Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera sidang pembaca budiman. Apa khabar semuanya? Penulis merafakkan doa agar semua pembaca dianugerahkan kesihatan yang baik, kesejahteraan di dunia dan di akhirat serta dilimpahi keberkatan, kebaikan dan perlindungan dari Allah jua selalu.
Alhamdulillah, penulis kini kembali ke Kuala Lumpur, selepas 4 bulan berkerja dari rumah (Work From Home) sejak pelaksaan PKP. Masih bertugas di tempat lama, cuma penulis tidak lagi tinggal bersama dengan pelajar; memandangkan kuliah masih dijalankan secara dalam talian atau online. Penulis menyewa sebuah bilik hotel bajet dengan kadar sewa yang berpatutan, dengan kelengkapan dan kemudahan yang disediakan pun setanding dengan harga menyewa bilik di rumah atau mana-mana kondominium. Lagipun penulis ni skeptikal sikit bab menyewa bilik ni, bukannya apa, penulis tak tahu keadaan rumah yang bagaimana, penerimaan penulis terhadap mereka yang tinggal serumah dan sebagainya. Tambahan pula penulis mementingkan privasi, ketenangan dan rehat yang mencukupi, jadinya pemilihan bilik sewa di hotel berkenaan menepati kehendak penulis.
Kebelakangan ini, keadaan diri penulis memang tidak menentu. Rasa tertekan, ketakutan dan keresahan melanda jiwa penulis. Rasa tertekan ini disebabkan oleh keadaan diri penulis yang agak sukar menerima hakikat yang prejudis, skeptikal dan diskriminasi berlaku pada diri penulis. Kisahnya, sewaktu penulis berada di Ipoh, penulis telah berjaya mendapat panggilan temuduga dan akhirnya melalui sesi temuduga berkenaan penulis telah mendapat pekerjaan sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh. Betapa seronok dan terujanya penulis untuk kembali ke Ipoh, berkhidmat di kampung halaman, malahan tawaran gaji yang lebih lumayan berbanding tempat kerja sekarang ni. Namun alangkah hampanya penulis apabila hasil ujian pemeriksaan kesihatan didapati bahawa ujian HIV positif. Walaupun pihak hospital swasta yang menjalankan pemeriksaan terhadap penulis mengesahkan bahawa penulis masih boleh bertugas seperti biasa dan tidak mendatangkan sebarang masalah yang menjejaskan kesihatan, namun polisi syarikat berkenaan tidak mesra dan tidak membenarkan pesakit HIV yang sudah undetectable ini menjadi kakitangan. Betapa musnahnya hati, perasaan dan harapan penulis. Jenuh juga ahli keluarga memujuk penulis supaya berlapang dada dan bersabar. Tapi nasib baiklah juga pada hari yang sama, pihak syarikat kolej yang penulis sedang berkhidmat memanggil penulis kembali bertugas.
Jenuh juga penulis menerangkan kepada HR syarikat berkenaan keberadaan diri penulis namun polisi syarikat itu memang tidak membenarkan. Malahan, yang sakit hatinya pegawai HR berkenaan seolah-olah bercakap seperti nada yang jijik dan tidak mahu mendengar alasan dari penulis dengan menyatakan... "So sorry, you are not qualified, even you have strong academic qualification and experiences, but our rules can't be change. You must accept it! That facts!" Astaghfirullah al-'azim, sehingga itu sekali ayat 'penghinaan' dan 'hukuman' dari mereka.
Begitu juga sekali lagi perkara yang sama berlaku apabila penulis telah berjaya dalam temuduga untuk menjadi seorang pensyarah di salah sebuah kolej swasta di Selangor. Hampa juga hati apabila ujian pemeriksaan HIV juga menunjukkan positif. HR syarikat ini apabila sudah tahu keputusan ujian ini dengan nada memerli, "Kalau dah tahu ada HIV, yang awak nak apply kerja ni kenapa? Kenapa tak tick je dalam borang kesihatan tu awak positif? Awak tahu tak company ni rugi duit nak bayar balik test tu?" Ini lagi satu ayat yang menjatuhkan maruah dan aib penulis. Penulis sendiri berkata jika mahukan diri ini bayar balik ujian kesihatan itu sanggup penulis bayar balik namun terus dibalas dengan nada sinis "Tak apalah ye...better awak guna duit tu untuk bayar kos ubat awak tu..."
