Beberapa pakaian dimasukkan ke dalam beg. Dia ingin pulang ke Kuala Lumpur semula. Rasa rindu pada anak-anak kecil itu mula menyelubungi diri.
Ibu dan ayahnya meminta dia untuk tinggal di situ beberapa hari lagi. Tetapi Alif terpaksa menolak kerana lusa anak-anak As-Soleh akan bersekolah semula.
Sepapan ubat tahan sakit dimasukkan ke dalam beg silangnya.
"Apa itu, Alif?" soal Asrul yang tiba-tiba muncul di muka pintu.
"Oh, Panadol ayah," jawab Alif. Asrul mengangguk perlahan.
"Nanti bawa motor itu hati-hati. Jangan bawa laju sangat. Bahaya," pesannya.
"Baik, ayah." Alif menguntum senyum.
Dia bersalaman dengan ibunya di luar. Sebuah ciuman dihadiahkan di pipi ratu hatinya itu dengan lembut.
"Alif akan balik sini lagi, ibu. Insya-Allah," ujarnya.
"Hati-hati, ya Alif. Nanti kalau dah sampai beritahu ibu," kata Syamila kepada Alif.
Sejujurnya, dia tidak mahu Alif pergi ke sana semula. Kalau ikutkan hati, biarlah Alif cari kerja biasa-biasa di sini pun, dia cuma ingin Alif berada di sisinya sentiasa.
Namun, dia sedar, Alif telahpun meningkat dewasa dan dia tidak ingin menjadi seorang ibu yang mengongkong kehidupan anaknya sendiri.
Biarlah Alif mencari rezeki walau dimana pun, asalkan rezeki itu halal dan memberikan kebaikan kepada hidup Alif.
"Ibu, jangan risau sangat. Alif okey. Nanti apa-apa Alif telefon ibu. Janji," kata Alif sambil tangannya tidak lepas memegang tangan ibunya.
"Yalah." Syamila membalasnya.
"Apa-apapun, ibu dengan ayah kena berhati-hati juga. Ayah, jangan buat kerja berat selepas ini. Kalau tak sihat ke apa, beritahu Alif. Okey?" Dia bersalaman dan memeluk tubuh ayahnya erat.
"Alif, solat jangan sesekali tinggalkan. Jangan bergaul dengan orang yang tak baik dekat sana. Buat baik dengan orang. Ingat itu," pesan Asrul lagi.
Alif menyengguk tanda faham.
"Alif dah nak gerak ini, ayah, ibu. Assalamualaikum," ucap Alif.
"Waalaikumussalam wbt." Asrul dan Syamila menjawab serentak.
Alif pun menghidupkan enjin motosikalnya. Sebuah lambaian diberikan lalu dia bergerak pergi dari situ.
___
Kanak-kanak sedang bermain sesama mereka kecuali Naim yang sedang mengajarkan Danish suku kata.
"Abang Naim." Danish menyengetkan kepalanya memandang ke arah Naim yang sedang baring secara mengiring di atas karpet.
"Ya?" balas Naim.
"Bila Abang Alif nak balik? Danish rindulah..." soal Danish.
"Entah. Abang pun tak tahu. Lusa dah mula sekolah. Mungkin esok rasanya," jawab Naim dengan segaris senyuman manis.
Danish memuncungkan bibirnya. Sedih. Naim kembali ke posisi duduk lalu mengusap belakang tubuh Danish dengan lembut.
1354 petang
"Assalamualaikum..." Kedengaran suara seseorang mengucapkan salam.
Firdaus menjawab salam tersebut lalu membuka pintu rumah. Senyuman manis terukir di bibirnya.
"Alhamdulillah... Alif. Sampai juga kamu akhirnya. Masuk." Firdaus menjemputnya masuk.
"Sihat, pak cik?" Alif bersalaman dengan Firdaus.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...