Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam bahagia buat pembaca budiman. Terlebih dahulu penulis menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf disebabkan lama penulis tidak mencoret. Maklumlah, PKP ni penulis pulang ke kampung halaman di Ipoh, mengajar secara dalam talian (online). Memang sibuk mengajar sehingga naik 'berhabuk' wattpad ni pula.
Penulis sekarang ini berada di Kuala Lumpur kerana esok awal pagi penulis perlu ke Hospital Sungai Buloh bagi pertemuan dengan doktor dan pengambilan ubat. Biasalah rutin setiap 6 bulan kan...Jadinya penulis stay di hotel di tengah-tengah bandaraya KL ni, sebab senang esok awal pagi naik tren LRT dan MRT menuju ke Sungai Buloh. Dahlah waktu pertemuan jam 8 pagi, mahu tak mahu terpaksalah penulis bergerak dengan lebih awal.
Baik, penulis menyambung kembali penulisan, sambungan dari bab yang lepas. Kali ini penulis nak berkongsi pengalaman penulis dapat memasuki Hijir Ismail dan dapat bersolat di betul-betul di bawah pancuran emas Kaabah. Sehinggalah pada hari ketiga sewaktu menunaikan umrah, perasaan penulis terlalu sangat ingin memasuki ruangan Hijir Ismail; iaitu satu kawasan lengkungan yang berada di hadapan Kaabah. Sebenarnya dahulu kawasan Hijir Ismail adalah termasuk di dalam Kaabah, namun selepas peristiwa banjir, kaum Quraisy Makkah telah membina semula Kaabah. Kaabah yang runtuh akibat banjir dibaiki namun terdapat kekurangan bahan binaan, jadinya kaum Quraisy telah mengecilkan binaan Kaabah dan dibuat lengkungan berhampiran Kaabah bagi menunjukkan bahawa di dalam kawasan Hijir Ismail itu adalah kawasan Kaabah.
Pada hari ketiga, penulis bangun lebih awal, kira-kira jam 2.30 pagi waktu Arab Saudi atau kira-kira jam 7.30 pagi waktu Malaysia. Selepas mendapat kebenaran dari ibu dan ayah, penulis melangkah kaki ke Masjidil Haram dengan niat mahu melaksanakan tawaf sunat dan berqiamullail. Sewaktu kaki melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram, timbul perasaan dan keinginan penulis untuk masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail dan mencium Hajaratul Aswad. Dengan niat dan nekad, penulis memasuki ruangan tawaf dan mulai niat tawaf sunat. Pada mulanya penulis agak jauh dari Kaabah namun pada pusingan tawaf kedua penulis sudah merasakan begitu dekat dengan Kaabah. Pada pusingan ketiga penulis mula merapat ke kawasan tembok lengkungan Hijir Ismail. Masa tu usah cakaplah, berasak-asak jemaah nak masuk, dengan adegan tolak menolak dan menjerit jerit berlaku. Penulis sedaya upaya untuk berdiri dan bergerak, jika jatuh habislah!!! Entah bagaimana ketika itu penulis cuba menahan asakan dengan bertakbir sekuat hati menarik perhatian seorang polis Arab Saudi yang sedang menjaga di kawasan masuk ke Hijir Ismail. Lantas, beliau memegang tangan penulis dengan kuat dan terus membawa penulis membelah asakan manusia. Ya Allah, terkejut besar penulis, kuat tarikannya...yerlah terus ditolaknya jemaah-jemaah lain. Lantas beliau membawa penulis ke arah satu tempat yang muat untuk penulis bersolat sunat.
"Ya Hajji...solah...solah"...ujar beliau dengan tangannya mengarahkan penulis bersolat di situ. Alhamdulillah, penulis terus rasa sebak, berada di dalam Hijir Ismail, kemudian dibantu tanpa disangka-sangka dan betul betul penulis solat menghadap ke dinding Kaabah (dinding Kaabah ditutup dengan kain kiswah hitam). Apabila selesai solat sunat, penulis memandang ke atas. Ya Allah, betul-betul penulis di bawah mizab atau pancuran emas Kaabah (antara kawasan yang sangat mustajab doa). Lantas penulis solat hajat pula, walaupun badan rasa ditolak-tolak tetapi Alhamdulillah dapat juga melaksanakan solat di dalamnya. Usai solat, penulis bangun dan memegang dinding Kaabah, niat mahu mencium Hajaratul Aswad. Ha...yang ni lagi la kelam kabut dengan asakan, tolakan, rempuhan dan jeritan. Penulis hanya meniti di tepi dinding Kaabah dan merapatkan diri ke dinding Kaabah. Sehinggalah nampak tempat paling berpusu-pusu jemaah, tempat mahu mencium Hajaratul Aswad. Penulis mula memegang bingkai perak yang terletak di luar batu Hajaratul Aswad. Entah bagaimana, siapa yang tolak penulis, rasa tengkuk dan kepala ditekan terus masuk ke dalam lubang bingkai perak berkenaan. Terus kucup batu Hajaratul Aswad (sebenarnya batu ini besar, dikatakan batu berasal dari syurga yang di bawa oleh Jibril a.s., namun pernah dicuri oleh puak Syiah dan pecah batu berkenaan, hanya tinggal tujuh serpihan yang dibingkaikan pada perak dan timah serta diletakkan dipenjuru sudut Kaabah). Sakit kepala dan tengkuk apabila diperlakukan sedemikian, tapi sabarlah banyak banyak. Baju penulis terus direntap bagi memberi peluang orang lain mengucup.
YOU ARE READING
Secebis Kisah Yang Malang
No FicciónKisah seorang gay yang menetap di Kuala Lumpur dan kehidupannya penuh kesepian selepas disahkan menghidap HIV. Kisah benar ini digarapkan oleh penulis sendiri dengan menukar watak pelaku sebagai Hazimi bagi melindungi identiti dirinya. Semoga ada ma...