Hari AIDS Sedunia (1 Disember)

431 24 9
                                        

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca budiman. Apa khabar semuanya? Penulis berharap kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera, berada dalam lindungan Allah serta dilimpahi rahmat rezeki yang sebaik baiknya.

Sebelum penulis mahu menyentuh perkara yang mahu dibincangkan, penulis memohon maaf kerana sudah lama tidak update kisah penulis. Mohon maaf kerana kesibukan penulis yang tiada kesudahan menyebabkan tiada masa untuk mencoret sesuatu. Alhamdulillah, keadaan penulis berada dalam keadaan baik. Cuma bulan lepas, selepas keputusan ujian darah dikeluarkan ada dua perkara yang begitu mengejutkan. Pertama, berkenaan virus HIV menunjukkan sedikit meningkat bacaan Viral Load, iaitu dari bawah 20 (undetectable) kepada 79. Doktor pada mulanya bertanya beberapa soalan seperti adakah penulis lewat atau ada tertinggal dari makan ubat, gaya hidup atau pengambilan ubatan herba atau suplemen yang tidak dibenarkan. Mungkin juga disebabkan dalam sebulan dua sebelum ini keadaan penulis agak tertekan dengan pekerjaan menyebabkan kemungkinan virus itu naik. Penulis masih lagi tidak pernah tertinggal makan ubat, malahan tidak mengambil suplemen yang tidak dibenarkan.

Perkara kedua ialah doktor memberitahu yang bacaan diabetes dalam darah penulis meningkat dari bacaan normal kepada 6.9 yang merupakan bacaan sempadan atau border ke arah kencing manis. Alamak... Macam mana boleh kena ni? Penulis bukan suka makan atau minum yang manis. Tetapi mungkin juga disebabkan gaya pemakanan penulis yang banyak mengambil nasi, sehinggakan jadual pemakanan penulis pun tidak teratur. Jadi buat sementara ini penulis sedaya upaya mengelak makan nasi dan cuba mengambil pemakanan yang seimbang. Sehingga hari ini, penulis sudah 25 hari tidak mengambil nasi, mengelak langsung minuman manis dan Alhamdulillah berat badan sudah mula berkurangan sebanyak 4 kilogram. Insya Allah target penulis untuk mendapatkan berat badan ideal dan teringin juga nak bergaya dengan badan yang diidamkan, hehehe.

Baiklah, berbalik kepada perkara yang mahu dibincang dan dikongsikan, esok 1 Disember. Tarikh berkenaan disambut sebagai Hari AIDS Sedunia. Tarikh yang diraikan sebagai kepentingan manusia dalam memahami, mengelak dan menyelamatkan diri serta orang lain dari terkena HIV dan AIDS.

Secara jujur, dari pengamatan penulis Hari AIDS Sedunia ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan di Malaysia, malahan masih dianggap sepi dan tidak penting. Mengapa terjadi? Kerana rakyat Malaysia masih ditakuk dengan mentaliti yang pembawa dan pesakit HIV dan AIDS adalah orang yang hina, tidak diterima dalam masyarakat dan perlu disisihkan.

Penulis berasa amat terpukul dan terkesima dengan mentaliti masyarakat Malaysia berkenaan perkara ini. Saban tahun, pesakit HIV dan AIDS sering didiskriminasikan, dinafikan hak dan malahan paling teruk menghadapi masalah depresi yabg teruk akibat tekanan dari ahli keluarga dan masyarakat. Penulis pernah terdengar dan mengetahui seorang pesakit HIV (PLHIV) yang dibuang kerja akibat polisi syarikat yang meminta setiap pekerja melakukan saringan ujian kesihatan, walhal pekerjaannya tidak melibatkan bidang kesihatan ataupun pekerjaan yang berisiko. Pernah juga penulis mendapat cerita bahawa ada IPTA atau IPTS yang menghalang calon pelajar yang cemerlang mengikuti pengajian ataupun menyingkirkan pelajar yang PLHIV. Begitu banyak penindasan, kekejaman dan layanan yang tidak sewajarnya berlaku kepada PLHIV dan pesakit AIDS.

Secara jujur, penulis dan mungkin juga yang senasib seperti penulis hidup dalam keadaan begini, diancam dengan stigma, takut kehilangan kerja, disisihkan oleh ahli keluarga dan masyarakat dan satu juta satu tekanan yang perlu dihadapi. Apakah kerana HIV dan AIDS ini kami dihukum yang begitu berat?

