Eighteen : Meeting His Dad

628 25 0
                                    

"Dah sampai ke?" tanya Hud dari hujung talian. Dia memandang ke arah luar rumah dari pintu rumahnya. Menunggu kereta Myvi berwarna putih muncul di hadapannya.

"Kejap. Dah nak sampai," suara Hanan menjawab soalannya. Hanan memusingkan kenderaannya memasuki kawasan perumahan Hud. Talian dimatikan.

Kawasan perumahan Hud terdiri daripada rumah pelbagai jenis dan saiz, kerana penghuninya akan membina rumah sendiri mengikut kesesuaian dan keinginan masing-masing. Jadi memang ada rumah yang terlebih besar dari yang lain.

Apabila Hanan nampak pagar besar bercat hitam yang dikenalinya, dia memusingkan keretanya masuk ke dalam halaman rumah. Pagar tersebut sudah sedia dibuka, menerima kehadirannya.

Hanan mencapai telefon di atas seat di sebelahnya sebelum membuka pintu kereta. Matanya tidak dapat mengelak daripada meneliti setiap inci halaman rumah Hud yang luas.

Di bahagian kirinya, terdapat air pancut di sepanjang halaman rumah, seperti pagar yang memagari sekeliling rumah Hud, cuma dalam bentuk air. Terdapat pondok bersaiz sederhana di sebelah air pancut tersebut, seronok untuk duduk-duduk sewaktu petang.

Hanan mengalihkan semula pandangannya ke pintu rumah. Kalau ikutkan, dia nak sambung teliti rumah, tapi susuk tubuh Hud yang sudah tersenyum lebar memandangnya di pintu rumah membuatkan niat Hanan terhenti. Dia pantas mengatur langkah mendekati Hud yang membuka pintu luas-luas.

"Aku tunggu ayat apa kau nak cakap kat ayah aku nanti," kata Hud perlahan sambil tersengih. Hanan mengetap bibirnya. Dia teringat sewaktu Hud menziarahi ibunya pagi tadi.

Mereka melaksanakan rancangan mereka pada hujung minggu. Pada waktu pagi, Hud dan Hanan berjumpa dengan Puan Zulaikha terlebih dahulu.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa berasapnya muka Hanan dengan pelbagai story dan fairytale yang direka oleh Hud. Suka sejak zaman sekolah? Simpan perasaan? Setia menunggu? Cinta berputik kembali di tempat kerja? Nampak sangat bukan Hanan. Tapi tak sangka ibunya boleh termakan dengan kata-kata Hud. Nampaknya muka dan keyakinan pun main peranan.

"Tunggu je la," balas Hanan pendek. Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang tamu.

Sebenarnya, Hud sudah mengajak Hanan untuk menaiki keretanya dan mereka boleh bersama-sama pergi ke rumah Hud. Tetapi, Hanan berkeras untuk menaiki keretanya sendiri dan menyuruh Hud pergi dahulu. Alasannya, dia dah tahu rumah Hud kat mana, jadi dia tak perlulah nak naik kereta Hud.

Di ruang tamu yang sebesar tiga kali ganda ruang tamu di rumah Hanan, Encik Anuar sudah menunggu di atas sofa bersama pelbagai jenis makanan dan kuih-muih di hadapannya yang diletakkan di atas meja. Macam nak menjamu sepuluh orang pulak. Yang datangnya seorang je, dan dia sendiri tak rasa nak makan sekarang.

"Dah sampai dah? Duduklah," kata Encik Anuar, mempersilakan Hanan duduk di atas sofa. Hanan mengangguk bersama senyuman manis lalu duduk di sofa dua seat berdekatan Encik Anuar. Hud pula duduk di sebelah ayahnya.

"Ayah, kenalkan, ni Hanan. Rumah dia dekat je, kat taman perumahan dekat dengan sekolah. Dia kawan satu kerja dengan Hud," kata Hud ringkas. Encik Anuar mengangguk sambil memandang Hanan. Senyuman Encik Anuar saja sudah menampakkan yang dia bersetuju dengan pilihan Hud. Nampak manis je budaknya. Terpelihara gitu.

"Tak sangka eh Hud. Ayah hantar Hud kerja, tiba-tiba balik bawak bakal isteri pulak," gurau Encik Anuar. Hud tergelak.

"Jodoh la ayah. Ni kenapa banyak sangat kuih ni? Ayah nak jual kat bazaar Ramadan ke?" tanya Hud sambil memandang ke arah deretan kuih dan dessert yang tersusun di atas meja. Nasib baik meja tu tak besar mana, kalau tak mesti lagi banyak makanannya.

"Tak tahulah. Ayah cakap je Hud nak datang bawak calon isteri, terus diorang buat semua ni. Nampaknya bukan ayah je yang excited nak ada menantu," kata Encik Anuar sambil menggelengkan kepalanya.

Hanan hanya mendiamkan diri sambil mendengar celoteh Hud dengan ayahnya. Dia tahu yang Hud memang banyak cakap, tapi jadi luar biasa ramah pula bila Hud berborak dengan ayahnya. Patutlah banyak betul hujah, tengoklah macam mana ayahnya.

"Hanan, meh makan. Jangan segan-segan. Nanti tak habis pulak kuih ni," kata Encik Anuar.

