Secebis Kenangan Umrah (Bahagian 3)

294 17 11
                                    

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & salam sejahtera. Apa khabar semua? Harapan penulis agar semuanya sihat. Alhamdulillah, hari ini sudah hari ketujuh berpuasa, sudah masuk fasa PKP keempat. Walaupun begitu tugasan dan kerja perlu dilakukan dari rumah; dan mahu tidak mahu juga penulis terpaksa menghadapi pemotongan gaji yang agak besar. Sabar, semuanya dugaan dan ujian dari Allah, ada hikmah yang sebaliknya berlaku.

Kali ini penulis akan meneruskan penulisan pengalaman sendiri penulis menunaikan umrah, berasak-asak masuk menunaikan solat sunat di dalam Hijir Ismail dan dapat mencium Hajaratul Aswad. 

Apabila tamat sahaja melaksanakan umrah wajib dan bertahalul, penulis dan ibu ayah hanya sempat sarapan dan solat subuh di bilik hotel sahaja. Tiada aktiviti yang disusun oleh pihak pengurusan Andalusia untuk kami; hanya diminta untuk berehat.

Tapi, yerlah, bila dah sampai ke Makkah seboleh-bolehnya mahu juga pergi solat dan menunaikan ibadah sunat lain di hadapan Kaabah. Kasihan ibu dan ayah penulis yang mengadu sakit kaki, penulis hanya minta mereka berrehat dan buat beribadah dari bilik sahaja. Sebelum solat Zuhur, penulis keluar dari hotel dan menuju ke Masjidil Haram. Sepanjang jalan, penulis berniat harap dapatlah kiranya solat berdepan dengan Kaabah atau di dataran tawaf. Walaupun cuaca waktu tengahari sekitar 25 hingga 28 darjah celcius, tetapi panas matahari tetap terasa juga bahangnya. 

Alhamdulillah, betul kata orang, jika kita niat baik, berdoa betul betul di sana, pasti Allah tunaikan hajat dan permintaan. Penulis dapat solat berhadapan dengan Kaabah di dataran tawaf berdekatan dengan laluan imam Masjidil Haram ke Kaabah. Dapatlah melihat secara jelas imam yang dikelilingi dengan polis menuju ke hadapan berhampiran Multazam (antara Hajaratul Aswad dan pintu Kaabah). Bagi pengetahuan semua, usai sahaja solat fardu, tak ada doa ye seperti yang kita lakukan di Malaysia. Doa dilafazkan sendiri oleh jemaah. Selalunya selepas solat fardu akan ada pula solat jenazah yang diumumkan dengan gema suara bilal. Rebutlah peluang solat jenazah, sebabnya pahalanya lebih besar. Bagi yang usai solat fardu di hadapan Kaabah, pergerakan tawaf boleh dilakukan. Imam akan bergerak dan pergi ke kawasan dalam masjid pula untuk mengimamkan solat jenazah. Selalunya masa diambil dalam lima mini sebelum bermulanya solat jenazah.

Penulis ambil keputusan untuk masuk ke dalam masjid selepas habis solat fardu untuk melaksanakan solat jenazah. Usai solat jenazah, penulis pergi mencari tong-tong yang berisi air zam-zam bagi membasahkan tekak. Jangan risau, memang banyak tong-tong berisi air zam-zam disediakan, lengkap dengan cawan plastik pakai buang. Terdapat dua jenis air zam-zam disediakan, satu yang bersuhu bilik atau air biasa dan satu lagi bersuhu sejuk; macam kita minum air kosong yang disimpan dalam peti ais tu. Memang segar dan sedap, sungguh berlainan rasanya air zam-zam yang kita minum di Malaysia.

(Tips untuk air zam-zam: Bawa botol air kalau nak bawa balik air zam-zam ke hotel. Jangan bawa botol besar sangat. Penulis bawa botol air saiz botol air mineral 1.5 liter, disimpan dalam beg uncang dan diikat bersama beg sandang penulis. Isi air sewaktu kita nak balik ke hotel. Jika isi awal nanti susah nak dibawa, jika kita letak air zam-zam di hadapn kita sewaktu sedang beribadah akan menyusahkan jemaah lain untuk berjalan; silap-silap dirampas oleh polis yang menjaga sebab menggangu jemaah lain.)

Habis minum air zam-zam, penulis melihat dataran tawaf dan Kaabah. terdetik hati mahu melaksanakan sunat tawaf dan teringin benar nak masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail. Alhamdulillah, sekali lagi Allah perkenankan, masuk pusingan ketiga tawaf, penulis sudah mendekati dinding Hijir Ismail. Masa itu, berasak-asak jemaah mahu memasuki dalamnya. Berlaku tolak menolak, menjerit-jerit kerana tersepit dan sebagainya. Masa itu penulis cuba bertahan dengan berdiri kejap-kejap dan jika ada rempuhan penulis akan menjerit 'Allahu Akbar' sekuat-kuatnya. Mungkin kerana suara penulis yang agak kuat (sebenarnya memang kuat pun sebab dalam kelas mengajar mana pernah pakai mikrofon...hehehe), menarik perhatian polis yang menjaga sekitar situ. Dengan tiba-tiba tangan beliau menarik tangan penulis dan memimpin masuk terus ke dalam Hijir Ismail. Ya Allah, betapa terkejutnya penulis. Beliau bawa penulis betul betul solat berhadapan dengan dinding Kaabah dan di atas penulis, Masya Allah....pancuran emas Kaabah. Menitik air mata ketika solat hajat di hadapan dinding Kaabah di atas pancuran emas. Walaupun berlaku kesesakan dan himpitan, Alhamdulillah penulis berjaya solat. Begitu wanginya kiswah Kaabah, patutlah kita yang berada dalam ihram dilarang menyentuh Kaabah kerana khuatir wangian akan melekat ke badan atau kain ihram. 

Secebis Kisah Yang MalangWhere stories live. Discover now