Penulis ada juga merisik risik bertanya kepada orang lain, termasuk kepada rakan rakan pensyarah penulis berkenaan perkara ini. Rata rata mereka memandang serong perkara ini, masih menganggap PLHIV dan pesakit AIDS adalah pendosa yang jijik dan tidak diampunkan oleh Tuhan. Malahan, yang mengejutkan ada mereka yang mengajar dan bekerja dalam sektor kesihatan pun masih tidak boleh mengikis stigma dan prejudis mereka kepada PLHIV dan pesakit AIDS. Golongan ini lebih bersimpati malahan tidak prejudis pula kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang lebih kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau lemah jantung.

Mengapa terjadi perkara sedemikian? Hasil penulis meneliti perkara ini, penulis menyimpulkan beberapa perkara. Pertama kerana rakyat Malaysia ini 'rajin' sangat membaca, menyibuk dan menikmati perkara-perkara yang tidak berilmiah. Bagi mereka, tidak perlu mengetahui faedah, langkah pencegahan dan seumpamanya berkenaan soal penyakit. Ditambah lagi dengan sikap dan pemikiran semberono maka ini menjadi lebih parah.

Perkara kedua adalah pegangan iman dan amalan masyarakat. Mohon maaf, penulis pernah tersentak apabila mendengar seorang alim yang menghentam PLHIV dan AIDS kerana dosa-dosa silam. Astaghfirullah al 'azim, sungguh inilah sosok alim zaman sekarang yang memandang diri lebih maksum berbanding dengan orang lain. Inilah segelintir perosak dan pembawa virus kebencian kepada masyarakat. Jika benar inilah balasan atas dosa besar yang silam, mengapa Allah itu ada sifat Maha Pengampun, Maha Pemurah dan Maha Penyayang? Kami akui HIV dan AIDS itu hasil dosa silam kami namun apakah ini hukuman yang dijatuhkan kepada kami oleh segelintir yang mengaku sebagai 'maksum'? Adakah mereka ini mengambil kerja Tuhan dan serta syurga dan neraka, pahala dan dosa di tangan mereka? Kerana 'sumpitan racun' inilah kadangkala PLHIV dan pesakit AIDS hilang pengharapan dan sentiasa berburuk sangka kepada Tuhan, menipis iman dan berada dalam belenggu kegelapan hidup yang tiada sudahnya.

Penulis bukan mahu menunjuk nunjuk menjadi hero bagi perkara ini, namun sebagai suara yang sangat kecil ini penulis cuba kongsikan. Penulis menyeru, meminta, memohon dan berharap agar dari diri individu sehingga kepada masyarakat, pemimpin negara, para ilmuan agamawan, para majikan dan semua rakyat Malaysia kena peka dan sentiasa membantu PLHIV dan AIDS. Bagi kami ruang dan peluang dalam hidup ini. Kami tidak mahu menyusahkan sesiapa, tetapi kami mahu sokongan dan mendapat tempat yang baik disisi masyarakat. Kepada pembaca, penulis mahu melontarkan  soalan dan jika boleh mohon dijawab dengan jujur...
1. Adakah anda mahu diri anda menjadi seperti kami?
2. Adakah anda selamat dari penyakit ini?
3. Adakah anda bersedia dan mampu zahir dan batin menerima dalam hidup anda orang seperti kami?
4. Adakah anda mahu menerima 'pendosa' ini dalam sama sama menuju dalam keampunan Tuhan Yang Maha Agung?

Penulis mohon, jernihkan minda, ikhlaskan hati dan tuluskan perasaan anda dalam menghadapi situasi kami.

Sekian dahulu coretan penulis kali ini. Penulis mohon maaf andai coretan penulis mungkin nampak kasar atau biadab. Penulis juga mengalu alukan sebarang komen, perkongsian dan kisah yang mahu disampaikan sama ada dalam coretan ini ataupun menyampaikan secara mesej peribadi kepada penulis. Diharapkan kepada pembaca budiman dapat mengambil iktibar dan memikirkan cetusan rasa penulis.

Sekian, wassalam.

Secebis Kisah Yang MalangTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang