"Hanan, aku nak cakap sesuatu kat kau. Tapi serius, jangan jerit," kata Nadhirah sewaktu Hanan membuat video call dengannya.
Hanan yang sedang meniarap di atas katil terus duduk tegak, rasa teruja ingin mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Nadhirah. Jarang-jarang Nadhirah bagi amaran jangan jerit. Maksudnya berita ni mesti terlalu mengejutkan sampai dia boleh rasa nak jerit.
"Sebenarnya, aku nak.."
"Kau nak kahwin?" Hanan memotong ayat Nadhirah sambil mengangkat keningnya. Nadhirah melopong, tangannya menutup mulutnya kerana terkejut.
"Macam mana kau tahu? Hanaaann!" jerit Nadhirah dari hujung talian. Hanan ketawa. Siapa yang jangan jerit ni sebenarnya? Nampak sangat Nadhirah sebenarnya yang terlebih excited daripada dirinya.
"Aku teka je. So betullah, kau nak kahwin? Tahniah," kata Hanan. Tiba-tiba dia terasa macam dia tak nampak gembira pulak. Dia sangat-sangat gembira sebenarnya bila kawan baiknya sejak sekolah menengah, yang setia bersamanya sewaktu suka dan duka, akan memasuki alam perkahwinan. Mungkin dia yang kurang bijak dalam menzahirkan perasaan melalui kata-kata.
"Seriously, aku happy untuk kau. Nanti kad kahwin jangan lupa send. Aku nak balik awal, nak jumpa kau. Rumah dahlah jauh," kata Hanan. Kalau Nadhirah melangsungkan majlis pernikahan di rumahnya, maksudnya di kena merentas negeri untuk pergi. Bolehlah dia balik rumah sekali. Yay.
Nadhirah mengangguk pantas. Rasa gembiranya jelas terpancar di wajahnya. Suka bila kawan sendiri gembira dengan beritanya. Walaupun Hanan macam dah tak berperasaan, tapi kasih sayangnya terhadap Hanan tak pernah berubah. Dia tahu apa yang Hanan alami.
"Boleh je. Nanti apa-apa aku roger kau," kata Nadhirah lagi. Hanan mengangguk. Mereka berbual seketika sebelum Hanan mengambil keputusan untuk menamatkan perbualan. Yalah, esok kerja. Mana boleh tidur lambat-lambat. Tak bangun nanti, susah pulak. Lagi-lagi bila bosnya memang suka menyusahkan diri dia.
***
"Hanan, sini jap," panggil Farhana dari dalam pantri. Hanan yang baru sahaja ingin masuk ke dalam pantri tersebut mengerutkan dahinya. Kenapa pulak ni?
Di dalam pantri, ternyata ada lagi ramai orang memandangnya dengan penuh makna. Siap senyum lagi. Jarang-jarang orang pandang dia dengan senyuman macam tu.
"Kenapa?" tanya Hanan. Dia membuka peti sejuk. Air kotak ice lemon tea dicapai. Di dalam peti sejuk tersebut tersusun pelbagai jenis air kotak. Kata Encik Mirza, biarlah peti sejuknya meriah, walaupun cuma air. Dan air kotaklah yang paling murah, so here we are.
Hanan berjalan mendekati rakan-rakan sekerjanya yang duduk di kerusi yang disediakan di situ. Walaupun syarikatnya tak besar mana, tapi pantrinya memang besar. Disebabkan mereka merupakan syarikat penerbitan, jadi waktu bagi mereka agak fleksibel. Taklah kerja je sepanjang masa. Tu yang boleh melepak kat pantri sambil menunggu waktu makan tengah hari.
Farhana menarik tangan Hanan supaya duduk di kerusi di sebelahnya. Susunan kerusi di situ diletakkan di sekeliling pantri, jadi mereka boleh juga kalau nak meeting sama-sama di sini. Mana tahu nak tukar angin.
"Kitorang nak tahu...apa sebenarnya hubungan kau dengan big boss dalam bilik tu. Kau kenal dia ke?" Farhana memulakan soalan panasnya. Yang lain turut memandang tepat ke arah Hanan, menunggu jawapannya.
Hanan menghela nafas. Memang tak ada kerja betullah diorang ni. Dia menyedut air di tangannya sebelum menjawab soalan Farhana.
"Hud..eh, Encik Hud tu ke?" tanya Hanan, saja nak bagi tambah debaran. Kalau terus jawab nanti hilanglah saspensnya.
Farhana ternganga.
"Kau panggil Hud je? Seriously, kau kenal dia ke sebelum ni? Is he like, your ex or something?" tanya Farhana dengan nada teruja. Dia memang suka cerita-cerita hangat macam ni. Lagi drama, lagi menarik. Hanan tergelak. Tinggi betul imaginasi kawannya ni.
Hanan menggeleng tanpa jawapan.
"Habistu?" penat pulak tunggu jawapan dari perempuan di sebelahnya ni. Buat orang makin tak sabar je.
"Dia..," mereka semua memandangnya dengan mata bercahaya, menunggu jawapan yang dinanti-nanti; yang Hud ialah ex-boyfriendnya, or something.
