HIV dan AIDS, Pembunuh? Hukuman atau 'Anugerah'? (Bahagian 2)

670 24 4
                                    

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera buat pembaca yang budiman.


Ni penulis cuba-cuba mencuri masa dengan mencoretkan sesuatu di dalam cebisan demi cebisan kisah kehidupan penulis; sambil sambil tu mata melirik juga dengan kerja yang bertimbun-timbun di atas meja ni. Sengaja penulis mencari masa supaya tidak terlalu stress dengan kerja.


Bahagian Pertama yang telah penulis nukilkan berkenaan HIV dan AIDS tu harapnya agar mendapat sedikit sebanyak pencerahan kepada sidang pembaca budiman. Ramai yang terus mengikuti kisah penulis bagaimana menghadapi kehidupan berstatus PLHIV atau People Live with HIV  ni. Best ke status macam ni? Siapa nak berstatus macam ni, jika boleh semua manusia di dunia ni nak sihat sejahtera. Apatah lagi digerunkan dengan pelbagai pandangan dan stigma terhadap HIV dan AIDS siapa yang mahu kan?


Soalan: Apakah ubatan yang penulis ambil selepas disahkan HIV dan bagaimana rasanya permulaan makan ubatan?

Setakat ini, pihak Hospital Sungai Buloh membekalkan kepada penulis dengan dua jenis ubat HAART. Macam bunyi sedap kan ala-ala Heart gitu? Hehehe. Apa tu ubat HAART? Penghidap Penyakit HIV/AIDS akan dirawatdengan ubat HAART. Ia adalah singkatanbagi Terapi Anti–Retroviral BeraktifanTinggi (Highly Active Anti-RetroviralTherapy).  Ia merupakan kombinasi beberapa ubatyang membantu memanjangkanjangka hayat dan meningkatkan tahapkesihatan dan kualiti kehidupan seseorangpesakit yang dijangkiti HIV. Bagi mendapat kesan rawatan yangoptima, pesakit mesti mengambil ubatsecara teratur dan konsisten walaupunmengalami beberapa kesan sampinganubat. Antara kesan sampingan yang kerapdilaporkan ialah mual, muntah, cirit-birit,ruam dan letih lesu kerana kurang darah(anemia). Tapi setakat ni Alhamdulillah, tiada kesan besar yang berlaku kepada penulis, cuma kerap letih dan lesu. 

Ni ubat yang penulis makan setiap hari:

Yang sebelah kiri tu dikenali sebagai combivir yang perlu diambil dua kali sehari dalam tempoh setiap 12 jam

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Yang sebelah kiri tu dikenali sebagai combivir yang perlu diambil dua kali sehari dalam tempoh setiap 12 jam. Manakala yang disebelah kanan tu hanya diambil sebelah malam sahaja iaitu di makan bersama-sama dengan combivir.

Jujur, hampir 3 bulan perut penulis tak selesa umpama gastrik yang menyerang. Kadangkala bila berjalan laju perut terasa senak dan menyucuk. Dan...yang peling nampak kesan makan ubat ini emosi kerap terganggu. Ada pula penulis mendengar cerita pelbagai kesan sampingan lain jika ubatan ini diambil buat pertama kali dalam tempoh dua tiga bulan. Ada yang sentiasa kerap berpeluh, tidur meracau, serangan ruam, muntah yang kerap dan sebagainya. Jika tanda-tanda sedemikian berterusan maka rejim dan jenis ubatan lain terpaksa diambil. Tapi Alhamdulillah, penulis sudah selesa makan ubat ini dan tiada kesan sampingan lain yang menyerang. Ya...ubat ini perlu diambil seumur hidup dan perlu makan mengikut jadual. Setakat penulisan ini, Alhamdulillah penulis tidak pernah skip lagi makan ubat; cuma semasa di Makkah dan Madinah penulis ada terlambat makan ubat. Risau juga...tapi setakat ni Alhamdulillah, tak ada kesan sampingan lagi muncul.


Soalan: Sakit HIV dan AIDS ni boleh menghalang aktiviti lasak atau buatkan kita hilang fokus? 

Setakat ini, PLHIV hidup seperti orang normal lain, ada kawan penulis yang PLHIV selalu dan kerap mendaki gunung. Alhamdulillah tak ada kesan pun. Hilang fokus? Rasanya tak pun, yang buat hilang fokus kalau kita asyik memikirkan nasib masa hadapan yang tak sudah-sudah atau tak boleh nak move on dengan kehidupan. 


Soalan: Boleh ke PLHIV ni berkahwin dan bagaimana pula dengan hubungan seks?

Boleh berkahwin, cuma bagi pasangan hidup disarankan agar mengambil ubatan PrEP. Profilaksis Pradedahan (PrEP) ialah sejenis ubat pencegah HIV yang dihasilkan untuk orang yang tidak menghidap HIV tetapi berisiko sangat tinggi mendapatnya. Pil yang perlu dimakan setiap hari ini mengandungi dua jenis ubat antiretrovirus, iaitu Tenofovir dan Emtricitabine, yang digunakan untuk merawat HIV. Apabila PrEP digunakan mengikut arahan dan penggunanya terdedah kepada HIV melalui persetubuhan atau penggunaan dadah secara suntikan, ubat ini boleh mengurangkan risiko mendapat HIV.

