BAB 23 | Ibu dan Ayah

131 20 49
                                    

Syamila sedang melipat kain di ruang tamu manakala Asrul pula baru sahaja pulang dari masjid bersama Alif setelah menunaikan solat isyak.

"Ibu, biar Alif yang lipat semua ini. Ibu pergilah rehat." Alif duduk bersila di bawah sambil tangannya ralit melipat baju-t.

"Tak apalah. Biar ibu yang buat. Kamu kan baru saja sampai, jadi kamulah yang rehat dulu," balas Syamila.

"Ayah, tengok ibu ini, tak nak rehat." Alif mengadu pada ayahnya.

"Betul kata Alif itu... Kamu daripada tadi buat kerja rumah. Duduklah dulu, rehatkan diri. Kita ini dah tua, biar Alif yang muda ini pula buat kerja," kata Asrul. Alif mengangguk laju.

"Yalah, yalah... Ibu nak ke dapur dulu." Syamila bangun dan ingin menuju ke ruangan dapur.

"Ibu nak buat apa pula dekat dapur itu?" soal Alif, lagi.

"Minum air, wahai anakku Muhammad Alif Zahari..." jawab Syamila selamba sambil tersenyum kecil melihat reaksi Alif yang tercengang.

Ayahnya pula hanya menggelakkan Alif.

"Kan dah terkena." Makin galak pula Asrul ketawakan anaknya itu.

Alif tersengih-sengih.

"Menyesal pula pergi tanya," bisiknya perlahan.

Sedang mereka bersembang-sembang di ruang tamu, tiba-tiba ayahnya mengajukan soalan kepada Alif.

"Kamu selama ini pergi mana, Alif?" Soalan itu membuatkan Alif senyap seketika. Dia menarik nafas dalam sebelum menjawab pertanyaan tersebut.

"Alif kerja dekat KL." Ringkas saja balasannya.

"Sampai ke sana kamu cari kerja?" Ibunya menunjukkan riak terkejut. Alif tersenyum sendiri.

"Habis, kamu kerja apa dekat sana sampai tak ingat nak balik rumah?" Asrul menyoal lagi. Kali ini dengan nada serius.

"Panjang ceritanya ayah, ibu." Alif mula mengelak dari menjawab soalan itu.

"Pendek kan." Serentak balasan daripada ibu dan ayahnya.

"Baiklah. Mula-mula, Alif kerja dekat restoran. Tapi, tak sampai seminggu pun kerja dekat situ, Alif kena buang. Alasannya sebab Alif lambat ambil order. Yalah, waktu itu, Alif dah tak tahan nak ke tandas sebenarnya. Nak buat macam mana..." Dia mengeluh kecil. Terimbau kembali saat-saat dia diberhentikan oleh mantan majikannya.

"Lepas itu, Alif kerja dengan seorang pak cik ini. Pak Cik Wahab namanya. Alif tolong dia jual ikan di pasar. Seronok sangat. Pak cik itu baik. Tapi, Alif kerja situ dua bulan saja. Segan juga, sebab Alif tumpang duduk rumah dia. Maklumlah, susah nak cari rumah sewa dekat sana. Jadi, Alif usaha lagi untuk cari kerja dekat sekitar KL. Akhirnya dapat juga walaupun dekat kedai runcit saja. Lepas sebulan kerja sana, Alif memang dah rancang nak ambil cuti, lepas itu balik sini. Tapi hampa, Alif tak dapat cuti sebab kedai runcit itu terbakar. Jadi, macam-macam masalah kena hadap sampai Alif terpaksa cari kerja lain." Alif terbatuk kecil.

"Sekarang ini, Alif kerja dekat rumah anak-anak yatim. Jadi macam cikgu tuisyenlah kiranya. Ajar anak-anak dekat situ buat kerja sekolah, latihan dan ulang kaji pelajaran. Paling mencabar sekali, bila Alif kena ajar pelajar-pelajar tingkatan lima. Tapi... Alif seronok kerja dekat situ. Banyak sangat perkara yang dapat dipelajari. Rindu pula pada budak-budak comel dekat sana..." Alif tersenyum nipis.

"Wah, macam-macam kerja kamu buat ya! Tapi, janganlah sampai kamu lupa balik sini. Ayah tahu, kamu masih marah pada Rizal sebab sebarkan fitnah itu. Cuma, kami ini risaukan keselamatan kamu." Nada ayahnya bertukar sedih.

Alif terus menundukkan pandangan. Rambutnya yang sedikit panjang itu turun menutupi sebahagian wajah hingga air mata yang mengalir deras dari tubir mata tidak kelihatan.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now