Tumpah airmata di Langkawi

155 14 4
                                    

Penulis hadir ke sini akhirnya selepas sekian lama tidak jejaki. Terlalu banyak perubahan berlaku di bumi Langkawi ini. Semuanya bermula dari perancangan penulis bersama seorang sahabat/kawan (satu kampung dengan penulis dan jujur penulis memang menyimpan hati pada dia cuma takut nak diluahkan) sejak akhir tahun lepas. Ditakdirkan selepas beberapa hari Tahun Baharu Cina barulah kami bertolak ke sana. Pemilihan dibuat ke sana memandangkan penulis sendiri sudah lama tidak ke sana dan mahu menenangkan fikiran seketika.
Namun apakan daya penulis, jejak sahaja kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sahaja kenangan penulis bersama arwah Abang Khairil bertandang tetapi masih mampu dikawal.

Sahabat/kawan penulis ini tahu semuanya kisah hidup  penulis dan beliau sudah nasihatkan supaya jangan ikutkan rasa hati sangat. Penulis pun ada beritahu kepada beliau supaya jangan biarkan penulis duduk sendiri dan jika nampak penulis termenung jauh, jangan biarkan penulis larut menung jauh. Tetapi akhirnya, air mata penulis jatuh, menangis teresak-esak di tepi pantai Tanjung Rhu. Tatkala sahabat/kawan penulis sedang mandi di laut, penulis duduk-duduk di pantai sambil merenung jauh. Terus sahaja kenangan demi kenangan penulis bersama arwah menyerbu, ditambah pula kenangan dengan "Amir", dan apa yang sudah berlaku seolah-olah menyerbu satu demi satu mengetuk minda. Tanpa disedari mengalir juga air mata teresak menangis tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Gambar di atas diambil oleh penulis beberapa minit sebelum air mata mengalir deras. Kononnya mahu alihkan gelora jiwa dan hati dengan mengambil foto tetapi hakikatnya...dari menitis air mata terus melebat sehingga teresak.

Cuma penulis dikejutkan dari tangisan apabila sahabat/kawan penulis ini datang dan menegur penulis. Malu pun ada, tetapi beliau mungkin tahu itulah terbitnya rasa dari lubuk jiwa yang mendalam milik penulis ini. Penat rasanya menangis sebegitu sebab sudah lama tidak menangis. Nasib baiklah sahabat/kawan penulis ini pujuk dan siap-siap bawa penulis dari situ.

Bercerita berkenaan Langkawi ini, penulis dan sahabat/kawan tidak memilih kawasan Pantai Cenang memandangkan kawasan tersebut agak bising sebelah malam. Kami memilih untuk tinggal di salah sebuah resort yang agak baru di kawasan Kedawang. Berkenaan barangan seperti coklat, pakaian, minyak wangi dan set alat pinggan mangkuk, periuk dan barangan dapur taklah semurah mana, harganya agak hampir sama di tempat lain. Cuma mungkin disebabkan lambakan dan banyaknya pilihan menyebabkan ada pembeli yang rambang mata. Ada coklat dan beg bagasi yang agak murah berbanding tempat lain dan itu sahaja yang penulis beli.

Apapun penulis menyusun sepuluh jari sangat kerana lama tidak "update" kisah terbaru penulis. Terima kasih yang sudi membaca dan meneruskan sokongan kepada penulis. Ada masa dan ketikanya penulis akan bercerita lagi. Sekian dahulu dari penulis dan Assalamualaikum.

Secebis Kisah Yang MalangWhere stories live. Discover now