Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dengan izin dari Nya hati penulis mahu mencoret nukilan dalam wadah Wattpad ini. Mohon maaf atas sunyi dan sepinya penulis untuk mencoret dan menukilkan peri kisah kehidupan penulis kerana komitmen, tanggungjawab dan amanah tugasan kerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jadinya selepas mengajar, berehat sebentar, hati penulis ingin mencoretkan sesuatu di dalam Wattpad ini.
Mungkin tajuk ini agak cliche sikit, mungkin juga ada juga terfikir dan terlintas di dalam benak sanubari sidang pembaca. Sejujurnya, penulis berasa sebak, sedih berbaur rindu sekarang ini. Entahlah, nak dikatakan permainan tidur, mungkin juga...nak dikatakan sebagai petunjuk pun mungkin juga. Malam tadi, penulis bermimpi bertemu dengan arwah abang Khairil. Mimpi tersebut penulis dibawa ke sebuah kawasan yang ramai orang. Dari ramainya manusia yang berjalan-jalan, dari kejauhan penulis ternampak arwah sedang berdiri sambil memerhatikan penulis. Pandangan penulis memang tepat ke arah dirinya dan kami sama-sama kelu. Hanya dari kejauhan arwah tersenyum dan berlalu pergi menghilangkan diri dalam ribuan manusia. Penulis cuba menjerit memanggil namanya tetapi seolah-olah suara penulis tidak dapat keluar. Apabila tersedar dari tidur, air mata masih lagi membasahi pelupuk mata dan pipi penulis. Sungguh, penulis terkesan dengan mimpi ini. Ya Allah, rindu ku terlalu sangat kepada arwah. Adakah ini petanda bahawa penulis akan pergi bertemu dengannya di alam barzakh sana nanti? Jika diizinkan Allah, sungguh besar hajat hati penulis mahu bertemu dengan arwah, terlalu banyak kisah dan cerita diri penulis ini mahu diluahkan tatkala berhadapan dengan dirinya.
Namun, terdetik juga di dalam benak hati ini, adakah nyawa penulis ini sudah sampai ke penghujung noktahnya? Jika itu suratan dan takdir dari Yang Maha Berkuasa, sungguh penulis redha dan pasrah. Bukan penulis untuk membicarakan tentang kematian, tetapi jika ini petunjuk dariNya maka perlulah penulis bersiap sedia, kerana kematian tidak pernah cepat atau lewat sesaat pun. Cuma, apakah persediaan penulis jika hari ini merupakan hari terakhir penulis untuk hidup di atas muka bumi ini?
Apa yang penulis boleh buat jika dan seandainya hari ini merupakan hari terakhir penulis:
1. Penulis sudah redha, pasrah, ikhlas dan hanya mampu bertawakkal kepada Allah
2. Penulis mohon ampun dan maaf andai segala kelakuan dan bahasa yang ditonjolkan oleh penulis, sama ada sedar atau tidak, sama ada penulis tahu atau tidak telah mengguris perasaan semua manusia
3. Penulis mohon dihalalkan makan minum dan apa jua yang penulis terambil secara sengaja atau tidak
4. Paling penting, penulis sudah memaafkan dan menghalalkan semua manusia yang hadir dalam hidup penulis, termasuk yang pernah hadir dalam hidup penulis.
5. Kepada 'Amir', abang sudah maafkan kamu, abang halalkan dan redha atas apa yang berlaku. Abang doakan agar 'Amir' kembali ke jalan yang benar, insaf dan bertaubat kepada Allah. Jika ada kesalahan dirimu terhadap orang lain, lekaslah cari dan mintalah maaf. Jika tiada diberi kemaafan maka ikhlaskan dirimu untuk memaafkan mereka dan serahkan semuanya kepada Allah Azza Wa Jalla.
Penulis mohon agar jika pemergian diri penulis ini jangan ditangisi, jangan diratap hiba. Redha dan benarkan penulis 'mengembara' di alam barzakh. Hanya bantuan doa dan ingatan tulus ikhlas dari penulis sahaja yang penulis dambakan. Insya Allah, kita semua pasti akan bertemu lagi, dihimpunkan di padang Yaumil Mahsyar. Semoga di sana nanti kita sama-sama membantu memberi syafaat dan bersama-sama melangkah kaki ke dalam syurga. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kerana yang sudi menasihati, mengambil berat dan tidak jemu-jemu memberi kata-kata perangsang serta bimbingan kepada penulis. Semoga Allah melimpahkan taufik, hidayah, keberkatan dan kenikmatan seluas-luasnya kepada kalian atas hati budi kalian yang tulus ikhlas.
Akhirul kalam dan madah, sekali lagi penulis mohon ampun dan maaf jika esok kalian mengetahui yang penulis tiada lagi di dunia ini. Bukan penulis untuk menghindar dari kebenaran sekarang kerana kebenaran yang hakiki kepada kehidupan adalah kematian. Izinkan jenazah penulis ini diuruskan, dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Benarkan penulis untuk tinggal di dalam liang lahad. Redhalah atas perpisahan ini dan perjalanan terakhir penulis, biarkan diri penulis untuk pergi dahulu. Semoga yang tinggal sentiasa senyum selalu dan yang pergi hilang lenyap khabar berita.
Sekian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
![](https://img.wattpad.com/cover/137624944-288-k815445.jpg)
YOU ARE READING
Secebis Kisah Yang Malang
NonfiksiKisah seorang gay yang menetap di Kuala Lumpur dan kehidupannya penuh kesepian selepas disahkan menghidap HIV. Kisah benar ini digarapkan oleh penulis sendiri dengan menukar watak pelaku sebagai Hazimi bagi melindungi identiti dirinya. Semoga ada ma...