9 Oktober.
Pagi itu mereka kecoh sekeluarga kerana Alif tiba-tiba menghilang pada pukul 7.10 pagi. Syamila mula terfikir bahawa Alif pergi meninggalkan mereka seperti yang telah berlaku 7 bulan yang lepas.
"Kamu cubalah telefon abang semula. Mana tahu dia jawab." Hati Syamila sangat resah pada ketika itu.
"Dah ibu... Tapi tak berangkat," balas Aqil. Dia juga tidak dapat menahan risau.
Tetapi Asrul tidak seperti mereka. Dia hanya tenang di anjung rumah sambil mencicip segelas teh tarik.
Syamila yang merasakan bahawa suaminya sedang menyorokkan sesuatu daripada pengetahuannya terus bertanya tentang Alif.
"Abang tak tahu, Mila. Kejap lagi dia baliklah itu... Kamu tak perlu risau," ujar Asrul selamba.
Dia tahu sebenarnya Alif keluar ke bandar untuk mencari hadiah untuk Aqil. Tetapi dia sengaja menyembunyikannya daripada pengetahuan mereka berdua.
"Yalah..." Syamila akur.
"Aqil, kamu nak beli kek apa?" soalnya kepada Aqil yang sedang baring di atas sofa.
Kepenatan akibat Alif.
"Kenapa Aqil pula kena beli? Ibu dengan ayahlah yang belanja..." jawab Aqil. Kening sebelahnya diangkat sebanyak dua kali.
"Sekali-sekala belanja abang kamu, Aqil. Kamu tak ingat dia cakap apa semalam?" Syamila menepuk bahu Aqil.
"Ya. Kita dahlah lama tak jumpa. Aku pun, dah lama tak sambut hari jadi sendiri. Lainlah kau, setiap tahun sambut dengan mak ngah dan pak ngah. Aku tak suka minta banyak-banyak, takut menyusahkan. Cukuplah sekadar dapat ambil gambar sama-sama."
Serta-merta ayat abangnya itu terpapar di skrin minda. Timbul perasaan sebak di hatinya.
Alif banyak membelanjakan duit untuknya. Tak mungkinlah sebiji kek pun dia tidak boleh beli untuk Alif.
"Ayah pinjam kereta. Aqil nak pergi beli kek." Aqil mengukir senyuman manis.
"Tak nak ajak ayah sekali?" Asrul memandang wajah anaknya dengan gelakan halus di bibir.
"Jom!" kata Aqil.
"Hati-hati..." pesan Syamila pada dua beranak itu.
Setelah bayangan kereta mereka tiada, Syamila mengunci pintu rumahnya lalu kembali ke bilik. Almari pakaian dibuka.
Tiga pasang baju Melayu cekak musang berwarna biru lembut diambil dan diletakkan di atas katil. Sepasang baju kurung moden berwarna yang sama bercorakkan bunga-bunga halus juga diletakkan di atas katil.
Dia bertindak menggosok kesemua pakaian tersebut agar boleh dipakai semasa menyambut hari jadi kedua anak kembarnya itu.
"Mesti Alif dengan Aqil segak bila pakai baju ini." Syamila berbisik di dalam hati.
Usai menggosok baju-baju tersebut, dia menggantungkannya di bilik masing-masing.
Tak sampai beberapa minit, kedengaran suara Alif memberi salam di luar. Segera Syamila membuka pintu rumah untuk anaknya.
"Alif, kamu pergi mana? Risau ibu," jelas ibunya. Alif menghadiahkan sebuah senyuman.
"Pergi bandar sekejap. Beli barang." Plastik berwarna putih itu ditunjukkan kepada ibunya. Syamila mengangguk tanda faham.
"Alif masuk bilik kejap ya. Lepas itu, Alif tolong ibu kemas rumah," ujar Alif, lembut.
"Yalah." Syamila kembali ke dapur untuk menyediakan hidangan makan tengah hari.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...