Tahun 2021: Antara Cabaran, Harapan, Impian dan Angan-Angan

239 15 11
                                    

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera. Apa khabar sidang pembaca sekalian? Harap semuanya sihat sejahtera, dilindungi oleh Allah dan dikurniakan kesejahteraan, kebahagiaan, keceriaan dan kegembiraan jua selalu. Amin ya rabbal 'alamin. Terlebih dahulu penulis memohon jutaan ampun dan maaf kerana sudah lama sangat tak update kisah dan cerita kehidupan penulis. Maaf ye, kesibukan yang melampau dengan tugas, mengajar pelajar-pelajar dan urusan-urusan kehidupan yang lain memang menyebabkan penulis tidak mampu meluangkan masa seketika untuk menulis dan mencoret. Tambahan pula sekarang ini cara dan gaya kerja sewaktu PKP ini sudah memang berlainan, semuanya memerlukan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Cabaran paling utama juga, menghadap pelajar-pelajar yang mempunyai sejuta satu kerenah dan kelakuan, kadangkala boleh mencabar iman juga. Tu salah satu penyebab darah tinggi ni boleh berlaku.

Sudah hampir sebulan kita mula menempu tahun 2021, di dalam musim PKP yang bermula sejak awal tahun lepas. Rasanya mahu tidak mahu kita kena hadapi gaya kehidupan yang berlainan berbanding dahulu, kadangkala rasa penulis kurang bersosialisasi dengan orang sekeliling. Tetapi apakan daya, SOP dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa perlu dipatuhi kan? Sabarlah ye, kita semuanya sedang diuji. Lumrah kehidupan sebagai hamba Allah, kita diuji sejauh mana iman , sabar, redha dan ikhlas kita kepada Dia. Tak ada daya kekuatan kita sebenarnya, hanya Dia sahaja Yang Maha Membantu dan Maha Mengetahui.

Sabar, redha dan ikhlas lah diri kita; renungkan lah kisah para Nabi dan Rasul serta para sahabat, auliya dan wali-wali Allah dahulu yang diuji sejauh lebih hebat dari kita. Jika kita ditimpa sakit, ketahuilah sesungguhnya Nabi Ayub diuji oleh Allah dengan sakit yang bila dipandang orang begitu jijik. Jika kita rasa kesunyian dan rasa tenggelamnya segala harapan, renunglah kisah Nabi Yunus tatkala baginda berada di dalam perut ikan (sama ada ikan paus atau lebih besar dari itu hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui) dalam keadaan kesepian, kegelapan dan berseorangan. Jika kita mengeluh diberikan tugas dan tanggungjawab yang berat, bayangkanlah tugas Nabi Nuh terpaksa membina bahtera di atas bukit hanya disebabkan perintah Allah, dipandang lagi dihina oleh kaumnya yang baginda melaksanakan tugas yang bodoh dan mustahil. Jika difitnah dan dicaci maki, renunglah kisah Maryam, ibunda Nabi Isa al-Masih yang tidak memberikan apa jua reaksi dan membalas balik segala cemuhan, kejian dan umpatan. Jika rasa diri terlalu berat ujian dan kesakitan, renunglah dan ambillah pengajaran dari Rasulullah S.A.W. Baginda bukan sahaja dicaci, dihina, diejek malah diancam bunuh. Akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada baginda dan malahan baginda sendiri telah memaafkan dan melupakan semua perbuatan yang pernah dilakukan orang kepada baginda. Betul seperti apa yang dikatakan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi, seorang ahli falsafah, sufi dan penyair yang terkenal dari Turki yang pernah hidup pada abad ke-13 Masihi: "Para Nabi menerima semua penderitaan dan percaya mampu menghadapinya; seumpama air yang tidak pernah takut kepada api."

Akhir tahun lepas, adik bongsu, ibu dan ayah penulis telah disahkan diserang penyakit Covid-19. Masa itu hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana resah, gelisah dan takutnya penulis terhadap keselamatan dan kesihatan mereka. Ia bermula dengan serangan kepada adik bongsu saya, yang dipercayai berpunca dari tempat beliau bekerja. Akhirnya selepas menjalani ujian calitan, beliau disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Besar Ipoh. Ibu dan ayah penulis pula diminta oleh pihak KKM untuk buat ujian calitan kerana kontak rapat dengan adik bongsu. Akhirnya mereka juga disahkan positif dan terpaksa dibawa ke hospital yang sama tempat adik penulis menerima rawatan. Alhamdulillah selepas menjalani rawatan, isolasi dan rawatan intensif, maka mereka telah disahkan sihat. Buat masa ini sehingga sekarang mereka tidak keluar berjalan jauh, hanya sekadar adik bongsu penulis pergi ke tempat kerja dan sekitar lingkungan tidak jauh dari Ipoh. Bila ditanya kepada mereka, rasa trauma dan keperitan mereka dalam menempuh ujian tersebut benar-benar membuatkan mereka sedar akan peri pentingnya kesihatan. Terima kasih atas doa dan nasihat yang diberikan kepada penulis dan keluarga penulis dan berkat doa kalian, mereka sudah sembuh. Nasib jugalah penulis tidak pulang ke kampung sekitar bulan November 2020, jika tidak rasanya mungkin penulis juga akan dijangkiti.

Secebis Kisah Yang MalangWhere stories live. Discover now