BAB 28 | 831?

129 17 26
                                    

Kek coklat yang bertemakan kapal terbang memeriahkan lagi suasana meja makan tersebut.

Alif yang baru selesai mengajar Iqmal dan kawan-kawannya hairan dengan kebisingan di ruang tamu rumah.

Sampai saja di situ, Naim menarik baju Alif untuk mengikuti langkahnya. Kelihatan Danish sedang memegang pisau pemotong kek sambil terlompat keriangan.

"Hari jadi budak manja ini rupanya... Patutlah semalam beria-ria tak nak beritahu abang. Berahsia bagai," kata Alif. Ubun-ubun anak kecil itu diusap lembut.

"Pandai kan Danish simpan rahsia?" Danish mendongak tinggi semata-mata untuk memandang wajah Alif.

"Pandai... Potong kek cepat. Abang ada kejutan ini." Alif duduk di sebelahnya.

"Ya ke? Yay!" Gembira tak terkata Danish dibuatnya.

Bacaan doa diketuai oleh Syahid sebelum acara pemotongan kek tanpa nyanyian dan sebarang lagu.

Roman wajah Danish tersangatlah manis pada ketika itu. Alif tersenyum lebar.

Kalau dah setiap hari menangis, mimpi ngeri dan ketakutan sehingga seluruh tubuh bergetar hebat, mahu Alif tidak risau. Setiap hari dia dengar aduan daripada Danish, dia lihat wajah sugul si kecil itu.

Jadi, apabila Danish terlihat begitu senang, barulah lapang hati Alif.

"Danish, pandang sini." Senyuman nakal meniti di bibirnya.

"Kenap-..." Tepat jari telunjuk Alif yang mempunyai krim coklat itu terkena di pipinya.

"Kejutan!" Alif mendepakan tangannya dan tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan gigi.

Kesemua mereka tertawa memandang wajah Danish yang sedang mencebik bibir.

"Abang... Ishh... Siaplah." Danish mengepal penumbuk kecilnya. Alif melarikan diri ke belakang Syahid.

"Uuu... Takutnya," ujar Alif.

"Tolong abang, Syahid. Tolong... Ada raksasa 'ganas'." Syahid membantu Alif sebagai tembok pertahanan.

"Ohh, Abang Syahid pun degil ya..." Danish mengerutkan dahinya. Dia fikir mukanya akan bertukar menjadi garang, tapi sebenarnya tidak.

Alif dan Syahid semakin galak ketawa.

"Tak nak kawan. Hmph!" Dia memeluk tubuh. Diambilnya sepotong kek yang dihulur oleh Kamariah tadi lalu duduk di atas karpet.

"Alahai, merajuk pula dia," kata Alif. Dia bersila di sebelah Danish. Pipi anak itu dicuit perlahan.

"Tak nak kawan." Danish tak mahu menatap Alif.

"Maafkan patik wahai tuan putera..." Alif mencubit sedikit kek coklat milik Danish dan memasukkan ke dalam mulutnya.

"Abah... Abang Alif asyik kacau Danish saja. Marah dia," adunya. Bibir dimuncungkan tanda protes.

"Abang Alif gurau saja itu. Kan?" Firdaus memandang Alif.

"Haah... Gurau," balas Alif. Senyuman teruja ditayangkan.

Danish hanya menyambung kembali suapannya yang terhenti tadi. Malas mahu melayan Alif. Alif sedaya-upaya mencari perhatian Danish dan memujuk anak kecil itu.

Lain pula jadinya apabila dia diberi jelingan tajam oleh Danish. Alif tertawa halus. Terhibur dengan gelagat Danish.

___

Telefonnya dicampak ke atas katil. Air matanya gugur tanpa henti.

Setitis demi setitis air mata yang keluar itu melambangkan kebenciannya terhadap Rizal.

Lelaki itu tidak habis-habis menganggunya sejak siang tadi. Mesej yang dihantar semuanya bertujuan untuk menakutkan Naura.

"Awak tak boleh lari daripada saya lagi, tahu? Tunggu esok. Saya ada kejutan!"

