Telefon diletakkan di atas meja sisi katil. Alif baru sahaja tamat menghubungi ibunya.
Macam-macam perkara dipesan oleh Syamila kepada anaknya tadi. Nasib baiklah Alif mudah mengingat, jadi tak adalah dia terlupa apa yang dipesan ibunya itu.
Dia membaringkan tubuhnya ke atas katil lalu membuka lampu tidur. Buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck diambil. Dia membuka muka surat yang ditandai dengan penanda buku dan meneruskan bacaannya.
Dia lupa Danish berada di sebelahnya. Si kecil itu hanya memerhatikan setiap gerak-geri Alif sejak tadi tanpa membuat sebarang bunyi pun.
Sedang Alif fokus membaca, dia tergerak hati untuk pandang ke kanan. Wajah Danish menerpa pandangan. Terkejut Alif dibuatnya.
"Astaghfirullahal'azim. Danish... Bila masa pula Danish masuk bilik ini? Abang tak perasan pun." Alif mengurut dadanya.
Nasib baik dia tiada masalah jantung. Kalau tidak, mungkin riwayatnya dah lama tamat di situ.
Danish tersengih-sengih.
"Daripada abang tengah telefon tadi Danish dah ada dekat sini. Abang yang tak perasan. Apalah abang ini..." Danish menghalakan pandangan ke arah siling.
Kini Alif pula yang tersengih macam kerang busuk.
"Pandai ya Danish menyelinap. Dah macam pengintip," kata Alif. Danish menukar posisinya daripada baring kepada duduk. Roman mukanya dihiasi keterujaan.
"Ya ke, abang? Wah, Danish nak jadi pengintip lah bila besar nanti!" tuturnya.
"Belajar sungguh-sungguh. Insya-Allah, pasti berjaya. Usaha takkan mengkhianati hasil. Simpan kata-kata itu sebaiknya," nasihat Alif kepada si kecil itu. Dia kemudiannya menutup buku tersebut dan meletakkan ia di atas meja sisi.
"Abang dah habis baca ke? Ke sebab Danish kacau abang baca? Danish keluarlah kalau macam itu." Danish mula rasa bersalah. Alif tertawa kecil.
"Eh, tak lah. Abang dah mengantuk. Sini, tidur sebelah abang." Alif menepuk bantal yang berada di sebelahnya. Danish pun membaringkan tubuhnya di situ.
"Danish tak sabar nak tunggu esok," ujar Danish.
"Kenapa dengan esok?" Alif meletakkan selimut pada tubuh Danish.
"Adalah... Abang Alif tunggu saja." Danish tersenyum sendirian.
"Itupun nak berahsia juga... Yalah, abang tunggu. Sekarang ini, Danish kena tidur. Tapi, baca doa sebelum tidur dulu. Cepat, abang nak dengar." Alif menutup lampu tidur.
"Alamak, Danish lupa lah... Abang ajarkan semula, boleh?" pintanya dengan nada memujuk.
"Hari-hari baca pun boleh lupa? Nak kena cubit ini..." Alif mengecilkan matanya. Danish tersenyum nakal.
"Yalah. Ikut abang baca. Bismikallahumma..." Alif menghentikan bacaannya untuk memberi ruang kepada Danish mengikutinya.
"Bismikallahumma," respons Danish lambat-lambat.
"Ahya wa amuut," sambung Alif lagi.
"Ahya wamut," balas Danish.
"Salah itu, Danish... Wa amuut." Alif mengulanginya sekali lagi. Pipi Danish dicubit perlahan.
"Wa amuut..." Danish mengikut bacaan tersebut.
"Ha... Dah pandai. Cuba baca yang penuh. Okey, ikut abang, ya... Bismikallahumma ahya wa amuut," jelas Alif.
"Bismikallahumma. Ahya... Wa amuut..." Tersangkut-sangkut bacaannya.
"Dah boleh tidur..." Alif mengusap lembut kepala Danish.
YOU ARE READING
DIARI HATI ALIF [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 1st BOOK Membesar sebagai anak sulung memang tidak mudah. Sentiasa tersakiti, diberi penekanan dan tidak diberi perhatian penuh. Perit. Ya, itulah yang dirasai oleh Alif Zahari. Namun, dia masih bersabar kerana dia yakin, akan adanya ca...