PANDA 26 - Masa Lalu Rian

33 7 2
                                    

Rian duduk di kerusi di tepi padang. Beberapa kanak-kanak sedang ligat bermain bola sepak di tengah padang. 

Sebaik keluar dari rumah, dia tidak tahu ke mana hendak dituju. Seperti tidak sedar ke mana tangannya memulas stereng kereta.

Rian sudah berada di dalam kawasan Ruman Anak Noursi. Seperti mindanya tahu di mana tempat yang dia akan berasa tenang.

Tetapi tidak lama.

Telefonnya berdering lagi. Dia melihat siapa yang menghubunginya. Ayah.

Dalam perjalanan ke sini juga ada tiga panggilan ayah. Tetapi Rian tidak mengendahkannya. Sekali lagi telefonnya berbunyi.

Rian tidak mampu lagi mengelak. Panggilan itu disambut.

Sekali lagi ayahnya meminta duit. Tanpa bertanya khabar atau mengambil tahu perihal anak-anak, hanya tahu meminta wang sahaja!

"Maaf ayah. Rian tak dapat lagi nak bagi duit yang ayah nak. Tak boleh." Nadanya merendah tetapi tegas.

Terdengar suara ayah marah-marah. Kata ayah, dia akan meminta daripada Merlina pula.

Terus hilang sabar Rian yang sedia nipis itu.

"Jangan berani nak minta dengan Merly! Jangan susahkan Merly! Kenapa pulak kami yang kena tanggung keluarga baru ayah? Apa, tanggung jawab Rian ke nak kena beli motor bagi Eddy? Dia dah bekerja, ada gaji beli la sendiri!" Betul. Adik tirinya itu sudah mendapat kerja. Yang ayah banggakan sangat itu. Bekerja bagus katanya. 

"Banyak cantik muka. Nak beli cash konon! Bayar ansuran tak boleh ke? Habis tu kerja buat apa kalau tak nak guna duit gaji? Duduk aje di rumah jadi biawak!" ujar Rian lagi apabila ayahnya mempertahankan Eddy yang tidak mahu berhutang dengan bank.

Ayah menjerkah Rian mengatakan yang Rian sangat biadap dengannya.

"Maaflah kalau ayah rasa Rian biadap. Tapi rasanya Rian biadap bertempat. Sudahlah. Katalah apa pun. Rian tetap takkan bagi duit kalau ayah nak bagi pada budak tu beli motor!" putus Rian. 

Air matanya mengalir tanpa sedar. Hatinya terasa kosong.

"Aku okey..aku okey.." tangisnya ditahan sedaya upaya.

Rian menarik nafasnya dalam-dalam beberapa kali0. Agak lega sedikit.

***************

Adil membelok masuk ke perkarangan Rumah Anak Noursi. Dia memarkir keretanya di tempat selalu.

Sebaik sahaja kakinya dijejakkan ke luar, kedengaran hingar-bingar di kawasan padang di belakang bangunan, jelas menunjukkan sebahagian penghuni Rumah Anak Noursi yang sedang leka bermain.

Dia keluar dari keretanya. Matanya tertancap ke arah sebuah kereta biru terletak berhampiran pejabat.

"Eh! Kereta Rian." Katanya sendirian. Hatinya girang. Riannya di sini. 

Pantas kakinya melangkah ke pejabat. Dijenguknya ke dalam ruang itu. Kosong. Kak Rima pun tidak ada.

Dia melangkah pula ke arah padang. Dari jauh dia sudah dapat melihat hujung rambut kebiruan Rian yang bersanggul. Pantas Adil melangkah ke arah Rian.

"Assalamualaikum..." sapaan suara garau itu mengejutkan Rian sedikit.

"Waalaikumsalam..." Rian membalas. Nada suaranya rendah. Dia menjeling sedikit lelaki itu.

Pandangannya kembali ke hadapan. Matanya sedikit layu. Fikirannya berserabut.

Nampak sahaja muka Adil terus kata-kata Budi berputar kembali ditelinganya. Dengan perbalahan dengan ayahnya, hatinya sendiri yang libang-libu.

CINTA SI PANDA BIRU DAN SI TUKANG SAPUWhere stories live. Discover now