BAB 20 | Demam

165 22 48
                                    

Papan putih besar itu penuh dengan contengan nota-nota ringkas Biologi. Siapa lagi yang buat kalau bukan Alif? Demi mengajar calon-calon SPM, dia sanggup memerah otak untuk mengingati semula apa yang pernah dipelajarinya semasa di sekolah dahulu.

"Kita masuk pula kepada subtopik 10.2, sistem peredaran darah manusia, Biologi tingkatan empat. Sedia?" Soalan Alif dibalas dengan anggukan daripada pelajarnya.

"Bagus. Baiklah, abang ada soalan. Jika kamu semua masih ingat, apakan tiga komponen utama dalam sistem peredaran darah manusia? Ha, siapa nak jawab, angkat tangan tinggi-tinggi!" Teruja sungguh nada suara Alif.

"Darah, jantung dan..." Hani menjawab tetapi ayatnya tergantung.

"Salur darah!" sambung Fauzi.

"Ya, tepat sekali. Soalan kedua. Kalau dah tahu apa komponennya, apa fungsi-fungsinya pula?" soal Alif lagi. Bibirnya mengukir senyuman nakal.

Senyap ruang belajar itu dibuatnya.
Ada yang sibuk mencari nota-nota lama. Ada juga yang mengetuk-ngetuk kepalanya, berharap agar ingatannya kembali semula. Yang paling hebat sekali, ada yang duduk tak buat apa-apa. Pasrah saja kerja mereka.

Alif menggeleng kepala sedikit.

"Kalau kamu tak ingat, macam mana nak jawab SPM? Kebanyakan soalan SPM diambil dari tajuk-tajuk yang dipelajari di tingkatan empat. Kamu perlu banyak ulang kaji lagi ini..." kata Alif.

"Kami risau lah, abang Alif." Jihan mengeluh perlahan. Pen yang dipegangnya diketuk-ketuk pada kertas kosong. Tersenyum kecil Alif mendengarnya.

"Tak ada apa nak dirisaukan. Dulu waktu dah nak SPM, abang relaks saja. Ulang kaji, lepas itu rehat secukupnya. Jangan stres," ujar Alif. Jihan mengangguk perlahan.

"Baiklah, berbalik pada tajuk kita. Abang akan terangkan secara penuh tentang subtopik ini. Dengar dan catat perkara-perkara penting." Alif pun memulakan penerangannya selepas itu.

Daripada komponen peredaran darah sehinggalah struktur dan fungsi jantung.

Sempat juga dia menyoal beberapa orang pelajar dengan soalan-soalan spontan.

"Fungsi vena koronari apa, Khayra?" Laju Alif menyoal.

"Haa... Hmmm... Angkut darah terdeoksigen dari tisu jantung?" jawab Khayra, kurang yakin.

"Ya, tepat sekali. Bagus. Ramai yang dapat jawab soalan dengan baik dan jelas. Jadi, abang rasa kita dah boleh tamatkan kelas. Teruskan usaha kamu. Buat latihan dan ulang kaji pelajaran. Insya-Allah, kamu pasti berjaya." Alif memberi kata-kata perangsang semangat dalam diri setiap pelajar.

Setelah tamat sesi pembelajaran, kesemua mereka pun melakukan kerja masing-masing.

Alif berjalan terus ke ruang permainan pula. Dia ingin mengacau kanak-kanak yang asyik bermain di situ.

Alif menutup mata Danish yang sedang memasang Lego. Terpinga-pinga si kecil itu dibuatnya.

"Siapa ini? Kenapa tutup mata Danish?" Dia cuba mengalihkan tangan Alif namun tidak berjaya.

"Ish, janganlah kacau Danish... Ini mesti Abang Aiman yang buat," tekanya. Alif tertawa kecil.

Tangan besar macam ini takkan Aiman pula?

"Haha!" Akhirnya, tawaan Alif terhambur juga. Dia mengalihkan tangannya. Danish mencebik.

"Apa lah abang ini. Tak baik tau buat macam itu," ujar Danish.

"Gurau saja... Janganlah marah, nanti gigi hilang," seloroh Alif.

Hampir semua kanak-kanak yang dengar selorohnya tergelak besar.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now