Inilah diskriminasi, inilah prejudis dan inilah pandangan jumud sebahagian masyarakat Malaysia berkenaan yang senasib seperti penulis. Penulis hairan, sudah berpuluh tahun perkara ini diperjuangkan namun syarikat-syarikat di luar sana terus menidakkan hak, peluang dan kesamarataan. Jika ada sidang penulis yang mempunyai peranan sebagai HR atau mempunyai kedudukan kepentingan mana-mana syarikat atau jawatan, mohon sangatlah supaya imbas (review), terima dan membuka hati, minda dan perasaan anda menerima golongan seperti penulis untuk berkerja. Kami bukannya mahu kasihan dan rasa simpati kalian, kami mahukan sokongan dan peluang untuk kami meneruskan kehidupan. Jika kami ini dipersalahkan dengan HIV, maka bagaimana yang mempunyai penyakit darah tinggi, lemah jantung, buah pinggang atau sebagainya boleh diterima lagi berkerja? Walhal keadaan eksihatan mereka lebih berisiko berbanding dengan kami yang sudah undetectable. Inilah yang menghantui penulis sekarang, nak mohon kerja di tempat lain pun rasa dah tak bersemangat.
Hal ini ditambah lagi apabila penulis dalam keadaan tertekan ternampak sekali lagi "Amir" di Hospital Sungai Buloh. Ya Allah, kenapa dia masih ada lagi di situ? Hari itu betapa menggigil, menggeletar dan ketakutan yang amat sangat tatkala melihat kelibat dia ke sana ke mari di dalam Klinik ID di Hospital Sungai Buloh. Mendengar suara dia yang gelak ketawa, menayang badannya berjalan ke sana ke mari, bersembang dengan kuat dengan petugas di situ, dengan sesama rakannya dan pesakit lain penulis tidak boleh terima keadaan begini. Tatkala bertemu dengan doktor, tak sedar penulis menangis dan menggigil ketakutan, sehingga doktor dan jururawat terpaksa mententeramkan penulis. Kes penulis sekarang ni dirujuk ke Bahagian Psikitarik Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan dan nasihat. Insya Allah rawatan psikiatrik akan bermula 21 September nanti. Tapi tu la, kenapa dia masih ada? Kenapa dia ada di situ? Apa peranan dia? Untuk apa dia di situ jika tidak membantu apa pun? Soalan-soalan ini penulis tanyakan kepada doktor dan jururawat di situ, mohon agar mereka melihat polisi dan standard prosedur berkenaan keberadaan 'support group' ini. Penulis yakin yang "Amir" memang nampak dan kenal dengan penulis, namun keegoan yang tinggi memang tidak akan mempedulikan penulis.
Penulis mohon maaf, tujuan penulis mencoretkan kali ini bukan untuk meraih simpati tetapi penulis cuba untuk meluahkan rasa terbuku yang terlalu berselirat dalam jiwa ini. Penulis sebenarnya mengaku hidup terlalu sunyi, teringin benar untuk disayangi, dihargai dan ada untuk penulis sewaktu susah dan senang tetapi penulis amat trauma dan takut jika perkara-perkara lama berulang kembali. Penulis penat dan lelah dengan perpisahan, penipuan dan kecurangan. Memanglah ada yang berkata dunia gay ini penuh dengan nafsu dan ramai penipu dan pengambil kesempatan bermaharajalela. Tapi juga bagi mereka yang 'straight' pun rasanya dunia anda pun dipenuhi dengan manusia-manusia sebegitu kan? Penulis memang menolak jauh untuk seks, penulis bukan mencari itu...wallahi tak. Penulis mahukan peneman, sahabat dan rakan yang benar-benar menerima diri penulis yang terlalu banyak kelemahan, jijik, hina, kotor dan miskin ini. Jika mahukan penulis kerana semata-mata nafsu dan/atau kerana duit, nyahlah dari hidup penulis, mohon jangan dekati diri penulis. Jika ada sidang pembaca yang ingin benar setulus ikhlas mahu berkawan dan bersahabat dengan penulis, penulis berbesar hati mahu berkenalan.
Ini sahaja coretan penulis buat kali ini. Mohon maaf jika ada penulisan penulis ini menggangu emosi, mencabar kesabaran dan menunjukkan kebodohan dan ketidak matangan penulis. Sungguh, penulis mahukan nasihat, pedoman dan bimbingan dari sudut hati nurani dan akal jernih fikiran sidang pembaca sekalian. Sekian, Wassalam.
![](https://img.wattpad.com/cover/137624944-288-k815445.jpg)
YOU ARE READING
Secebis Kisah Yang Malang
SachbücherKisah seorang gay yang menetap di Kuala Lumpur dan kehidupannya penuh kesepian selepas disahkan menghidap HIV. Kisah benar ini digarapkan oleh penulis sendiri dengan menukar watak pelaku sebagai Hazimi bagi melindungi identiti dirinya. Semoga ada ma...