BAB 34 | Permintaan

205 20 28
                                    

Keesokan harinya, Alif awal-awal subuh lagi telah terpacak di anjung rumah. Dia sedang menunggu Aqil yang dari tadi tak siap-siap memakai baju Melayu.

Malah ayahnya juga telah menunggu di ruang tamu. Alif bosan betul bab menunggu orang lama-lama ini.

Dia akhirnya memutuskan untuk mengintai perbuatan Aqil dari muka pintu.

Alangkah menggelegaknya hati Alif tatkala melihat adik kembarnya itu sedang terbaring di atas katil bersama  kopiah di kepalanya.

Dengan geramnya Alif menolak pintu bilik Aqil dan menarik kakinya. Terkejut Aqil dengan tindakan luar jangkaan abangnya itu.

"Ampun, abang..." Aqil terus berlari keluar dari bilik ke anjung rumah dengan pantas.

Asrul juga kaget dengan anaknya seorang itu.

"Haih, lajunya lari. Kamu buat apa pada adik kamu itu, Alif?" soal Asrul. Pintu rumah ditutup rapat. Mereka berdua mula berjalan kaki ke masjid.

Alif menayangkan senyuman jahat.

"Alif tarik kaki dia. Ada pula pergi tidur. Dahlah bangun lewat!" Alif mengeluh nafas berat.

"Kamu dah boleh menggantikan ayahlah selepas ini." Asrul menepuk belakang anaknya perlahan.

"Apa pula ayah ini? Alif mana boleh gantikan ayah," ujar Alif.

Asrul menggeleng kecil sambil tersenyum.

"Ayah, abang, cepatlah jalan... Dah nak azan ini." Aqil menayang wajah bersemangat.

"Kau diamlah. Dah lambat, lepas itu nak berlagak macam dia yang awal pula." Alif membuat muka menyampah.

Asrul menenangkan Alif.

"Aqil, pandang depan saja. Kamu itu dahlah buat salah," kata Asrul. Aqil mencebik. Merajuk.

"Baik, ayah." Aqil meneruskan langkahnya. Wajah Alif dipandang sekilas.

Semasa di masjid, Alif hanya buat tak tahu dengan pandangan jemaah lain. Masing-masing memandangnya atas bawah. Alif mengeluh kecil.

Dia menunduk ke bawah.

Aqil menepuk lengannya sedikit. Alif mengangkat muka.

"Kenapa?" soal Aqil secara berbisik.

Alif menggelengkan kepalanya. Senyuman diukir di bibirnya.

Selepas iqamat, imam mula mendirikan solat subuh. Alif ingin memenuhkan ruang saf pertama yang kosong di hujungnya. Namun lain pula yang jadi, apabila seorang lelaki berusia separuh abad menolaknya ke belakang.

Alif tersentak saat itu. Aqil cepat-cepat mendapatkan abangnya.

Alif mengatur nafasnya yang turun naik. Dia mengurut dada untuk menghilangkan rasa marah. Istighfar diucapkan perlahan.

Kemudian barulah dia mengangkat takbir dan meneruskan solat sebagai makmum. Begitu juga dengan Aqil.

Usai salam kedua, Alif beristighfar sebanyak tiga kali lalu membaca ayatul kursi dan membaca doa. Lantaran itu, dia terus keluar dari pintu masjid tanpa bersalaman dengan jemaah lain.

Dia bengang dengan sikap mereka yang tidak habis-habis merendah-rendahkannya.

___

0709 pagi

Alif kelihatan segak berbaju kemeja lengan panjang berwarna hitam yang dilipat. Kedua belah tangannya memegang beberapa kotak hadiah.

Ada yang kecil dan ada juga yang besar.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now