Topi keledar dipakai ke atas kepala sebelum dia menaiki motosikal. Enjin dihidupkan sebelum memulakan perjalanan. Hari pertama bekerja ini pastinya akan menjadi hari yang panjang untuk Alif.
"Alif, petang ni, ayah dengan ibu nak ke pasaraya. Kalau kamu balik awal, tengokkan adik kamu tu. Boleh?" pinta ayahnya.
"Hm, yalah." Alif menjawab acuh tak acuh sahaja. "Pergi dulu, ayah. Assalamualaikum," ucap Alif. Ayahnya menjawab salam tersebut bersama dengan sebuah anggukan kecil.
Setelah itu, motosikalnya memecut laju membelah jalan raya. Matanya sedang fokus kepada pemanduan, namun otaknya ligat memutarkan kata-kata Naura tempoh hari.
"Baguslah kalau macam tu. Nanti, kalau awak punya keadaan dah stabil, bolehlah masuk meminang saya."
Tersenyum lebar Alif dibuatnya. Ujaran spontan daripada Naura itu membuatkan hatinya berbunga-bunga sejak semalam.
Cuma satu saja yang membuatkan dia risau.Jikalau benar apa yang dikatakan oleh Rizal, apakah ada peluang untuk dia menaiki takhta sebagai suami kepada Naura Fatimah.
"Ah! Apa-apa yang jadi pun, aku tak nak tahu. Asalkan hari ni, aku dapat kerja dengan elok pun dah kira bagus," bisik hatinya. Selagi masih mampu, dia akan berusaha keras untuk memenangi hati keluarga Naura.
___
Bahang daripada maharaja siang itu membuatkan tubuh Alif basah lencun dek peluh. Bekerja sebagai tukang cuci kereta sememangnya tidak mudah. Tapi, kalau dah namanya kerja, mana ada yang mudah.
"Rehatlah dulu, Alif... Kau tak penat ke? Aku yang tengok kau dari tadi pun rasa penat, tahu tak?" Rahman, rakan sekerjanya menegur. Alif hanya membalas dengan senyuman nipis.
Dia berhenti daripada melakukan kerja, lalu mengambil tempat di sebelah Rahman.
"Kau ni, kerja keras sangat nak buat apa? Relaks sudahlah..." Rahman menepuk bahu Alif perlahan.
"Tak adalah, bang. Saya rasa bersemangat sikit hari ni. Maklumlah, hari pertama kerja kan," kata Alif dengan selamba.
"Apa yang buat kau semangat? Cuba cerita sikit. Yalah, selalunya budak-budak muda macam kau ni, kerja keras sebab nak kahwin saja." Hampir tersedak Alif selepas mendengar kata-kata yang muncul dari bibir rakannya itu.
"Haih, aku baru cakap sikit dah tersedak? Tak adalah, dulu ramai juga datang kerja dekat sini lepas habis SPM atau STPM. Bila aku tanya, masing-masing jawab tengah kumpul duit untuk kahwin. Itulah sebabnya aku tanya kau. Manalah tahu, kau pun sama juga macam dia orang," ujar Rahman, panjang lebar.
"Saya kerja untuk keluarga, bang. Bukan untuk kahwin," balas Alif sambil tersengih.
"Baguslah kalau macam itu. Dah, kau rehat dulu, biar aku uruskan customer tu," ujar Rahman lalu menyambung kerjanya semula.
___
Selepas menunaikan solat asar, Alif meminta izin daripada majikannya untuk pulang ke rumah. Sesampainya di rumah, dia terus memberi salam.
"Assalamualaikum..." ucap Alif, perlahan.
"Waalaikumussalam wbt. Abang, buka saja pintu tu. Tak kunci," balas Arif dari dalam. Setelah membuka pintu, dia kaget melihat Arif yang terbaring di sebelah meja makan.
"Ya Allah... Arif, macam mana kau boleh jatuh dekat sini. Haih..." Alif mengeluh perlahan seraya mendukung adiknya itu.
"Tersadung kaki sendiri..." Arif menayangkan sengihan kepada abangnya. Alif hanya menggeleng kepala.
Dia membaringkan tubuh kurus Arif di atas katil. "Yang kau suka-suka pergi berjalan dah kenapa? Dah tahu diri tu nak berjalan pun tak stabil," bebel Alif. Agak kasar namun terselit nada kerisauan di situ.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...