"Kawan sekolah menengah aku," sambung Hanan. Mereka terus mengeluh kecewa. Baru je berangan-angan Hanan naik pelamin dengan Hud. Macam impian tersadai tepi jalan je.
"Tu je? Tapi dia macam suka kat kau je. Dia selalu panggil kau, kan? Buat benda entah apa-apa. Maksudnya dia suka kau la tu," kata Farhana. Hm, memasang harapan tinggi. Bagus tu. Tapi tak dalam hal ni.
Hanan tersengih. Kalaulah diorang tahu yang Hud pernah buat kerja gila dan confess kepadanya dulu. Tapi tu cerita lama. Dia rasa Hud tak pandang pun dia sekarang. Banyak pilihan, kan? Tiba-tiba rasa macam broken. Haha.
"Tak adalah. Sorry guys, tapi bos awak semua tak suka saya pun. Dan saya lagilah tak suka dia. Working relationship only," jelas Hanan. Mereka semua mengangguk faham. Kalau dah tuan punya badan cakap macam tu, tak boleh nak cakap apa dah. Tetapi Farhana tetap memandang Hanan sambil matanya dikecilkan. Jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan Hanan. Kalau tak bosnya yang suka Hanan, mesti Hanan yang suka bosnya. Tak pun dua-dua suka sama suka. Lagi best.
Selepas Hanan kembali ke mejanya bersama air kotak yang berisi separuh di tangannya, Hanan menoleh sekilas ke arah bilik Hud. Entahlah, bila Farhana dah sebut tadi, dia rasa keliru pula dengan perasaannya sendiri. Tapi dia tak pernah terfikir pun yang dia akan sukakan lelaki itu. Paling hebat pun, kawan je. Sebab Hud memang sahabat yang baik. Dia rindu sahabat lamanya, itu perasaan yang dia boleh jamin.
***
"Weh, ni nak letak mana?" tanya Hanan kepada Nadhirah yang sedang mengeringkan inai di tangannya.
Well, inai yang dipakaikan sendiri oleh Hanan, dengan pelbagai corak. Nadhirah sendiri yang request, sebab dia tahu Hanan memang pro kalau bab design. Jadi itulah hasilnya, tangan Nadhirah penuh dengan corak flora dan Nadhirah duduk tak buat apa-apa sebab inainya belum kering. Dia ni pulak yang dijadikan buruh oleh kawannya.
"Oh, bunga telur tu, letak tepi pelamin. Jangan senget ye," kata Nadhirah, kemudian ketawa apabila Hanan menjelingnya tajam. Dahlah tak tolong, bising pulak mak nenek ni. Nasib baik esok dah nak kahwin. Dia baru sahaja lepas inaikan Nadhirah, tiba-tiba ada ibu saudara Nadhirah meminta bantuannya untuk mencucuk bunga yang telah diisikan dengan telur. Selamatlah dia rajin orangnya.
"Siapa pengapit kau? Adik kau eh?" tanya Hanan lagi. Nadhirah ada menawarkannya untuk menjadi pengapit, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Hanan. Memang taklah dia nak orang pandang ke arah dia sepanjang masa. Bukan pandang dia pun, ke arah dia je, sebab orang pandang pengantin, bukan dia. Tapi still, no.
Nadhirah mengangguk.
"Selamatlah adik aku tak busy. Sekarang dia tengah cuti sebab cuti sekolah, jadi bolehlah aku buli dia mintak jadi pengapit," kata Nadhirah lagi. Apabila Nusaibah balik sahaja ke rumah untuk bercuti, terus dia paksa adiknya untuk menjadi pengapit. Bukan free, itu yang pasti. Nampaknya dia kena bersiap sedia lepas ni bila Nusaibah nak mintak apa-apa. Aiskrim je selalunya.
"Tak sabar aku nak tengok kau esok. Mesti cantik sangat," kata Hanan lagi. Dia gembira melihat wajah Nadhirah yang tampak bercahaya. Mungkin tu kot seri pengantin. Nadhirah memang nampak happy sangat pada hari ini. Walaupun mereka sudah jarang berjumpa face-to-face sebab dia dah duduk jauh, tapi dia nampak perbezaan pada wajah Nadhirah hari ini.
Entah bila dia akan merasai benda yang sama. Dia tak tahu pun kalau dia akan dapat merasainya ataupun tidak. Dia tak rasa yang dia mampu untuk menerima orang baharu dalam hidupnya lagi. Okey, kalau fikir lama-lama nanti dia down. Cukuplah dengan perasaan gembira sahaja yang memenuhi fikirannya buat masa sekarang, atau at least, sampai esok.
YOU ARE READING
You Fell First
Romance[EBOOK AVAILABLE - RM 6] WHATSAPP 0176221665 Hanan Nur Layla seorang yang ceria, tetapi sebuah insiden hitam dalam hidupnya menyebabkannya mula mengasingkan diri dari rakan-rakannya. Tapi, tetap jugak ada seorang lelaki yang tak faham bahasa! Hud A...