Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Jutaan terima kasih penulis menyusun kata kerana kesuian pembaca-pembaca yang mengikuti kisah penulis, ada yang memberi komen atas jalan penceritaan dan ada yang private message kepada penulis; bertanya keadaan, ada yang mahu berkenalan dan ada yang bertanya keadaan HIV dan AIDS.
Insya Allah, mana yang bertanya sedaya upaya penulis akan menjawab. Kadangkala yerlah, kekangan masa dan kesibukan yang berkunjung datang menyebabkan agak sukar juga penulis untuk menjawab soalan demi soalan.
Ada yang bertanya berkenaan dengan perkembangan terkini penulis. Alhamdulillah, barisan syukur dipanjatkan kepada Allah dan segala puji yang selayaknya buat RasulNya, penulis masih hidup meneruskan misi dan visi kehidupan yang diaturkan sesuai dengan kehendakNya. Bila direnung kembali perjalanan kehidupan penulis, memang diakui banyak perubahan yang berlaku dan semuanya menjurus ke arah lebih yang positif. Kini, penulis tidak lagi tinggal ebrseorangan diri kerana sudah tinggal bersama-sama dengan pelajar-pelajar lelaki kolej; tambahan pula pihak kolej meminta penulis menjadi warden hostel penginapan. Selain menjimatkan belanja dari bayar sewa (hehehehe....) tidak lagi sangat terasa kehidupan sunyi. Sebabnya, jika sunyi pasti kenangan lama bertandang kembali...dan akhirnya air mata tetap mengalir sebagai jawapan kepada keluhan dan sesal yang tiada berkesudahan.
Bagi menjawab pertanyaan pembaca-pembaca kisah terkini hidup penulis, Insya Allah, penulis akan cuba mencoretkannya. Antara peristiwa yang paling terkesan kepada penulis sehingga kini dan membekas dalam jiwa penulis sehingga kini ialah penulis berpeluang bersama kedua orang tua penulis menjadi dhuyufur rahman (tetamu Maha Pengasih); iaitu menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan menjadi penziarah Rasulullah S.A.W di Madinah. Kami mengerjakan umrah pada bulan Februari 2019 yang lepas dan bertolak pada Hari Raya Cina pertama. Sungguh, rihlah kerohanian ini memberi kesedaran dan kesan yang begitu kuat dalam kehidupan penulis. Memang tidak penulis menyangka sungguh rezeki dijemput menjadi tetamuNya, bertawaf di hadapan Kaabah, bersa'ie antara Safa dan Marwah serta mengunjungi makam Rasulullah sebesar-besar kurniaan nikmat Allah yang tidak tolok bandingannya. Air mata yang tumpah tidak dapat ditahan tatkala berhadapan dengan Kaabah al Musyarafah, dengan doa yang dipanjat serta rintihan dan mengadu yang tiada sudahnya kepada Dia. Sungguh, di hadapan Kaabah penulis mengikrarkan sekali lagi bahawa apa yang berlaku telah redhalah atas diri penulis dan pelaku-pelaku yang penulis coretkan dahulu telah penulis maafkan.
Namun, tatkala pulang dari Madinah...dan tibanya penulis di Malaysia...Allah telah membuka 'kebenaran' dan hak. Penulis cuba sekali lagi whatsapp dengan Amir, namun...sikap dan pendiriannya langsung tidak berubah. Malahan, penulis juga dicaci maki...dikutuk. Tujuan penulis whatsapp dengannya adalah untuk meminta maaf kerana mahu menjernihkan kembali hubungan; malahan meminta agar dirinya segera sedar atas khilaf dan kesalahan. Namun, tidak tertulis ayat baitnya memohon maaf, apatah lagi dengan sombong lagi riaknya menafikan apa yang dia lakukan kepada penulis. Segera penulis sedar bahawa Allah telah menunjukkan 'kebenaran' dan kenyataan yang sebenarnya. Ayat akhir penulis di dalam whatsapp
"Selepas ini hanya Allah sahaja menjadi hakim antara kita...antara diri abang dan awak telah abang selesaikan sesuai tuntutan agama. Hanya tinggal urusan awak dengan Allah sahaja."
Lantas....seperti biasa hukuman dari Amir terhadap ayat penulis ini ialah "BLOCK". Sungguh hati yang tertutup rapat dari kebenaran dengan sikap ego, keras kepala dan kesombongan menggelapkan hati. Hanya istighfar dan sabar sahaja penulis pohonkan kepada Allah. Maka biarlah dirinya umpama lipatan sejarah penulis yang terus terpendam dalam lubuk jiwa penulis sahaja.
Insya Allah, kita semua berada di dalam bulan Rejab, bulan hadapan kita akan melangkah ke bulan Sya'ban dan diizikanNya juga akan melangkah ke bulan Ramadan al-Mubarak. Semoga bulan-bulan keberkatan ini akan melimpahkan rezeki, kebaikan, kesihatan, kejayaan dan kesejahteraan dari Allah untuk kita semua.
Sekian, wassalam.
Salam kasih sayang dari penulis
YOU ARE READING
Secebis Kisah Yang Malang
Não FicçãoKisah seorang gay yang menetap di Kuala Lumpur dan kehidupannya penuh kesepian selepas disahkan menghidap HIV. Kisah benar ini digarapkan oleh penulis sendiri dengan menukar watak pelaku sebagai Hazimi bagi melindungi identiti dirinya. Semoga ada ma...