PrEP adalah pil pencegah HIV yang sangat berkesan. Hasil percubaan telah menunjukkan bahawa PrEP mengurangkan risiko menjadi HIV positif secara nyata dan tidak menimbulkan kesan sampingan. Asalkan pengguna memakan pil ini mengikut preskripsi, PrEP dapat memberikan perlindungan pada kadar yang melebihi 90% terhadap HIV melalui persetubuhan. Apabila PrEP digabungkan dengan kondom dan kaedah pencegahan yang lain, risiko anda mendapat HIV melalui persetubuhan dapat diturunkan lagi. (Sumber: http:/primier-clinic.com/bm/prep-untuk-mencegah-hiv)

Setahu penulis ubatan PrEP agak mahal dan hanya doktor bertauliah sahaja boleh membenarkan untuk seseorang itu mengambilnya. Kesannya tetap ada seperti loya-loya, muntah, pening kepala atau berlaku susut badan namun yang tidak ketara. 

Cuma pesan penulis yang mempunyai nafsu sesama jenis dan disahkan HIV, jika seboleh-bolehnya elakkan lagi dari melakukan hubungan seks. Cukuplah masa silam kita yang penuh noda dosa dahulu, jangan ditambah tambah lagi dengan murka Tuhan ini. Nak bercinta tiada masalah namun cinta kerana nafsu tu sampai ke mana? Nafsu ni jahat, cuma kita kena didik nafsu ni ke jalan yang betul.


Soalan: Saya takut jika dijangkiti, jadi bagaimana saya nak tahu status saya?

Ini selalu ditanya oleh pembaca-pembaca kepada penulis. Baiklah, jika anda takut, bermakna pintu hidayah sedang diketuk. Maka, permulaannya adalah menjalani ujian darah di mana-mana hospital swasta, pusat ujian darah swasta atau klinik kerajaan. Jika negatif, Alhamdulillah. Jika positif, bawa surat pengesahan ke hospital kerajaan yang berhampiran dengan anda untuk memulakan rawatan. Cepatlah bertindak dan kasihanilah diri anda. BUang perasaan dan bisikan-bisikan halus yang menyatakan yang akan mati cepat, semuanya sudah gelap hidup ini dan seumpamanya. Hidup perlu diteruskan dan Allah tak larang kita untuk berusaha. Yakinlah, HIV ini permulaan kepada kehidupan kita yang lebih baik.


Soalan: Penulis ada diserang demam panas atau sakit-sakit lain yang berat selepas sudah disahkan HIV?

Alhamdulillah, jujur cakap saya jarang sangat diserang demam panas, selesema atau batuk. Kalau demam pun hanya sekejap sahaja. Cuma apabila pulang dari menunaikan umrah, penulis sakit tekak hampir sebulan. Yerlah, cuaca di Makkah dan Madinah sejuk, ditambah lagi udara sana berdebu dengan pembinaan yang rancak. Gatal penulis juga yang pergi minum minuman berais lagi, maka terimalah akibatnya. Tapi sekarang Alhamdulillah dah tak sakit tekak.


Soalan: Jadi apakah penulis menganggap HIV ni satu anugerah atau hukuman?

Ha...soalan ini memang sukar juga nak dijawab. Termenung juga penulis untuk muhasabah diri balik. Bagi penulis, dua-dua sekali. Hukuman atas dosa-dosa silam penulis dan anuegrah juga bagi penulis supaya hidup lebih baik. Beginilah, sakit barah, darah tinggi, lemah jantung dan sakit kronik yang lain pun satu hukuman dan anugerah kepada kita. Cuma tergantung kepada persepsi, pemikiran dan sikap pesakit berkenaan untuk menerima atau tidak. Sekali lagi penulis menegaskan; apapun yang berlaku jangan berputus asa dari rahmat Allah. Dalam sakit yang ditanggung tersumbunyi rahmat Allah yang sangat besar. Penulis bukanlah optimistik tetapi dalam soal akidah kita diajar berbaik sangka dengan apa yang Allah berikan. Tuhan bukan maha kejam, tetapi Dia tu terlalu kasih kepada kita. Ala...waktu kita kecil pun kita tetap dipukul, dirotan dicubit dan sebagainya sebab mak ayah kita sayangkan kita kan? Maka berbaik sangka apa yang Tuhan berikan. 


Hurm, panjang lebar dah penulis mencoret. Jika ada soalan-soalan lain boleh sampaikan melalui mesej kepada penulis. Insya Allah penulis akan cuba kongsikan dengan semua, mana yang baik jadikan tauladan mana yang tak baik jadikan pengajaran. Oklah, penulis mengundur diri dulu, sekian....Wassalam. 



Secebis Kisah Yang MalangWhere stories live. Discover now