BAB 9 | Rezeki

181 28 54
                                    

Alif mengemas pakaiannya dan memasukkannya ke dalam beg. Sudah tiba masanya untuk dia meneruskan perjalanan untuk mencari erti kehidupan.

"Betul kamu nak gerak ni?" soal Pak Cik Wahab. Terdapat nada sedih di hujungnya.

"Betul, pak cik. Sebelum itu, saya nak memohon maaf dan nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada pak cik sebab sudi mengizinkan saya untuk tinggal di rumah ini. Siap beri saya kerja lagi. Terima kasih banyak-banyak, pak cik. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa budi pak cik sekeluarga." Alif menghulur tangan untuk bersalaman. Dengan senyuman manis terukir di bibirnya, cukup membuatkan sesiapa pun selesa berbicara dengannya.

"Dah nak balik ke? Cepatnya..." Izara menutur perlahan.

"Cepat apa pula? Dah dekat dua bulan lebih saya tinggal di sini. Saya jadi segan sungguh! Tapi, saya nak ucap terima kasih juga dekat awak. Sebab masak sedap-sedap," seloroh Alif.

"Sama-sama," balas Izara. Gembira tatkala dipuji sedemikian.

"Jangan bawa motor laju-laju. Nanti kemalangan, siapa yang susah? Saya juga..." Izara menahan ketawa.

"Kenapa awak pula yang susah?" Soalan Alif dibalas dengan ledakan tawa dari Izara.

"Tak adalah. Saya gurau. Awak yang susah," ujar Izara.

"Hm..." Alif menghadiahkan sebuah jelingan sebelah mata kepada Izara.

"Seramnya bila tengok awak jeling. Takutlah. Ayah, tengok dia ni," adu Izara sambil menyorok di belakang Pak Cik Wahab.

"Tahu pula nak takut. Tadi bukan main." Alif menggalas begnya.

"Pantang berbual sekejap, ada saja benda yang nak dibawa gaduh. Haih... Kamu berdua ini..." Pak Cik Wahab memandang kedua mereka bersilih ganti. Alif dan Izara hanya menunjukkan sengihan di bibir.

"Pak cik. Saya nak gerak ni. Insya-Allah, jika tiada sebarang halangan dan masih diberi peluang untuk hidup, saya datang ke sini lagi. Maafkan salah dan silap saya, pak cik, Ain." Alif menutur sopan.

"Ain?" Izara melemparkan pandangan pelik ke arah Alif.

"Salah ke? Maaf, maaf..." Alif menundukkan tubuhnya persis gaya masyarakat Jepun.

"Tak lah. Nama saya memang ada Ain dekat depan. Janganlah menunduk sampai macam itu sekali." Terbit sebuah tawaan kecil dari bibir Izara. Agak terhibur dengan keletah Alif.

"Alif, kamu bukannya ada buat salah dengan pak cik. Pak cik harap kamu akan terus menjadi seorang yang baik dan anak yang soleh untuk ibu ayah kamu. Jika datang sebuah ujian, tak kira besar atau kecil, sabar dan redha. Itu antara kunci utama. Jangan tinggalkan solat. Ingat, Allah sentiasa ada bersama kita. Cuma kita sahaja yang lalai dan lupa akan Dia. Kedua, ibu dan ayah. Jangan lupa tanggungjawab sebagai anak. Meskipun mereka selalu marah pada kita, jangan sesekali kita tunjukkan kemarahan pada mereka. Kerana marah mereka bukan bermakna tidak sayang. Ingat dan hadam baik-baik, Alif," nasihat Pak Cik Wahab. Alif menyengguk kecil bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir.

"Baiklah, pak cik," ujar Alif. Izara yang berada di sebelah Pak Cik Wahab hanya terdiam.

"Saya pergi dulu, pak cik, Ain. Assalamualaikum wbt." Alif menaiki motosikalnya. Helmet dipakaikan ke atas kepala.

"Waalaikumussalam wbt..." Jawab Pak Cik Wahab dan Izara serentak.

Pemanduan dimulakan dengan bacaan Bismillah. Motornya memecut laju di atas jalanraya.

"Dia panggil Zara, Ain? Pelik lah," kata Izara.

"Apa yang peliknya. Bukan dia panggil kamu dengan panggilan yang tak baik. Ayah letak nama kamu Ain Izara, tapi kamu tak bagi orang lain panggil kamu Ain. Kamu yang pelik," balas Pak Cik Wahab. Izara tersenyum kecil.

DIARI HATI ALIF [C]Where stories live. Discover now