Demamnya masih belum ada tanda-tanda ingin kebah. Alif mengeluh kecil. Danish yang sedang tidur di sebelahnya dipandang kosong.
Tiba-tiba, kakinya berasa kebas. Tubuhnya juga sukar untuk diseimbangkan. Kepalanya dipegang dan dipicit-picit.
Sakit. Pandangannya mula kabur.
Kesudahannya, Alif rebah di atas lantai selepas itu.
___
Langsir bilik dibuka oleh Danish perlahan-lahan. Dia menuju ke arah Alif yang sedang terbaring lemah.
"Abang Alif. Bangun... Kenapa tidur dekat bawah ini?" Digoyang sedikit tubuh Alif.
"Abang Alif..." panggil Danish lagi.
Tangan Alif mula bergerak. Matanya terbuka sedikit. Sakit kepalanya masih bersisa. Mujurlah, kakinya tidak kebas seperti malam tadi.
Saat wajah Danish menerpa indera penglihatannya, Alif bingkas bangun dari situ. Roman wajah Alif kelihatan cemas sehinggakan ucapan syukur juga terlupa untuk dititipkan.
"Danish? Dah pukul berapa ini?" soal Alif.
"Pukul 10 lebih," jawab Danish, ringkas.
"Allahu Akbar... Abang tak solat subuh lagi. Astaghfirullahalazim." Alif beristighfar panjang ketika itu.
Cepat-cepat dia mencapai tuala mandi dan sehelai baju-t lalu dia masuk ke dalam bilik air.
Danish tertawa melihat tingkah Alif yang tergesa-gesa itu.
Selesai mandi, Alif lantas mengqada' solat subuh sekaligus menunaikan solat sunat dhuha.
"Abang... Kenapa abang solat dua kali? Abang salah baca ke?" soal Danish setelah melihat Alif selesai membaca doa.
Senyuman ditayangkan oleh Alif.
"Mana ada. Abang buat solat sunat dhuha lepas qada' solat subuh tadi," ujar Alif.
"Ohh..." Terlopong mulut Danish mendengarnya.
"Danish dah sarapan?" Alif mencuit pipi Danish.
"Dah. Jom, Danish teman abang makan! Jom, jom, jom!" Si kecil itu membawa Alif ke dapur dan menemaninya bersarapan pagi.
Terasa sebu hati Alif ketika itu. Selamat air matanya tidak menitis di situ. Jika tidak, pasti macam-macam soalan dikemukakan oleh Danish padanya.
"Kan bagus kalau Danish dapat ayah macam abang..." Perlahan tapi cukup ditangkap oleh Alif setiap kata-katanya.
Suapannya terhenti setakat itu.
"Danish... Okey tak ini?" Iris coklat Alif bertaut dengan iris hitam Danish.
Si kecil itu menggeleng.
"Cuba cerita pada abang masalah Danish," kata Alif dengan tenang.
"Danish tak pernah rasa gembira macam ini dulu. Abah tak pernah layan Danish macam ini. Abah asyik marah dan pukul Danish saja." Empangan matanya mula pecah.
"Bila Danish duduk sini, abang selalu layan Danish baik-baik. Abang bagi Danish nasihat, tolong ajar Danish, sabar dengan Danish, macam-macam lagi lah." Kata-kata Danish menyebabkan Alif teringat pada adiknya.
Cara bercakap dan cara mengadu mereka sama.
Sangat... Sama.
Alif bangkit dari kerusi yang didudukinya, lalu duduk pula di sebelah kiri Danish. Lantas si kecil itu memeluknya erat. Tangisannya melebat dan tidak ada tanda-tanda untuk berhenti.
Alif memujuknya supaya tidak bersedih.
"Danish benci mama dan abah." Sebaris ayat dilontarkan oleh si kecil itu dengan penuh kebencian di dada. Alif tersentak apabila ayat itu menerpa gegendang telinganya.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...