Pihak penyiasat kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memulakan siasatan kes kebakaran yang berlaku di kedai runcit Irfan.
Mereka mendapat beberapa bukti kukuh yang menyokong keputusan keseluruhan kes.
Dua tong minyak diesel kosong dijumpai oleh pihak bomba di dalam longkang kedai. Terdapat juga pemetik api dan kotak mancis dijumpai di kawasan hujung rak yang telah hangus terbakar.
Pihak bomba juga mengambil pemetik api tersebut untuk dijadikan bahan ujian DNA. Alif hanya duduk memerhatikan setiap gerak-geri pihak penyiasat tersebut. Irfan pula sedang berbual dengan salah seorang pegawai bomba.
"Kami akan memaklumkan apa-apa keputusan berkenaan siasatan kes ini. Saya harap Encik Irfan bertabah dengan segala ujian ini. Insya-Allah pasti ada hikmah di sebaliknya," ujar PBK1 Hadi pada Irfan. Senyuman manis terbit di bibirnya.
"Baik, tuan. Terima kasih." Irfan membalas senyuman pegawai itu. Tangan dihulur kepada pegawai itu. PBK1 Hadi menyambut salamnya.
___
Irfan duduk di kerusi yang berada di sebelah Alif. Dia menegur Alif yang sedang termenung jauh.
"Jauh termenung... Fikir apa itu, Alif?" soal Irfan dengan senyuman kecil. Alif yang tersedar dari lamunan terus menghadiahkan sebuah senyuman kepada Irfan.
"Tak adalah, bos. Saya cuma fikir tentang kes kebakaran itu saja. Saya rasa, kes ini ada unsur sabotaj. Ataupun, disebabkan dendam." Alif berteka-teki.
"Saya pun rasa macam itu juga. Tapi apa-apa pun, kita tunggu keputusan pihak bomba. Buat masa ini, awak boleh tinggal di rumah saya dulu," kata Irfan dengan senyuman ikhlas.
"Betul ke, bos?" Alif menyoal.
"Betul... Takkan saya nak menipu pula," balas Irfan beserta tawaan halus.
"Terima kasih, bos." Alif menggaru kepalanya walaupun tidak gatal.
Dia mengambil beg galasnya lalu menaiki motosikal. Irfan sudah pun bergerak dengan lebih awal, jadi Alif mengambil keputusan untuk mengikuti kereta Irfan dari belakang supaya tidak sesat.
Sesampainya dia di hadapan rumah Irfan, dia terkejut. Alangkah besarnya rumahnya majikannya itu.
Dengan sebuah rumah banglo dua tingkat yang mewah. Mempunyai halaman dan tempat parkir yang sederhana besar.
Alif seakan-akan tidak percaya melihat perkara itu. Mana tidaknya, Irfan adalah seorang yang berperwatakan sangat sederhana. Tapi mempunyai kehidupan yang penuh kemewahan seperti ini.
"Alif, jemputlah masuk. Panas dekat luar itu," tegur Irfan saat Alif memerhatikan keadaan sekeliling.
"Baik." Alif mengikuti langkah Irfan masuk ke dalam rumah besar itu. Irfan membawa Alif ke sebuah bilik tetamu di sebelah bilik bacaan rumah itu.
"Ini bilik kamu. Harap kamu selesa, ya?" Senyuman ikhlas dilemparkan ke arah Alif. Alif tersenyum lebar.
Alif pun meminta izin masuk ke dalam bilik itu. Dia meletakkan beg galasnya di atas katil lalu terus masuk ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Usai membersihkan diri, Alif keluar dari bilik itu dan turun ke tingkat bawah. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sedang gembira bermain dengan mainannya. Alif pun mendekati kanak-kanak itu dan menegurnya.
"Hai..." sapa Alif dengan nada riang. Terpamer senyuman manis di bibirnya.
"Hai, abang! Nama saya Irwan. Umur saya 8 tahun! Nama abang?" soal kanak-kanak bernama Irwan itu dengan ceria. Alif tertawa kecil melihat gelagat Irwan.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...