Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam hormat buat sidang pembaca yang budiman. Penulis berharap agar semua pembaca yang mengikuti kisah dan perkembangan diri penulis berada di dalam rahmat, keberkatan dan keselamatan dariNya jua.
Beberapa jam lagi akan labuh tirai tahun 2019. Satu lagi tempoh tahun yang ditempuh, meninggalkan segala kenangan sama ada manis atau pahit, gembira atau duka, tenang atau gundah gulana. Semuanya telah tertakdir di atas garisan hidup kita kan? Semuanya kita telah tempuhi untuk tahun ini. Penulis mendoakan agar sidang pembaca semuanya telah mengecapi kejayaan dan kegemilangan tahun 2019 ini dan pada tahun 2020 pula semakin cemerlang kehidupan kalian.
Bagi penulis, jika diimbas kembali tahun 2019, terlalu banyak kenangan yang dilalui, baik sama ada kenangan manis atau sebaliknya. Kenangan yang paling manis apabila penulis bersama ibu dan ayah dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan umrah. Penulis ingin berkongsi kisah bagaimana impian dan harapan kami ke tanah suci boleh tertunai, tetapi semuanya atas izin dan kudrat dari Allah jua. Jika difikir secara logik, sungguh penulis tidak ada peluang untuk ke sana pada tahun 2019 kerana pada pertengahan tahun 2018 penulis telah mendapat surat perintah mahkamah berkenaan kemuflisan. Tetapi, dengan nasihat dari rakan sekerja, penulis telah pergi ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu penulis. Alhamdulillah, melalui AKPK penulis telah berjaya menyusun kembali pembayaran hutang tanpa diganggu oleh surat notis dari peguam dan sebagainya. Ibu bapa penulis pula bercadang mahu mengikuti program rombongan umrah taman perumahan pada bulan Disember 2018, namun penulis mencadangkan untuk pergi ke tanah suci pada bulan Februari 2019. Alhamdulillah, akhirnya impian menjadi kenyataan apabila pada 5 Februari 2019, iaitu pada Hari Tahun Baharu Cina kami bertiga berangkat dari KLIA dengan terus berihram menuju ke Jeddah dan seterusnya bergerak ke Makkah. Tatkala pertama kali penulis melihat Kaabah dari kejauhan, tak sedar air mata mengalir dan seolah-olah mimpi menjadi kenyataan. Bersama dalam lautan manusia, penulis bertawaf 7 kali mengelilingi Kaabah dan seterusnya meneruskan ibadah sa'ie antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali larian anak.
Sepanjang penulis di sana, Alhamdulillah, rasa tenteram dan aman yang sukar untuk dikata. Penulis sangat bersyukur kepada Allah kerana dapat melaksanakan solat sunat di dalam Hijir Ismail dan dapat mencium Hajaratu Aswad serta dapat memegang kaki pintu Kaabah. Sungguh, inilah yang benar-benar penulis idamkan dan Allah S.W.T pula memberi keizinanNya untuk penulis yang daif dan fakir ini merasainya. Selama 8 hari di Makkah dan 4 hari Madinah benar-benar penulis merasakan ketenteraman dan ketenangan yang dicari. Di Madinah, program diisi dengan melawat sekitar Masjidil Nabawi, menziarahi makam Rasulullah S.A.W serta sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan 'Umar al-Khattab r.a. serta lawatan ke kawasan perkuburan al-Baqi' dan sekitar kota Madinah yang banyak menyimpan sejarah.
Namun, apabila pulang semula ke Malaysia, penulis tidak lagi berasa kenikmatan kenteraman begitu berterusan. Kesibukan kerja, dengan kini masalah depresi seolah-olah penulis terasa lari jauh dari ketenangan yang didambakan. Penulis pun tidak tahu, yang mana sebenarnya tekanan perasaan sangat, sebab sakit HIV ni ke, atau sebab tekanan kerja yang tak habis-habis, kesunyian dan kesepian yang tidak kesudahan ataupun disebabkan kenangan silam yang mneyakitkan? Entahlah, semuanya bercampur baur sehinggakan rasa depresi dan kemurungan penulis agak melampau. Ada yang mencadangkan kepada penulis untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan psikiatrik, insya Allah penulis akan berjumpa nanti. Mohon agar penulis terus diberi istiqamah dan mampu menhadapi semuanya ini.
