Rian berbohong. Malas dia hendak menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia berasa kepalanya agak ringan.
"Hmm..akak. Hazryq call line rumah dah berkali-kali. Dia cakap dia call akak, akak tutup phone."
Dia bangun duduk. Dahinya berkerut. 'Bila masa aku tutup telefon. Mengarut aje Budi.' Rian segera mengeluarkan telefonnya dari beg tangannya. Dia menekan butang di sisi telefon. Eh! Budi tidak mengarut.
Handphone itu memang mati. Tetapi bila yang dia menutupnya? Nak kata bateri habis, memang tak mungkin, dia baru sahaja mengecasnya sebelum dia keluar dari rumah tadi.
Aneh...takkan Adil yang tutupkan untuknya? Isy...takkan pula? Untuk apa? Rian sempat memikir-mikir.
"Ha'ah. Tutup. Entah bila akak tutup. Okeylah. I'll just send him a text. Akak tidur dulu ya. Good night." Rian terus menuju ke tingkat atas.
*************************
Adil berbaring dia tas katil. Segar tubuhnya selepas mandi. Air hujan tadi membuatkan dia sedikit selesema. Amboi manja pula tubuhnya, kena hujan sikit dah rasa seram sejuk. Mentang-mentanglah baru jumpa Rian.
Hmm...mengingatkan gadis itu, membuatkan Adil tersenyum seorang diri. Apakah masalah Rian sebenarnya? Apa yang telah berlaku antara dia dan Hazryq sehingga Hazryq meninggalkan teman wanitanya seperti itu. Penting sangatkah?
Tindakan dia menutup telefon Rian tadi setelah dua kali panggilan dari Hazryq masuk, memang tepat.
Dia tidak mahu lelaki itu mengganggu tidur Rian. Adil terlanjur membiarkan Rian tidur lebih dari 15 minit yang dijanjikan.
Dia mahu merasakan Rian miliknya walau hanya sejenak. Adil menghabiskan masa itu memeriksa jadual yang disediakan oleh setiausahanya. Sambil-sambil itu merenung wajah Rian yang ketiduran. Wajah yang tergambar sedih.
Adil tidak tahu apa yang membuatkan Rian begitu. Ada masalah yang lebih besar dan Hazryq hanya perkara kecil sahaja. Ah! Lelaki itu tak berbaloi!
Akhirnya Adil terlena.
YOU ARE READING
CINTA SI PANDA BIRU DAN SI TUKANG SAPU
RomanceRian Khadijaa, penulis popular, sama sekali tidak akan memandang lelaki tanpa harta kekayaan yang pada fikirannya amat penting untuk meraih penghormatan di mata masyarakat. Surat jemputan ke majlis reunion itu membuatkan Rian Khadijaa terasa panas h...