Hanan memandang kosong pinggan berisi mi goreng di hadapannya. Hari ini cuti, jadi dia sempat masak sarapan. Kalau tak, biasanya dia makan epal sebiji je. Sarapan beli kat kedai. Tak rajin nak masak, dahlah sorang je yang makan.
Mindanya masih lagi terfikirkan kejadian yang berlaku semalam. Insiden Hud sesuka hati cakap yang dia merupakan bakal suami Hanan. Sebenarnya, dia masih lagi keresahan, menunggu panggilan telefon dari ibunya. Tak boleh nak lelap bila fikir yang bila-bila masa ibunya akan terjah dan tanya pasal bakal suami Hanan. Dahlah tak betul.
Hanan menghela nafas berat. Penat fikir lama-lama. Tapi, dia tak boleh nak salahkan Hud 100 peratus. Masa lelaki tersebut jauh lebih berharga daripadanya. Mestilah dia tak nak membazir masa tunggu dia kena interview dengan Mak Ngahnya sendiri.
Dia teringat sewaktu dia masih lagi di sekolah menengah. Waktu itu, mereka sedang berjalan menuju ke padang untuk kelas Pendidikan Jasmani. Hanan ternampak sekumpulan pelajar perempuan yang ponteng kelas dan melepak di belakang bangunan sekolah.
Tiba-tiba dia terasa terlebih berani. Hanan berjalan mendekati kumpulan pelajar perempuan tersebut. Mereka bergelak ketawa ketika murid-murid lain semuanya berada di dalam kelas. Memang tengah waktu kelas, apa pasal diorang kat situ pulak?
Hanan berdehem kuat apabila dia menghampiri mereka. Semuanya berpaling memandangnya.
"Nak apa?" tanya salah seorang perempuan di situ. Uish, nampak gangster sikit. Baju kurungnya dilipat hingga ke siku. Paling nak tayang tangan tu. Membazir je beli baju kurung lengan panjang. Baik pakai kemeja je.
"Sekarang bukan waktu kelas ke? Apsal takde dalam kelas?" tanya Hanan, memandang tepat ke mata perempuan tersebut. Ingat gangster dia takut ke?
Perempuan tersebut tersenyum sinis. Tak sangka pulak ada orang yang menyibuk nak kacau hidup orang lain.
"Suka hati kitoranglah. Yang sekolah tu, kitorang. Kau tak payah sibuk. Buat je kerja kau, belajar je la sampai mampus. Tak payah nak menyibuk," kata perempuan itu lagi.
Hanan kekal tidak beriak. Dia hanya menggelengkan kepalanya. Susah jugak kalau orang jenis tak makan saman ni. Dia menjeling mereka tajam.
"Yalah. Duduk jelah sini. Kalau boleh tak payah datang sekolah terus. Buat apa belajar kan kalau boleh menyusahkan orang lain je sampai mati? Buat apa nak kisah pasal orang lain, asalkan kita hidup bernafas, ye tak?
Ha takpe, kau duduk je sini. Mana tahu boleh dapat A ke kan duduk melepak. Tak payah susah-susah belajar. Otak kau tu tak ada guna pun. Biar je mereput. Cepat sikit nyanyuk," kata Hanan. Pedas betul ayatnya. Dia memang malas nak cakap baik-baik dah.
Perempuan tersebut betul-betul nampak tersentap mendengar kata-katanya. Dia terus berjalan mendekati Hanan. Tudungnya ditarik kuat.
Takut tudung tercabut tu satu, sekarang ni lehernya terasa terjerut apabila tudungnya ditarik.
"Kau ingat kau siapa hah? Kau ingat kau pandai kau boleh buat apa kau nak? Aku cakap baik-baik kau tak nak faham!" perempuan tersebut menjerit di telinganya. Rakan-rakannya yang lain sudah tergelak sakan di belakang.
Dia ingat Hanan takut ke? Sorry, salah orang. Dia pernah rasa benda jauh lagi menakutkan daripada ni. Peristiwa yang menghantui mimpinya. Peristiwa yang menyebabkan dia tak bercakap dengan sesiapa pun selepas itu. Tapi entah kenapa, hatinya tergerak untuk menegur budak-budak samseng di hadapannya ni.
"Siapa cakap aku buat apa aku nak? Aku buat apa yang aku perlu buat. Dan yang pasti, melepak belakang bangunan sekolah bukan salah satunya la," balas Hanan.
ANDA SEDANG MEMBACA
You Fell First
Romance[EBOOK AVAILABLE - RM 6] WHATSAPP 0176221665 Hanan Nur Layla seorang yang ceria, tetapi sebuah insiden hitam dalam hidupnya menyebabkannya mula mengasingkan diri dari rakan-rakannya. Tapi, tetap jugak ada seorang lelaki yang tak faham bahasa! Hud A...