Tahun 2020 apa yang penulis mahukan? Apa tahun 2020 yang penulis impikan? Sejujurnya, penulis tak tahu apa yang mahu dikejarkan dan diimpikan tahun hadapan, cuma mungkin penulis akan mencari peluang pekerjaan di tempat yang lain kerana mahu mengubah haluan hidup. Penulis sebenarnya sudah penat dengan mengajar, penat dengan dunia akademik yang penulis ceburi lebih 15 tahun. Nak juga merasa pengalaman kerja yang lain kan? Tapi tu la, keadaan tahun 2020 dibayangkan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, yerlah... kereta terbang pun tak nampak lagi kan? Wawasan 2020 yang terkandung 9 cabaran pun belum tentu tersahut lagi. Walaupun begitu penulis ada juga menyimpan impian untuk makan angin ke luar negara. Mak dan ayah penulis sebenarnya sudah bagi lampu hijau atau kebenaran kepada penulis untuk pergi bercuti makan angin. "Miker kumpui duit, lepeh tu pegi jalan jalan... Bagi tenangkan kepale miker tu. Asey pandey jage dighi, balik bawak le buah tangan untuk mak abah adik miker ye..." Itu nasihat dan galakan dari ibu penulis (Maaf pekat beno loghat Peraknya). Penulis impikan dalam pertengahan bulan Mac 2020 atau awal bulan April 2020 penulis mahu bercuti sama ada ke Bandung (shopping ke?) atau ke Yogyakarta (nak melawat, mengkaji dan memerhatikan sejarah dan tinggalan di Candi Prambanan, Candi Borobudur, Kraton Yogyakarta Hadiningrat dan mempelajari sedikit sebanyak budaya halus orang Jawa). Cuti dalam negara, rasanya mahu ke Langkawi dan Sabah, ingin menyelusuri tempat tempat yang pernah penulis dan arwah abang Khairil pergi. Tapi target untuk pergi umrah akhir tahun 2020 atau awal tahun 2021 memang penulis bulatkan azam. Siapa nak ikut dan teman penulis ye? Takkan nak jalan seorang diri kut?
Bagaimana dengan soal perasaan? Adakah penulis mahu mencari seseorang untuk berkasih sayang atau bercinta? Yang ini susah penulis nak jawab. Bukan penulis tak mahu tapi yerlah, sidang pembaca tentu maklum apa yang sudah terjadi pada penulis. Penulis agak skeptikal dalam soal ini, yerlah pasangan straight pun boleh bergaduh, menipu dan bercerai berai apatah lagi hubungan gay ini. Namun mungkin tiba masanya penulis ingin mencari seseorang untuk menjadi sahabat dan teman akrab bagi mengisi rasa sunyi penulis ini. Tapi entahlah, perkara ini terlalu subjektif untuk dibincangkan. Mungkin masih ada yang boleh terima diri penulis ini dengan penuh terbuka, ikhlas dan sepenuh hati? Mungkin kut seseorang dari sidang pembaca yang sudi? Hehehe...
Sungguh, kita banyak meninggalkan masa silam...kadangkala kita perlu menoleh juga sejarah silam. Bukan untuk terus meratap, tetapi untuk menjadi pedoman dan iktibar. Masa kini pula kita redah dan hadapi, payah seteruk mana sekalipun kita tetap sama-sama hadapinya. Masa hadapan pula masih lagi di hadapan, yang menuntut kita pada hari ini bersiap sedia demi masa depan. Diharapkan tahun hadapan, tahun 2020 akan kita tempuhi cabaran dengan tabah, sabar dan istiqamah. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat, kekuatan dan iltizam kepada kita mengharungi tahun 2020 ini.
Oh ye, sebelum penulis terlupa. Penulis ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas penulis penulis dalam wattpad ini dalam menghasilkan kisah kisah penceritaan yang menarik. Ada cerita yang pengakhiran yang menggembirakan sehingga membuatkan diri penulis tersenyum dan berangan angan sekejap adakah penulis masih lagi layak untuk seperti yang diceritakan. Jika penulisan yang diakhiri dengan duka dan tragis, kadangkala membuatkan penulis sedih dan membandingkan perkara tersebut dengan kehidupan yang dilalui oleh penulis. Apapun sekali lagi tahniah, teruskan berkarya dan mampu menghasilkan penulisan yang terbaik.
Sekian, dahulu nukilan penulis. Penulis ucapkan Selamat Tahun Baharu Wawasan 2020. Semoga tahun 2020 dan tahun tahun mendatang kita sentiasa dalam rahmat, kebaikan dan perlindungan dari Allah jua selalu. Sekian... Wassalam.
YOU ARE READING
Secebis Kisah Yang Malang
Non-FictionKisah seorang gay yang menetap di Kuala Lumpur dan kehidupannya penuh kesepian selepas disahkan menghidap HIV. Kisah benar ini digarapkan oleh penulis sendiri dengan menukar watak pelaku sebagai Hazimi bagi melindungi identiti dirinya. Semoga ada ma...