Hanan tersentak. Dia hanya tersenyum. Serius, dia tak reti nak berbual dengan orang yang dia baru kenal. Introvert alert!!

Hud mencapai pinggan kecil di atas meja lalu dihulurkan kepada Hanan. Hanan merapati meja, tangannya mencapai kuih seri muka yang disukainya. Dah lama tak makan.

"Macam mana Hanan boleh jumpa dengan Hud? Maksud pak cik, macam mana Hanan boleh suka kat anak pak cik?" tanya Encik Anuar.

Hanan terkebil-kebil seketika. Straightforward betul ayah Hud ni. Baru sampai dia dah kena terjah dengan soalan cepumas macam ni. Apa dia nak jawab?

"Haah, macam mana awak boleh suka saya? Saya pun nak tahu jugak," sahut Hud. Dia mengangkat keningnya sebelah, memandang Hanan. Menunggu ayat apa yang akan direka Hanan sebentar lagi. Kata designer, mesti imaginasi tinggi.

"Hud, tolong mak cik kejap. Angkat makanan," panggil Mak Cik Khadijah, pembantu rumah Hud yang sudah bekerja dengan mereka sejak rumah tersebut siap dibina.

Hud mengalihkan pandangan daripada Hanan sebelum mengangguk dan menuju ke dapur.

Okey, tinggal dua orang. Nervous, tapi sekurang-kurangnya kurang sikit malu bila reka cerita time Hud tak ada.

"Saya dah kenal Hud lama dah. Dari sekolah menengah lagi, " kata Hanan kepada Encik Anuar.

"So, suka dari zaman sekolah ke macam mana?" Hanan pantas menggeleng. Nanti ayah Hud ingat dia main cinta time sekolah pulak.

"Taklah. Dulu kawan je. Bila jumpa balik masa dah kerja ni, barulah macam nampak gitu. Hati saya baru terbukak nak terima orang lain, " kata Hanan. Hm, okey kot. Takdelah tipu sangat. Memang itu pun kebenarannya. Dia memang tengah mencuba untuk bukakan hati dia untuk Hud.

Bukan ke sebab tu dia sanggup datang sini? Tapi dia punya sanggup tu sampai nak kahwin ke? Entahlah, tu dia belum pasti lagi.

Encik Anuar mengangguk faham.

"Pak cik pun tak sangka anak pak cik dah berpunya. Sebab dari dulu, dia memang sendiri je. Dia kat rumah ni pun ada pak cik dengan pembantu rumah ni je la buat peneman. Bila Hud kata dia nak bawak Hanan, pak cik memang gembira sangat, " katanya jujur.

Hanan menghela nafas perlahan. Buat hati dia makin rasa bersalah pulak. Entah kenapa, dia rasa seronok berbual dengan ayah Hud.

"Saya pun sama jugak. Saya ada ibu dengan adik saya je selama ni. Sebenarnya, saya pun tak berapa pasti dengan keputusan saya sekarang sebab selama ni, saya rasa hidup saya dah lengkap dengan ibu dan adik saya je, " jelas Hanan. Rasa macam dah terkantoikan pulak. Tapi dia ingin berterus-terang.

Mungkin ayah Hud akan faham keadaannya. Sekurang-kurangnya taklah nampak macam dia betul-betul desperate nak kahwin.

"Kalau macam tu, pakcik harap Hanan buat keputusan yang terbaik untuk Hanan. Apa-apa pun, letakkan diri kita terlebih dahulu. Sebab semua orang layak dapatkan kebahagiaan diri sendiri, tak kisahlah dalam bentuk apa sekalipun, " kata Encik Anuar lembut.

Hanan terasa matanya bergenang. Dia rasa seperti berbual dengan ayahnya. Kali ini, dia betul-betul terasa kehilangan seorang ayah, dan mungkin Tuhan datangkan ayah Hud untuk mengisi kekosongannya. Tempat untuk dia muncurahkan rasa dan kasih sayang seorang anak.

Rindunya dengan ayah.

"Hanan okey ke? Kenapa menangis? " tanya Encik Anuar. Hanan tersentak. Dia tidak menyedari air matanya mengalir. Hanan pantas mengesat pipinya lalu tersenyum.

"Eh, sorry. Terkeluar pulak. Hanan teringat ayah je. Rindu," kata Hanan pendek. Semakin dikesat pipinya, semakin mengalir pula. Akhirnya, dia menangis teresak-esak sambil diperhatikan oleh Encik Anuar.

Hanan cuba menahan perasaannya. Dia tahu, dia tak patut menangis di sini. Di rumah Hud. Tapi dia tak boleh berhenti. Rasa sedih yang mencengkam dadanya dan sudah sekian lama ditahan, bagaikan membuak-buak keluar. Dia perlu lepaskan semuanya.

"Tak apa Hanan. Tisu pak cik banyak ni. Hanan lepaskan je, " kata Encik Anuar. Hanan tersenyum nipis dan mengangguk. Tisu yang dihulurkan oleh Encik Anuar dicapai.

Dari sebalik dinding, Hud memerhatikan Hanan tanpa kata-kata.

You Fell FirstWhere stories live. Discover now