BAB 24 | Pencuri

133 19 59
                                    

Selepas solat subuh, Alif terus ke warung untuk membeli makanan sarapan. Banyak mata yang memandangnya ketika disana. Tapi dia hanya mengabaikan sahaja.

"Ibu, ini Alif ada beli kuih sikit. Tak payahlah masak untuk sarapan. Nanti Alif buatkan air sekali," ujar Alif, tenang.

"Yalah. Ini, masa kamu beli kuih, tak ada ke orang yang tanya soalan bukan-bukan?" Soalan ibunya dibalas dengan senyuman manis.

___

"Eh, Alif! Dah lama tak jumpa. Kamu pergi mana selama ini?" soal seorang pemuda kepadanya. Alif mengukir senyum.

"KL, cik. Saya kerja." jawab Alif.

"Oh, bila balik sini?" soalnya lagi.

"Dua hari lepas..." balas Alif dengan baik.

"Ayah kau mana Alif? Dah berapa lama kami tak nampak dia datang warung," soal seorang pemuda lain.

"Ayah saya memang jarang lepak dekat warung. Cik pun tahu kan..." jawabnya.

"Oh... Tak apalah kalau macam itu." Pemuda itu tersenyum nipis.

Semua pelanggan di warung itu mula berkongsi cerita masing-masing. Alif yang malas mengambil peduli terus berjalan keluar dari warung tersebut.

Tetapi, belum sempat keluar dari situ, telinganya menangkap butir bicara yang keluar dari mulut seorang lelaki berusia separuh abad.

"Entah-entah, budak Alif itu yang pecah rumah Hamid. Muka budak itu bukan boleh percaya sangat. Silap haribulan, dia kerja dengan kongsi gelap dekat KL sana." Lelaki bernama Mahmud itu menyerkap jarang.

Alif yang mendengarnya terus berjalan ke meja lelaki itu lalu mengukir senyuman sinis.

"Pak cik, sudah-sudahlah menuduh orang. Saya pergi KL, cari kerja halal, tahu tak? Saya bukan tak tahu hukum agama sampai nak mencuri, pecah rumah orang apa semua. Pak cik kena sedar, hidup pak cik, ibarat rumah kata pergi, kubur kata mari. Sepatutnya, pak cik lebihkan amal ibadah, bukan sibuk mengumpat orang lain. Saya sebenarnya tak suka berkasar dengan orang tua. Tapi disebabkan mulut pak cik, saya terpaksa. Saya minta maaf, ya. Terpulanglah pak cik nak maafkan ke tidak. Saya tak rugi satu sen pun. Terima kasih. Assalamualaikum." Puas hati Alif saat itu tatkala melihat wajah terkedu lelaki tadi.

"Baru cakap sikit, sentap! Habis aku ini tak sakit hati ke dengar tuduhan palsu kau?!" desis hatinya. Geram sungguh Alif ketika itu.

Pantang melihat dirinya senang, ada saja bala seperti ini mendatang untuk menambah tekanan di kepalanya.

___

Dia tergelak saat perkara tadi terimbau di minda.

"Kamu ini dah kenapa? Ibu ada buat lawak ke sampai kamu ketawa tiba-tiba ini?" Lengan Alif dicubit sedikit.

"Aduh, sakit ibu! Tak ada. Ibu tak buat lawak. Alif ketawa sebab hal dekat warung tadi," jawab Alif sambil mengusap lengannya yang dicubit itu.

"Hal apa?" Syamila memandangnya denga rasa ingin tahu.

"Ada orang tanya, Alif kerja dekat mana. Itu yang Alif gelak. Tak sangka, ada juga orang yang nak bertegur sapa dengan Alif," katanya. Syamila hanya meng'oh'kan sahaja. Alif menyambung cerita sambil tangannya pantas mencapai jag air.

Dia duduk di kerusi meja makan dan mendengar cerita yang disampaikan oleh anaknya itu.

Malam itu, satu kampung digemparkan dengan kes pecah rumah di rumah Pak Zaki. Disebabkan ia berlaku berdekatan dengan kawasan rumahnya, Asrul turut berada di tempat kejadian. Alif pula tidak mengikutinya kerana masih belum pulang dari rumah Rahman.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now