Mesej itu hanya dibaca sekali lalu. Naura ingin memaklumkan apa yang berlaku siang tadi kepada mama dan papanya, walakin mereka langsung tidak mendengar apa yang dia ingin sampaikan.

Mereka hanya sibuk dengan kerja masing-masing. Nak juga Naura beritahu pada kakak dan abangnya, tapi dia pasti, mereka berdua tak akan pernah percaya dengan kata-katanya.

Telefonnya berbunyi tanda terdapat notifikasi yang masuk.

"Tak payah ganggu aku!" Naura menangis sendirian.

Masuk lagi sebuah mesej daripada Rizal. Naura terduduk di lantai.

"Ya Allah... Jauhkan dia daripada aku, ya Allah. Dia bukan yang terbaik untuk hambamu ini. Bantulah aku... Ya Allah..." Tangisannya melebat di situ.

Tiada siapa lagi yang dia boleh harapkan melainkan Allah.

Insan yang sentiasa memberinya nasihat dan pandangan sudah pergi meninggalkannya asbab keburukan Rizal juga.

Naura bersandar pada sisi katilnya. Mukanya merah akibat terlalu lama menangis.

Sebuah memori menyinggah kotak fikirannya.

___

"831? Apa maksudnya?" Soalan Naura dibalas dengan gelakan halus daripada Alif.

"Awak ini daripada tadi asyik ketawakan saya. Tak bosan ke?" Naura yang sedang memadam papan putih itu memandang sekilas ke arah Alif.

"Maksudnya, I... Love... You!" Alif menutup wajahnya menggunakan buku teks.

"Sejak bila awak reti pakai nombor kod ini?" soal Naura. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

Dia tahu, Alif bukan sejenis lelaki yang ambil tahu tentang perkara sebegini. Kerana itu dia hairan.

"Google kan ada," jawab Alif. Dia tersengih malu.

"Kalau macam itu... 3812!" Naura kembali ke tempat duduknya semula tatkala beberapa orang rakan sekelasnya masuk.

Alif menyimpul senyuman nipis. Pun begitu, lesung pipitnya tetap kelihatan dan menambahkan lagi kemanisan wajahnya.

Ketika sesi pembelajaran subjek Kimia berlangsung, Naura sempat curi-curi pandang ke arah Alif yang sedang fokus menulis kata-kata kunci yang diberikan oleh cikgu mereka.

"Patutlah semua A. Rajin," bisik Naura.

"Naura? Kamu termenung apa itu? Salin soalan dekat depan ini..." Cikgu tersebut menegurnya.

"M-Maaf, cikgu." Naura cepat-cepat menyalin soalan yang diberikan itu.

___

Dia tertawa sambil menangis.

"Kenapalah senyuman dia manis sangat? Daripada dulu sampai sekarang sama saja," ujar Naura. Air mata diseka laju.

Dia berjalan lemah ke bilik air dan mengambil wuduk. Solat isyak dilaksanakan terlebih dahulu. Doa dipanjatkan kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan.

Dia meluahkan segala-galanya di dalam doa. Air matanya mengalir dengan deras.

"Ya Allah, jika Rizal bukan jodoh yang terbaik untukku, maka tunjukkanlah kepadaku jalan penyelesaian agar aku dapat menolaknya daripada menjadi suamiku."

Dia mengakhiri doanya dengan selawat ke atas Rasulullah SAW. Seterusnya, telekung dibuka dan dia dengan lemah merebahkan badan ke atas katil. Bantal diambil lalu dipeluk erat. Zikir pendek dibaca, kemudian fikirannya melayang diulit mimpi.

"Kemudian setelah kamu berdukacita, Allah menurunkan kepada kamu keamanan (berupa) kantuk yang meliputi segolongan dari pada kamu, sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri." (QS. Ali Imran: 154)

Dia dah penat menangis. Dia juga dah meluahkan segalanya kepada Allah. Kesudahannya, dia ingin berehat dari memikirkan masalah yang dilaluinya.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now